Kembali ke Langkawi, kunjungan Wan Aishah Wan Nawawi atau nama Thailand, Sirintra Yayee atau Nong May yang dikatakan waris generasi ketujuh Mahsuri kembali menjadi bualan hangat. Kali ini, wanita tersebut membawa suami dan anak lelakinya melawati lokasi bersejarah Makam Mahsuri.
Dalam beberapa video, Wan Aishah kembali menjadi tular di laman sosial selepas ke Langkawi, bahkan sempat bertemu YTM Tunku Temenggong Kedah Dato’ Seri Diraja Tan Sri Tunku Puteri Intan Safinaz binti Almarhum Sultan Abdul Halim di sana.
Turut menyambut baik kedatangan Wan Aishah adalah Ketua Pegawai Eksekutif Langkawi Development Authority (LADA) iaitu Tuan Nasaruddin Abdul Muttalib serta warga Langkawi yang mengalu-alukan waris Mahsuri tersebut.
LEBIH DEWASA
Seperkara yang menarik, isteri ahli perniagaan yang kini berusia 37 tahun itu tampil lebih cantik berhijab. Berkulit putih mulus, berhidung mancung dengan raut wajah lembut mengasyikkan, ibu anak satu itu merupakan bekas penuntut Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dan Universiti Bangkok dalam jurusan komunikasi.
Wan Aishah dipercayai sebagai keturunan yang menamatkan sumpahan yang dijatuhkan oleh moyangnya. Hal ini kerana, Wan Aishah merupakan keturunan ketujuh Mahsuri dan seperti yang dilafazkan oleh moyangnya sendiri, sumpahan itu akan tamat setelah tujuh keturunan lalu – kelahiran Wan Aishah pada tahun 1985.
Selain cantik, orangnya juga pandai bergaya. Persis model, ada yang kata wajah Wan Aishah ni ada iras-iras selebriti Filipina, Marian Rivera dan Rita Rudaini. Apa pendapat anda…
Tumpang seronok tengok koleksi foto percutian Wan Aishah dengan suami dan anak kesayangannya. Semua cantik-cantik!
Dikatakan mewarisi kecantikan moyangnya, Wan Aishah pernah dijemput untuk datang ke Langkawi pada kali pertama pada tahun 2000 sempena ulang tahun ke-10 Lembaga Pembangunan Langkawi.
Beliau ditemani oleh ibu bapanya iaitu Wan Nawawi dan Sumaini Yayee, beserta datuknya Wan Hashim dan ahli keluarganya yang lain, dan disambut seperti VIP apabila tiba ke Langkawi. Wan Aishah juga ditawarkan oleh kerajaan untuk menetap dan belajar di sini pada waktu itu.