Sejak kebelakangan ini nama Ustaz Ebit Lew menjadi bualan hangat masyarakat. Beliau yang dikenali sebagai penceramah dan sering turun padang bertemu pelbagai lapisan khalayak tanpa mengira usia, jantina, bangsa mahupun pangkat, dilihat tidak lelah berdakwah ke jalan Allah. Penyampaian ilmu agamanya tidak sekadar tertumpu dalam majlis-majlis ceramah bahkan Ustaz Ebit juga selesa mendekati mereka yang berada di lorong-lorong, kaki lima dan bawah jambatan.
Usaha murninya untuk membantu insan memerlukan tidak pernah terhenti malah ketika negara dilanda pandemik Covid-19 sekalipun beliau masih teguh menghulurkan sumbangan. Meredah hujan, panas terik dan semak-samun asalkan niat untuk meringankan beban insan yang terjejas dapat dipenuhi.
Berkongsi realiti hidup selepas beberapa hari tidak bertemu keluarga kerana aktif melakukan kerja amal, Ustaz Ebit Lew sekali lagi menjadi tumpuan warganet apabila perkongsian video yang menyaksikan ketiga-tiga anak mendakap erat tubuh bapa tersayang menerima jutaan tontonan.
“Setelah berhari tiada di rumah. Perjalanan kali ini terasa sebak. Banyak saya belajar tentang kehidupan dan muhasabah diri dan rindu hadir sampai menangis teresak-esak. Rindunya bidadari, rindu anak-anak. Anugerah Allah dalam hidup.
Ayah kenapa menangis? Rindu sangat pada bidadari dan anak ayah.
Rindu sangat ayah. Ayah pun rindu anak-anak ayah.
Ayah nak jadi baby boleh tak? Nak dukung. Seorang lagi, ayah nak terbang. Boleh tak ayah.
Semua anak berlari nak peluk. Jap ayah mandi bersih-bersih wangi-wangi. Jap-jap yer anakku. Mana pun kita pergi dalam dunia dan apa orang kata, pelukan bidadari dan anak-anak mengubati segalanya. Nikmat dari Allah.
Berebut-rebut semua nak kiss ayah dia. Nak hug semua sekali. Rumahku syurgaku. Bidadari saya walau penat, peluk saya dan kata, jangan sedih abang, Allah kan ada. Kan dia jaga kita dari dulu sampai bila-bila. Allah punya semua. Nanti kita nangis sama-sama dalam doa.”
Meskipun Ramadan tiba namun Ustaz Ebit tetap menjalankan kerja amalnya. Difahamkan sebaik sahaja selesai bersahur, beliau terus menuju ke utara tanah air bagi mencari mereka yang kesusahan. Bayangkan, urusan bantuannya berlanjutan hingga ke petang dan beliau sedikit pun tidak kekok berbuka puasa di kawasan rehat dan rawat (RnR).
Allahu, sungguh baik hati Ustaz Ebit. Moga setiap kebaikan yang dilakukan menerima ganjaran besar Allah SWT dan secara tidak langsung memberi inspirasi kepada insan lain untuk membuat perkara baik
This website uses cookies.