Label instant turban yang menggunakan namanya sendiri kini semakin dikenali serta mendapat sambutan yang sangat baik khususnya di kalangan wanita berkerjaya mahupun VVIP. Pengasas jenama Ilham Echenta yang selesa disapa sebagai Echenta ini berjaya membuktikan wanita bergelar isteri dan ibu juga mampu berjaya dalam perniagaan.
“Saya mendapat idea untuk mewujudkam Ilham Echenta sekitar tahun 2011. Kebetulan waktu itu saya juga buat bisnes korset kecantikan. Disebabkan saya sering menggayakan turban sebagai pemakaian harian maka dari situlah datangnya idea untuk menghasilkan turban mengikut cita rasa sendiri.
Saya mula berniaga dari rumah. Saya bermula dengan modal yang sangat kecil dan tidak mempunyai pembantu untuk menguruskan perniagaan. Semuanya dilakukan sendiri. Masa tu lah hendak jaga anak, buat bisnes dan sebagainya.
Ads
Suami juga telah berhenti daripada bisnes fotografinya dan kini hanya fokus kepada Ilham Echenta. Beliau menjaga bahagian pengurusan, staf dan kerja-kerja produksi di butik. Manakala saya pula lebih kepada rekaan.
Masa awal-awal dulu saya hanya keluarkan satu design sahaja dalam kuantiti 50 helai. Itu pun sudah banyak bagi tempahan pre order. Yang menjahitnya kakak saya. Tetapi disebabkan kakak pun bekerja maka saya tak boleh nak harapkan dia seorang. Saya turut menjahitnya untuk selesaikan semua tempahan pre order.
Di samping itu, saya juga sering berkongsi ootd yang digayakan bersama turban Ilham Echenta di Instagram peribadi. Ini sebahagian daripada tugas saya, perlu memperagakan dan mempromosikan jenama sendiri. Tapi di luar waktu kerja saya seorang yang sangat ringkas,” kongsi ibu kepada 3 cahayamata ini yang berusia 34 tahun.
Ads
NASIHAT BUAT WANITA
Ads
“Buat wanita di luar sana beranilah untuk berdikari jika ingin bergelar usahawan berjaya. Saya dulu bertahun-tahun mempromosi turban sendiri. Ketika awal-awal berniaga tidaklah semudah yang disangka. Ada yang tak nak pakai turban saya tapi saya tak mudah putus asa.
Suami selalu pesan kalau bukan saya yang pakai siapa lagi yang nak pakai. Kalau saya segan nak pakai, tiada siapa yang akan beli. Saya positif dan mendengar apa yang suami kata.
Lagi satu, dalam berniaga kalau hendak meniru atau ciplak rekaan orang lain teruskanlah. Tetapi ingat, strategi perniagaan itu berbeza. Hanya individu itu sahaja tahu bagaimana cara dia hendak berniaga,” akhiri Echenta.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Dah lama tak dengar khabar usahawan yang terkenal dengan gelaran ‘Queen of Fairy Tales’ ini. Kalau dulu nama Joy Revfa sinonim dengan kisah ‘hangat’ peribadi antaranya putus tunang.
Setelah itu, pengasas Merve Cosmetics yang juga ibu tunggal kepada seorang anak ini mula menyepi. Kehidupan Joy Revfa atau lebih mesra disapa sebagai Joy kini lebih banyak tertumpu kepada bisnes serta keluarga.
Melihat kepada update terkini di akaun Instagram, Joy berkongsi foto-foto percutiannya bersama keluarga di Istanbul, Turki. Memang terserlah ketenangan dan kebahagiaan Joy di samping insan-insan tersayang. Joy bertuah kerana mempunyai support system yang kuat termasuk team yang sentiasa menyokongnya dari belakang.
KELUARGA NAK JODOHKAN TAPI…
Sebagai wanita ‘single’ yang memiliki bisnes sendiri, pasti ramai yang nak mendekati. Namun, disebabkan pernah kecewa beberapa kali sebelum ini menjadikan Joy lebih berwaspada.
“Selepas putus tunang pada 2020 saya hanya fokus pada bisnes saja. Memang ada yang nak mendekati tapi buat masa ni saya nak lebih fokus kepada bisnes, anak dan keluarga. Buat masa ni biarlah saya fokus kepada kerjaya dulu.
“Saya sebenarnya banyak belajar dari pengalaman lalu, kenal dulu siapa orang yang akan hidup dengan kita.
