Selepas kejayaan menjadi penaja utama dan penerima Nona Superwoman Award 2022, USANITA kian melangkah laju melahirkan usahawan berpotensi seluruh negara.
Menerusi pimpinan Datin Adzliana Prof Dato’ Sri Dr Hasan yang juga Ketua Pegawai Eksekutif, syarikat pemudahcara di antara usahawan dan pihak kerajaan atau badan-badan berkaitan keusahawanan ini makin dikenali dan ‘diserbu’ individu yang mahu berjaya dalam perniagaan. Tahniah!
Berkongsi perkembangan terbaharu USANITA, misi membantu ahli perniagaan khususnya B40 dan M40 terus diperluas. Kali ini, Bootcamp Perintis USANITA 2.0 bakal membuka tirai.
“Lepas Nona Superwoman Award hari itu, USANITA dapat good feedback. Ramai yang dah lebih tahu apa yang USANITA buat. Dalam masa sama, kami dapat banyak networking daripada majlis penganugerahan tersebut.
Jadi kini USANITA mengadakan seminar yang kami gelar Bootcamp Perintis USANITA 2.0 yang akan diadakan pada 24 hingga 26 Februari ini di World Trade Centre (WTC), Kuala Lumpur.
Kami akan sediakan lebih 15 inti pati program yang dimeriahkan barisan speaker dalam industri masing-masing. Antaranya Datuk Rosyam Nor, Awal Ashaari, Scha Alyahya, Rizman Ruzaini, Linda Rafar, Sharifah Khasif dan Zoey Rahman.”
Tidak ketinggalan, Bootcamp ini juga mendapat kerjasama daripada agensi kerajaan seperti MARA dan MATRADE. Ia penting bagi memudahkan golongan usahawan mendapatkan sebarang khidmat dan nasihat secara terus ketika berlangsungnya program itu nanti.
Mengulas agenda tahun 2023, Datin Adzliana atau mesra disapa Datin Nana memberi fokus terhadap platform beli-belah melibatkan usahawan di bawah kendaliannya iaitu USANITA Mall.
“Kelebihan USANITA Mall ini dengan platform yang lain ialah kami akan bantu para usahawan untuk jaga visual produk mereka supaya nampak kemas dan lebih menarik. Kami di USANITA turut akan memberi tunjuk ajar bagaimana visual yang baik dapat membantu penjenamaan mereka ketika berada di platform online.”
Ditanya mengenai penganjuran seminar di Borneo seperti yang diuar-uarkan sebelum ini, jelas Datin Nana, “Buat masa ini Bootcamp di Borneo masih lagi dalam perancangan. Mungkin kali ni akan fokus dahulu pada program bootcamp yang akan dilakukan di WTC, KL dan beri laluan pada bulan Ramadan dahulu memandangkan bulan Ramadan akan bermula tidak lama lagi.”
Baru-baru ini, satu lagi sejarah berjaya dilakar apabila USANITA menjalin kerjasama dengan Universiti Kebangsaaan Malaysia (UKM) dan e-Entrepreneurs Women Association Malaysia (EWA) untuk memperkasa ekonomi wanita dan pelajar.
Pada 10 Februari lalu, USANITA turut mengadakan kunjung hormat ke atas Yang DiPertua TYT Negeri Melaka Tun Yang Terutama Tun Seri Setia (Dr) Haji Mohd Ali Mohd Rustam. Turut hadir sama ialah Timbalan Speaker DUN Melaka iaitu Datuk Dira Abu Zahar.