Comel sungguh Abeer Widad, satu-satunya anak tunggal Ustazah Sharifah Khasif yang cukup terkenal dengan kemerduan suaranya tatkala mengalunkan kalam suci Al-Quran.
Abeer atau nama penuhnya Abeer Widad Muhammad Hizal yang kini berusia 6 tahun sangat rapat dan manja dengan Ustazah Sharifah Khasif. Apa yang paling membanggakan Abeer sudah pun menunjukkan kecenderungannya untuk menjadi seorang qariah yang hebat suatu masa nanti.
Sebagai ibu pastinya menjadi impian Ustazah Sharifah Khasif untuk melihat Abeer menjadi seorang anak yang solehah dan berjaya di dunia mahupun akhirat. Atas faktor itulah wanita berusia 38 tahun ini mahu memberikan yang terbaik demi Abeer.
KEKAL POSITIF
“Alhamdulillah saya sentiasa dikurniakan nikmat kesihatan yang baik. Mungkin Allah SWT tahu yang saya perlu sihat untuk menjaga Abeer dan dan keluarga. Setakat ini masih diberikan kekuatan mental dan fizikal. Saya sentiasa positif dan bersangka baik dengan Allah SWT di samping menjaga pemakanan dan kesihatan.
Kalau nak dikenangkan momen-momen menyentuh hati tu memang banyak. Lebih-lebih lagi bila Abeer tanya “Kenapa kita dua je Ummi? Kenapa ayah tak ada?” Hal-hal macam ni lah saya kena jelaskan betul-betul kepadanya. Paling penting jangan meracuni fikiran anak, itu konsep saya.”
IBU SEBAGAI CONTOH TERBAIK
“Sebagai ibu sudah tentu saya nak Abeer lebih daripada saya. Kalau boleh saya nak Abeer menjadi seorang insan yang bukan sekadar cantik bahkan cerdik, setia dan terdidik. Abeer bebas memilih kerjaya namun asasnya haruslah dengan menjadi ahli Al Quran, menjadi mutiara yang sangat berharga di sisi Allah SWT, insyaAllah.
Kita cari akhirat, dunia akan kejar kita. Saya yakin orang yang berilmu dan hidup dengan Al Quran akan diberi rezeki dan kehebatan yang luar biasa oleh Allah SWT.
Saya menjadikan ibu sebagai contoh dalam mendidik anak. Ibu seorang yang sangat sabar dalam mendidik anak-anaknya. Ibu seorang yang tak banyak cakap, pendiam namun jujur. Susah sangat nak ikut, mungkin cara saya berbeza. Saya banyak ikut cara arwah walid (ayah) beliau seorang yang tegas namun sangat penyayang.”
LAYAN ABEER SEPERTI SAHABAT
“Untuk meluangkan masa bersamanya saya tidak mempunyai sebarang masalah kerana selalunya selepas waktu persekolahan saya akan bersama Abeer. Hubungan kami memang sangat rapat dan saya memanggilnya Kakak. Selain manja, Abeer juga seorang anak yang suka bercakap, mudah mesra dan suka senyum.
Selalunya sebelum ini saya suka membawa Abeer ke taman. Biasanya kami akan bersenam bersama-sama atau pun ke shopping mall untuk makan-makan sambil bercerita hal-hal sekolah dan juga hal semasa. Saya layan Abeer macam orang dewasa, macam sahabat. Adakalanya kami melawak dan adakalanya serius, tapi bertempatlah.
Saya juga ada mengadakan kelas khas yang saya atur untuk Abeer bersama 10 kanak-kanak lain bagi memastikan mereka tidak ketinggalan dalam pembelajaran Al Quran sejak kecil.
Mengaji satu kewajipan untuk anak-anak kecil seperti Abeer. Namun saya tak terlalu menekan kerana saya menerapkan gaya santai dan fun. Ini jugalah pendekatan yang saya gunakan untuk kelas anak-anak di Akademi of Sharifatuna Quranic Arts (ASQA). Alhamdulillah mereka seronok tapi syaratnya tak boleh ponteng kelas.
Saya juga suka bercerita dengan Abeer seperti tentang masa depan, situasi semasa dan sebagainya. Walaupun anak-anak kecil nampak seperti main-main dan tak berapa nak dengar namun percayalah mereka sebenarnya sedang cuba untuk faham.”
IMPIAN
“Saya dalam usaha nak menjadikan Abeer seorang insan yang akan meneruskan legasi sebagai qariah negara. Amin Ya Allah.. Saya dah nampak kelebihannya dari segi suara. Bakat pun dah ada. Skill saja perlu diasah lagi. Makhraj serta sebutannya jelas dan bulat-bulat, ketepatan makhraj yang sedap didengar.
Saya juga bersyukur kerana Akademi of Sharifatuna Quranic Arts(ASQA) milik saya kian mendapat sambutan ramai sejak dibuka dua tahun lalu di Rampai Business Park Setapak Kuala Lumpur. Akademi ini mencari bakat-bakat baru dalam meneruskan legasi sebagai qari dan qariah masa depan. Satu lagi cawangan ASQA ialah di Damansara Perdana. Kelas diadakan pada setiap Jumaat malam.
Impian saya seterusnya ialah ingin membuka ASQA di Melbourne pula. Niat saya untuk approach international market supaya dakwah dapat dikembangkan dengan lebih meluas, insyaAllah. Doakan yang terbaik untuk saya.”
Bagi mengekalkan kesihatan dan kecantikan luar dalam, Ustazah Sharifah Khasif mengamalkan jamu sejak usianya remaja di samping tamar dan air zam-zam yang sentiasa ada di rumahnya.
Kredit Foto: Instagram Sharifah Khasif
This website uses cookies.