“Ada juga keluarga nak jodohkan tapi saya rasa biarlah dulu. Kalau ada jodoh tu tak ke mana. Apa pun keputusan, saya yang akan tentukan mana yang terbaik.”
Memetik kata-kata Joy yang dikongsi di Instagramnya baru-baru ini: –
“Tidak layak rasanya hati ini untuk sesiapa kerana perjuangan saya hanya untuk dunia akhirat, anak serta keluarga.
“Saya mahu terus memberi manfaat kepada lebih ramai orang. Mungkin bahagia bukan sekarang, tapi nanti. Saya yakin janji Allah SWT itu pasti.”
IBU SUMBER KEKUATAN Sejak dulu sehingga kini, ibunya, Sofia Abbas sentiasa menjadi tulang belakang serta sumber kekuatan dan inspirasi dalam kehidupan Joy. Lebih-lebih lagi, ibunya juga seorang ibu tunggal. Maka, kekuatan luar biasa yang dimiliki ibunya telah mematangkan diri Joy.
“Kalau sebut tentang ibu memang akan membuatkan saya mudah sebak dan menangis. Bagi saya beliau ibu tunggal yang berjaya sebagai SEORANG USAHAWAN. BERKAT didikan dan usahanya itu kami ADIK BERADIK berjaya sekarang, alhamdulillah.
“Kami saksi kecekalan ibu dalam membangunkan bisnes termasuklah menghantar kami ke tempat-tempat mahal untuk kami belajar dan upgrade kemahiran.
“Antara pesan ibu yang saya ingat, biar apa pun terjadi jangan cepat putus asa. Teruskan saja, hargai orang sekeliling kita. Yakin dan sentiasa hargai diri.”
Joy turut mengharapkan agar tahun 2023 membawa lebih banyak kebaikan dalam kehidupannya.
“Moga tahun 2023 ini menjadi permulaan untuk kehidupan kita semua jadi lebih baik. InshaAllah. Doakan saya juga.”
Kredit Foto: Instagram Joy Revfa
Majalah Nona ada juga di Telegram. Mudah nak akses artikel menarik dan video-video terkini di sini. Follow kamii sekarang di https://t.me/majalahnona
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Melihat susuk tubuh Yang Mulia Raja Petrina Suziana Raja Putera Shah pasti ramai yang tidak menyangka kerabat diraja ini merupakan ibu kepada dua orang anak. Macam anak dara! Mengakui mudah turun berat badan kerana sibuk menjaga kedua-dua putera kesayangan, salah satu cara beliau untuk memastikan kesihatan tubuh kekal langsing dan bertenaga adalah dengan minum air kosong secukupnya.
Selain mengawal pemakanan, Raja Petrina juga seorang wanita Melayu yang begitu menitikberatkan soal kesihatan sewaktu berpantang. “Bonda akan memastikan saya mengikut segala pantang-larang terutamanya selepas bersalin. Dari melahirkan anak pertama lagi, bonda ajar saya amalkan petua berpantang ‘Pah Laili’. ‘Pah’ ini sebenarnya panggilan ibu angkat bonda saya dari kecil dan antara dayang istana yang teliti bab pantang-larang dan adat istiadat di istana.
Untuk kesihatan badan agar kekal sihat, saya akan pastikan setiap hidangan yang saya ambil perlu ada buah dan sayur. Juga, semestinya makanan yang sihat sebab saya tak makan fast food. Lagi elok kalau masak sendiri dari rumah di samping menikmati sayur-sayuran organik dan juga chia seed.
Sejujurnya saya selesa mengawal cara makan tiga kali sehari. Snacks on fruits, makan nasi dan sayur sama banyak. Waktu malam memang saya jarang makan nasi. Biasanya saya akan pastikan makan sebelum Maghrib.”
Diaju tentang penjagaan kulit wajah pula, sambil tersenyum ibu muda ini membongkar rahsia. “Kalau penjagaan harian biasanya saya selesa buat di rumah saja. Jarang ke salun pun. Cuma pakai masker sekurang-kurangnya sekali atau dua kali seminggu. Ikutkan, penjagaan kulit wajah saya ringkas je. Hanya amalkan lima langkah mudah.
Pertama sekali, bersihkan muka dengan pencuci wajah, kemudian gunakan mask atau scrub. Fungsinya untuk menyingkirkan kulit mati atau kekotoran yang melekat di muka diikuti pemakaian serum. Tak lupa juga menggunakan krim pelembap dan krim pelindung sinar UV.”
