Jika dahulu nama Kilafairy tidak pernah terlepas dari tempias imej seksi. Namun, siapa sangka hidayah Allah SWT datang dalam pelbagai cara. Sebelum ini, penyanyi dan pelakon yang berusia 27 tahun ini dalam diam telah mengubah imejnya dan seterusnya mengenakan hijab.
“Alhamdulillah, berkat doa ibu bapa dan sempena tahun 2020 saya mahu mulakan sesuatu yang segar dan bersih. Pastinya perubahan itu seiring dengan kematangan diri. Ia seperti isyarat atau panggilan kepada diri sendiri. Dalam hidup ini kita sentiasa berusaha mahu jadi lebih baik dan memperbaiki diri,” kongsi Kilafairy.
Fenomena selebrti mengusahakan sebuah perniagaan bukan suatu yang baharu. Masing-masing mempunyai cara yang tersendiri untuk membentuk empayar yang dibina. Anak kepada penyanyi terkenal era 1980-an, Rohana Jalil ini telah berjaya mempertaruhkan perniagaan berasaskan makanan tambahan menerusi KILAFIT.
Artis cantik ini juga telah membuktikan dirinya berjaya bergelar usahawan dan menyuntik inspirasi kepada warga muda untuk berjuang dalam perniagaan sepertinya. Penyanyi lagu Put The Word In ini sempat berkongsi bahawa ibunya merupakan pencetus kepada usahanya untuk bergelar usahawan wanita berjaya.
“Apabila mama berdepan kesan sampingan yang teruk daripada produk yang digunakan saya tidak mahu hal sama terjadi kepada orang lain dan menjadi mangsa. Sebab itu saya bangkit memulakan perniagaan sejak setahun lebih yang lalu untuk memberi solusi penurunan berat badan terbaik tanpa kesan sampingan.
Alhamdulillah misi itu berjaya dicapai menerusi testimoni yang menggunakan produk saya secara konsisten. Pelanggan dan pengguna produk saya berjaya turun berat badan dengan selamat,” kongsi pemilik nama sebenar Syakila Nisha Jangir Khan ini.
Kilafairy juga merupakan selebriti yang peka dengan perkembangan semasa. “Saya seorang yang sayangkan haiwan. Krisis kebakaran hutan di Australia dahulu begitu menyentuh hati saya. Saya turut bersimpati dan mengambil berat isu umat Islam Uighur di China yang ditindas serta terbaru isu COVID-19 yang menggemparkan dunia.
Gadis kelahiran Kuala Lumpur ini menyatakan kebimbangannya tentang obsesi wanita menjaga penampilan. “Kita menjaga kesihatan atau mahu menurunkan berat badan sekalipun bukan kerana aspek luaran semata mata. Bab dalaman juga harus dititik-beratkan.
Saya sendiri apabila mendengar banyak cerita di sekeliling terutama mengenai hal sakit tenat dan berita kematian di usia muda atau meninggalkan anak yang masih kecil, hati ini terpalit rasa sedih yang amat.
Malah menerusi pengamatan dan pembacaan, kes kematian kerana berat badan berlebihan juga antara yang cukup membimbangkan. Tiada jaminan dan kompromi dalam bab ini. Hal sebegini terus menggerakkan saya dan pasukan kerja menetapkan misi baru KILAFIT untuk membantu orang di luar sana mencegah masalah kesihatan akibat berat badan berlebihan,” bicara Kilafairy.