Malu Dengan Tubuh Sendiri, MEGHAN TRAINOR Tepis Rasa Negatif Dalam Album Terbaru

Setiap wanita pastinya memiliki diari kehidupannya sendiri. Ada kalanya ia dihiasi dengan sebuah melodi indah, namun ada kalanya ia dipenuhi dengan nokhtah hitam yang kekal abadi. 

Sumber: Genius

Begitu jualah yang dirasai oleh pelantun lagu All About That Bass, Meghan Trainor yang pernah mengalami masalah serangan panik di dalam sebuah program ‘live’. Kini dia kembali dengam sebuah hadiah terbaru dan menyifatkan bahawa kelahiran album terbarunya, Takin’ It Back sebagai sebuah karya yang mengisahkan tentang hubungan baik dengan tubuh badannya serta keyakinan diri yang hilang selepas bergelar seorang ibu. 

Sumber: CNN

Menurut Meghan, perjalanan bergelar seorang ibu bukanlah mudah. Tambahan pula, dia terpaksa melalui proses pembedahan sewaktu melahirkan anak sulungnya pada Februari 2021. Jadi, kesan luka itu menyebabkan dirinya sentiasa mengalami masalah serangan panik dan mudah berasa kecewa dengan tubuh badannya. 

“Menjadi seorang wanita bukanlah perkara mudah. Apabila sudah bergelar ibu, rasa penat mula menghantui diri sehingga adakalanya ingin berputus asa,” ujar Meghan menerusi temu bualnya bersama CNN. 

Sumber: People

Biarpun suaminya, Daryl Sabara seringkali menjadi kunci motivasi dirinya untuk sentiasa yakin namun, dirinya masih buntu menghadapi konflik yang dihadapi. Ada kalanya kesihatan mentalnya turut terjejas. 

Menggarap aspirasi dari perasaannya itu, Meghan lantas menghiasi album terbarunya itu dengan bingkisan lagu yang bertemakan ‘self love’. Tambahnya, kali ini dia lebih momfokuskan kepada penulisan lirik yang dikumpul dari perasaannya sejak sekian lama. 

Sumber: Pinkvilla

Konflik dengan saiz badannya sendiri, serta hubungannya bersama dengan anaknya itu menjadikan Meghan lebih sedar akan tanggungjawabnya sebagai seorang ibu. Kesemua 16 lagu yang menghiasi album terbarunya ini melengkapkan setiap persoalan yang timbul di fikirannya. Ternyata, Meghan berasa lebih segar dan keyakinan dirinya mula meningkat dari sebelum ini.

“Jujur saya katakan, konflik dengan sendiri merupakan perkara yang amat sukar dan menyedihkan. Oleh kerana itu, saya kongsikan perasaan saya selama itu dalam sebuah naskah yang lebih peribadi dipanggil Takin It Back untuk menjadi inspirasi buat semua yang mendengar”, kongsinya lagi.

Meghan Trainor pernah memenangi anugerah Grammy menerusi lagunya Lips Are Moving dan All About That Bass. Dikurniakan seorang cahaya mata, Riley, Meghan sudah bersedia menerima kelahiran cahaya mata baru pada tahun 2023 akan datang.

Share
Published by
Putra