Hendak nampak cantik, kenalah rajin. Kalau sudah terbiasa buat penjagaan asas kulit seperti ini mesti tak ada masalah hendak tiru rejim kecantikan Raja Petrina. Apa yang pasti, kecantikan dan kesihatan kulit wajah sebenarnya bukan terletak pada jenama produk sebaliknya tentang bagaimana kita ‘memanjakannya’.
Tambahnya lagi, “Tak lupa juga rutin senaman selama 30 minit dalam empat hingga lima kali seminggu. Itu pun saya buat di rumah saja sebab senang hendak jaga anak-anak,” terang wanita berkulit cerah berusia 34 tahun ini.
Enggan duduk di rumah tanpa berbuat apa-apa, Raja Petrina mengambil keputusan untuk berjinak-jinak dalam bidang perniagaan melalui bisnes aksesori wanita yang diusahakan iaitu Petrina Putra. Boleh rambang mata kalau tengok koleksi yang dihasilkan kerabat diraja ini.
“Menguruskan rumah tangga dan dalam masa sama usahakan perniagaan sendiri memang perlukan banyak pengorbanan. Buat masa sekarang, saya berniaga aksesori ‘statement necklace’ ini dulu secara online. Sambutan terhadap aksesori Petrina Putra setakat ini sangat memberangsangkan. Idea untuk buat bisnes ini sebenarnya tercetus kerana minat saya terhadap dunia fesyen.
Bagi saya, penglibatan dalam perniagaan bukan saja kena kuat mental dan fizikal malah kena ada minat serta kesungguhan tinggi. Saya bersyukur sebab perniagaan ini ada masa yang fleksibel. Selain dapat wang, saya juga ada masa untuk pantau anak-anak.
Ada ketika memang terlalu sibuk melayan permintaan daripada pelanggan tapi keutamaan tetap diberikan kepada anak-anak dan keluarga. Saya mahu setiap masa yang saya luangkan untuk mereka berkualiti atau dalam erti kata lain, tak juga menjejaskan periuk nasi saya sendiri. Kiranya, dua-dua perlu seimbang,” akhirinya.
Kredit foto: Instagram rajapetrina_mk
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Ibarat bertempur tanpa senjata, turun ke zon kuarantin melawan wabak penyakit paling berbahaya di dunia. Dengan kudrat dan pakaian perlindungan yang tebal, para petugas kesihatan kita gigih berjuang merebut nyawa seseorang dari seksa sakaratulmaut.
Pengorbanan warga kerja di barisan depan kini menjadi perhatian dunia. Tatkala virus corona menular, anggota perubatan berusaha membendung wabak dengan mendahulukan keselamatan orang ramai dari keselamatan mereka sendiri.
Yang kita lupa, ada jiwa-jiwa resah yang menunggu kepulangan mereka di rumah. Inilah yang dirasai Puan Tania Tahir melalui luahannya di Facebook, setiap kali suami tercinta, Azrilhafiz Zainal melambai pergi.
“Rasa gugur jantung ni lepaskan suami pergi kerja…”
**YOU DON’T HAVE TO BE SCARED**
So just now.. I saw my husband to work. If some of you don’t know, he is a Medical Assistant. And Medical Assistants are usually the FIRST to see patients. So u know what that means, kan ? Rasa gugur jantung ni lepaskan suami pergi kerja.. Tp sy tahu, dia berjuang demi rakyat negara ini. He needs to be strong therefore I need to be his strength.
I do pray that he, his colleagues and everyone be protected from harm, any infection or illnesses. Semoga suami sy, rakan2 sekerjanya serta semua dilindungi dari covid19, dari mana2 jangkitan atau apa2 musibah.
Besides that I do pray that all patients tell the truth. Sy juga berdoa agar setiap pesakit berlaku jujur. Jika anda rasa anda mungkin terdedah kepada jangkitan covid19, tiada pekerja klinik atau hospital akan judge atau menghukum.. Kerana tanggungjawab mereka adalah utk menolong. Have mercy on their sacrifices, appreciate their bravery for dealing with this pandemic head on and just tell the whole truth.
“Suami minat bidang pertolongan cemas”
Dalam perbualan Nona dengan Puan Tania Tahir, kerisauan ibu jelita ini terhadap kesihatan suaminya jelas dizahirkan. Pasangan dari Ampang ini telah berkahwin hampir 11 tahun dan mereka dikurniakan seorang cahaya mata lelaki.
