Malaysia #QuranHour kali ke-9 bertemakan “Malaysia Berakhlak Mulia, Pemuda Merdeka, Pemimpin Abrar” yang berlangsung baru-baru ini sempena Hari Kebangsaan ke-66 mengajak rakyat berbilang kaum serta pemimpin membina negara yang maju, sejahtera dan progresif berpandukan solusi al-Quran.
Program berinteraksi al-Quran melalui baca, faham dan amal ini bersiaran secara langsung dari lokasi perdana Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin Putrajaya diadakan serentak di seluruh negara pada jam 12 hingga 1 tengah hari, 30 Ogos 2023.
Program ini dibawa secara langsung oleh penyiar rasmi RTM di TV1, dan rakan sinergi media, TV9, TV AlHijrah, Astro Oasis dan platform digital Facebook Quran Hour, Sinar Harian serta Sinar Islam Plus.
Malaysia #QuranHour anjuran Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF) kali ini memfokuskan agenda anak muda dan peranan orang dewasa.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif WUIF, Marhaini Yusoff, gabungan anak muda dan orang dewasa saling melengkapi dalam melahirkan Gen Q (Generasi Al-Quran) dan pemimpin abrar yang membawa legasi kebaikan serta membumikan al-Quran.
Surah Al-Insan (Manusia), Al-Fatihah (Pembukaan) dan Al-Asr (Masa) menjadi pilihan agar mampu melahirkan Muslim yang bersyukur, minda yang cerdas dan berkemahiran.
“Kita bersyukur dan berterima kasih atas penglibatan pemimpin muda dari pelbagai latar belakang pada Malaysia #QuranHour. Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin menjadi Zon Neutral untuk kita bersatu hati di bawah naungan al-Quran.
” Dalam al-Quran banyak menyebut bahawa Allah SWT menyeru kepada seluruh manusia al-Quran sebagai panduan Allah SWT dalam membina negara.”
Pengisian bacaan al-Quran dibimbing oleh lima qari iaitu Abdul Qowiy Abd Rashit, Tilmiz Afif, Amir Naufal Rifqi, Faris Hadi Taufik dan Yusuf Kassim. Ia diselang selikan dengan sesi tadabbur disampaikan oleh Ketua Pegawai Penyelidik WUIF, Fazrul Ismail, Timbalan Dekan (Penyelidikan & Inovasi), Fakulti Pengajian Quran Sunnah, Universiti Sains Islam Malaysia, Prof Madya Dr. Ahmad Sanusi Azmi, dan Ustaz Mujib Othman.
Antara tetamu yang hadir ialah Datin Setia Nik Roslini Raja Ismail, isteri Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Ketua Pengarah JAKIM, Datuk Hakimah Mohd Yusoff, Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli, Nizran Noordin, Ketua Pengarah Islamic Tourism Centre, Ir. Muhammad Hasanuddin Thoyieb MM mewakili penganjur Indonesia#QuranHour, Pengasas WUIF, Datuk HussamuddinYaacub dan pihak pengurusan rakan sinergi media.
This website uses cookies.