Makin Berseri Sejak Bergelar Ibu, TASHA SHILLA Kongsi Pengalaman Berpantang 100 Hari

Sejak bergelar isteri dan ibu, pelakon cantik Tasha Shilla kelihatan semakin bahagia dan berseri-seri. Berusia 34 tahun, isteri kepada Muhammad Atiq Idris ini sangat menitikberatkan soal penjagaan kecantikan dan kesihatan. Seperti mana sebelum berkahwin, begitulah juga rutinnya selepas berkahwin.

Wajah terkini pelakon jelita, Tasha Shilla. Makin berseri-seri!

NONA menyingkap rahsia Tasha yang berjaya mengembalikan bentuk badan langsing dan semakin cantik selepas bergelar ibu.

Kekal langsing dan fashionable.

“Sejak bergelar ibu kepada Raees Zander Muhammad Atiq yang kini berusia 4 bulan, banyak mengajar saya erti sabar. Ia juga amanah Allah maka fokus utama saya kini adalah anak dan keluarga. Setiap hari akan ada benda baru yang saya belajar seperti komunikasi antara anak dan ibu. Pengalaman paling teruja semestinya saat pertama kali dapat melihat bayi di hospital. Memang tak percaya akhirnya selepas 9 bulan mengandung saya dan suami dapat melihat zuriat yang dinanti-nantikan, Alhamdulillah.

Alahai..comelnya Raees Zander Muhammad Atiq yang kini berusia 4 bulan.

Saya juga fokus kepada penjagaan kesihatan dengan berpantang selama 100 hari bagi mendapatkan rehat dan nutrien dari makanan pantang yang berkhasiat. Berpantang sangat penting dari segi fizikal dan mental. Proses mengandung dan melahirkan sangat mencabar serta memberi kesan kepada badan ibu. Dengan proses berpantang yang cukup, badan ibu akan pulih untuk jangka masa panjang. Mungkin kesannya tidak nampak sekarang tapi kelebihannya long-term. Akhir sekali pentingnya emosi ibu yang baru bersalin.

Syukur, saya dikurniakan suami yang memahami dan ringan tulang. Dari awal kami kahwin hingga ke hari ini, suami sentiasa peka dengan kebahagiaan rumahtangga tak kira apa jua keadaan. Semasa saya mengandung, kami kerap mengadakan doa selamat dan elakkan menonton program TV yang berunsurkan seram atau mendengar khabar yang negatif. Semuanya positif dari segi percakapan dan tingkah laku agar emosi sentiasa dalam keadaan stabil, seimbang dan terkawal.

Pasangan sepadan.
Suami yang penyayang dan ringan tulang.

PENGALAMAN KETIKA HAMIL
Memang seronok kerana saya dan suami banyak menambah ilmu dan kerap membaca buku. Kami juga sering tanya pendapat doktor tentang perkembangan fasa-fasa mengandung. Selain itu, kami turut sertai kelas online “Lamaze” bagi memahami stages of pregnancy dan stages of labour sebagai persedian masuk ke proses kelahiran di hospital. Ada cabaran fizikal seperti acid reflux yang teruk dan naik berat badan. Saya juga banyak melakukan senaman pilates

dan berjalan kaki.

Momen cemas, bila doktor nasihat untuk kira berapa tendangan bayi dalam perut setiap jam, ada kala bayi tak tendang saya mula rasa bimbang tapi syukur kerana ia masih dalam keadaan normal. Antara teknik-teknik yang digunakan ialah makan manisan atau minum air sejuk, bercakap dengan bayi dan doa yang baik-baik saja.

Tip sihat dan cantik saya ialah mendapat rehat dan tidur yang cukup. Tak kira berapa usia kita, rehat yang cukup sangat penting bagi bekalan tenaga sepanjang hari. Dari segi dalaman, petua saya ialah tak minum minuman berais, banyak minum air mineral dan amal diet seimbang. Dari segi luaran, saya kerap menggunakan lotion moisturizer dan produk penjagaan kulit. Paling penting, sentiasa mulakan dari hati iaitu sentiasa tenang, gembira dan bersyukur atas segala nikmat Allah.

BAHAGIA BERSAMA SUAMI
Sentiasa menjalani kehidupan kerana Allah. Bila buat sesuatu keranaNya, kita tidak akan menaruh harapan yang luar biasa dari manusia. Setiap manusia milik Allah, kita sendiri ada kelebihan dan kelemahan. Sikap merendah diri dan juga mahu belajar bersama amat penting dalam keluarga kami. Setiap malam kami akan minta maaf jika ada terkasar bahasa, salah faham atau salah tingkah laku.

Bagi saya, untuk menjadi pasangan yang romantik dan saling mencintai, biarkan semuanya berjalan secara natural. Kita berterus terang dan In Shaa Allah, momen-momen loving dan romantik itu berlaku secara spontan, hari-hari ada surprise.

Bagi saya Atiq seorang Daddy, suami dan anak yang bertanggungjawab serta berdikari. Beliau juga seorang yang peramah dan disenangi semua. Suami juga seorang yang tahu membuat saya bahagia dan ketawa, namun pada masa sama, seorang yang tegas dan tahu bila untuk mengambil momen serius dalam sesuatu situasi atau perkara.

Untuk perkembangan terkini, saya banyak fokus kepada kolaborasi dengan produk-produk untuk marketing di social media. Buat masa sekarang, keadaan belum mengizinkan sepenuhnya buat saya untuk terlibat dalam proses penggambaran. Saya ambil saranan untuk stay safe dan stay healthy sebagai langkah keselamatan diri dan keluarga. Saya memang rindu nak berlakon. Karier seni lakonan sentiasa akan ada dalam diri saya.”

Tasha Shilla bergelar isteri kepada Muhammad Atiq Idris pada 28 Februari 2020 dalam satu majlis sederhana di Masjid Wilayah Kuala Lumpur. Dengan sekali lafaz pasangan ini dinikahkan oleh bapa pengantin perempuan, Abd Razak Razali disaksikan Imam Besar Masjid Wilayah.

Kredit Foto: Instagram @tashashilla

Share
Published by
Ermi Shuzila Mohammad