“Sejak dulu lagi saya memang bangga dengan kerjaya suami saya. Walaupun beliau layak untuk mendalami bidang perubatan dan jadi doktor, tapi minatnya lebih kepada first aiding atau pertolongan cemas. Jadi minat itu diteruskan dalam jurusan Penolong Pegawai Perubatan.
Semasa suami masih belajar, saya ingat mungkin risiko pekerjaannya tidak sebahaya doktor. Tapi sekarang saya rasa sama saja. Malah Assistant Médical Officers (atau Medical Assistants) ni adalah barisan terdepan, first to touch and see patient! Maksudnya pada kebanyakan masa, adalah orang pertama terdedah kepada segala jangkitan yang dibawa oleh pesakit.
Suami jarang berkongsi apa yang berlaku di tempat kerja, tetapi saya pernah dengar luahannya. Hampir tiga minggu lalu, rakan sekerja suami berkali-kali menyoal seorang pesakit tentang sejarah perjalanan ke luar negara. Pesakit itu dengan yakınnya kata, tidak ada.
Tapi sebaik pesakit tersebut melepasi yellow zone, barulah nak mengaku dia sebenarnya bekerja di Hong Kong. Mereka tidaklah marah, tapi saya nampak air muka suami berubah. Dia kecewa dengan sikap-sikap begini.
Semua frontliners bukannya kebal dari jangkitan. Mereka juga manusia biasa, ada kerisauan dan tahap kesabaran masing-masing. Jika emosi mereka terjejas, sudah tentu mengganggu fokus dan ketenangan semasa bertugas. And you know, they have to keep calm in order to help.
Di sinilah ujian bagi mereka yang bekerja sebagai healthcare frontliners, terutamanya di klinik dan hospital seperti doktor, jururawat dan Medical Assistants, berdepan segala macam ragam pesakit dan pewaris yang datang bersama pesakit,” cerita Marketing Coordinator itu.
Hampir menitik air mata penulis mendengar cerita Puan Tania sepanjang menguruskan keperluan suaminya yang bertugas mengendalikan kes pesakit COVID-19. Iyalah, isteri mana tak bimbang!
“Suami pernah juga bertugas masa wabak SARS dan MERS menular dulu. Tapi buat pertama kalinya dalam tempoh 12 tahun bertugas, 4 ke 5 hari berturut-turut beliau akan balik minta saya masakkan air. Sediakan air suam dan garam untuk merendam kaki.
Saya tengok kulit tapak tangan sampai ke hujung jari-jemarinya, habis mengelupas sebab asyik dibasuh dengan alkohol. Sebaknya ya Tuhan…
Saya juga mesti pastikan air masak siap mendidih sesampainya suami di rumah. Mesin basuh kena sedia kosong untuk dimasukkan baju kerja yang dipakai. Beliau sendiri akan tuang air yang saya masak tadi.
Kami jadikan rutin, suami akan call sebelum masuk rumah agar saya siap sedia buka pintu. Mudahkan laluannya ke tempat basuh baju dan pastıkan kami duduk dalam bilik sehinggalah beliau selesai mandi. Semua tuala dan pakaian, digantung dalam bilik yang berasingan dan kami tak boleh masuk bilik tu. Anak tidur dengan saya. Suami tidur bilik lain.”
Tentang penjagaan diet dan makan minum suami di rumah, Puan Tania cukup teliti menjaga. “Saya pastıkan masakan saya diletakkan bawang putih dan halia. Minuman panas mesti letak halia. Setiap hari suami mesti makan buah naga dan suplemen terutama sekali suplemen berasaskan bawang putih dan Vitamin C. Beliau juga perlu minum air kosong secukupnya.”
Harapan Seorang Isteri
“Saya harap agar semua isteri atau suami petugas kesihatan dan frontliners kekal sabar, kuat serta terus beri sokongan buat pasangan dan ahli keluarga masing-masing. Healthcare frontliners adalah kekuatan negara kita sekarang ni. Hanya pasangan dan ahli keluargalah kekuatan dalaman mereka.
Untuk semua pesakit atau sesiapa yang merasa mereka mungkin terdedah kepada jangkitan COVID-19, silalah tampil ke hadapan dan paling penting jujur dengan pihak klinik atau hospital. Tiada siapa pun minta pandemik ini terjadi. Yakınlah pada Tuhan dan yakın bahawasanya healthcare frontliners ada di sana untuk memberi pertolongan,” akhiri Puan Tania.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Buat pertama kalinya Datin Paduka Seri Afzaa Fadini Dato’ Abdul Aziz hadir ke majlis ulang tahun Hari Keputeraan Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj.