Ratu Elizabeth II, monarki Britain yang paling lama bertakhta dalam sejarah negara itu, mangkat pada usia 96 tahun. Istana Buckingham, dalam satu kenyataan ringkas, memaklumkan kemangkatan baginda dan bermulanya tempoh berkabung selama 10 hari, ketika seluruh dunia mengucapkan takziah dan mengimbau kembali kegemilangan pemerintahan baginda.
Ratu mangkat dalam keadaan tenang di Istana Balmoral (Scotland) tengah hari tadi selepas 70 tahun bertakhta. Ratu Elizabeth, tokoh paling lama memerintah Britain dan pemerintah tertua di dunia dilaporkan menghidap ‘episodic mobility problems’ sejak hujung tahun lalu.
Kemangkatan baginda diumum sejurus selepas pihak istana semalam mengesahkan baginda gering dan doktor amat bimbang terhadap kesihatannya. Semua anak baginda, Charles, Puteri Anne, 72, Putera Andrew, 62, dan Putera Edward, 58, berkumpul di Istana Balmoral di tanah tinggi Scotland. Menyertai mereka ialah anak Charles, Putera Prince William, dan adiknya Putera Harry.
Ratu Elizabeth, dua hari lalu, menyaksikan upacara angkat sumpah Perdana Menteri baharu Britain, Liz Truss, sebagai Perdana Menteri ke-15 di bawah pemerintahan baginda dan dilihat lemah serta bertongkat, namun masih tersenyum ketika bergambar.
Trivia mengenai Ratu Elizabeth II:
1. Ratu Elizabeth II dilahirkan sebagai Puteri Elizabeth Alexandra Mary pada 21 April 1926, di London. Merupakan puteri kepada Putera Albert, Duke of York (kemudian dikenali sebagai King George VI), dan Elizabeth Bowes-Lyon.
Sewaktu zaman kecil, tiada siapa menyangka Elizabeth suatu hari nanti bakal bergelar ratu Great Britain. Dia yang diberi gelaran Lilibet menikmati dekad pertama dalam hidupnya dengan semua keistimewaan kehidupan sebagai keluarga diraja tanpa tekanan untuk menjadi pewaris yang jelas.
Apabila datuk Elizabeth George V meninggal dunia pada tahun 1936, anak sulungnya (bapa saudara Elizabeth) menjadi Raja Edward VIII. Edward, bagaimanapun, jatuh cinta dengan Wallis Simpson dan terpaksa memilih antara mahkota dan pilihan hatinya. Akhirnya, Edward memilih Simpson dan melepaskan mahkota itu.
Peristiwa itu mengubah perjalanan hidup Lilibet, menjadikannya pewaris kepada mahkota British. Ratu Elizabeth II menaiki takhta pada 8 Februari 1952 di Westminster Abbey pada usia 25 tahun selepas kemangkatan bapanya, Raja George VI, pada 6 Februari 1952. Buat pertama kalinya, upacara pertabalan disiarkan di televisyen, membolehkan orang ramai dari seluruh dunia menyaksikan kemegahan acara itu.
2.Ratu Elizabeth II berkahwin dengan sepupu jauhnya Philip Mountbatten pada 20 November 1947, di Westminster Abbey di London. Ratu Elizabeth II pertama kali bertemu dengan Philip, anak kepada Putera Andrew dari Greece, ketika berusia 13 tahun.
Ratu Elizabeth II dan Philip mempunyai 3 anak lelaki iaitu Charles dilahirkan pada tahun 1948, Anne lahir pada tahun 1950, Andrew dan Edward—masing-masing lahir pada tahun 1960 dan 1964. Pada tahun 1969, Ratu Elizabeth II secara rasmi menjadikan Charles penggantinya dengan memberinya gelaran Putera Wales.
3. Baginda mewarisi takhta UK sejurus selepas Perang Dunia Kedua, menyertai pentas dunia yang dikuasai tokoh politik seperti Mao Zedong dari China sehingga pemimpin Kesatuan Soviet, Joseph Stalin dan Presiden Amerika Syarikat (AS), Dwight D Eisenhower.
4. Sepanjang 70 tahun, baginda bertakhta merentasi dua abad yang penuh pergolakan sosial, politik dan teknologi.
5. Baginda menyaksikan keruntuhan empayar British yang tersebar luas hampir ke seluruh dunia selain menyaksikan krisis Brexit dan pelbagai skandal membabitkan keluarga diraja menggugat asas kerajaan baginda.
6.Sepanjang pemerintahannya Ratu Elizabeth kekal sebagai Ratu yang popular dan bukan saja bertakhta di United Kingdom tetapi turut diiktiraf 14 bekas tanah jajahan British termasuk Australia, Kanada dan New Zealand.
7.Baginda juga adalah ketua kumpulan 56 negara Komanwel yang merangkumi hampir suku daripada penduduk dunia selain diiktiraf pemerintah agung Gereja England iaitu gereja induk bagi golongan penganut Anglikan di seluruh dunia.
8. Ratu Elizabeth atau nama penuhnya, Elizabeth Alexandra Mary Windsor, adalah satu-satunya monarki yang dikenali oleh majoriti rakyat, dengan imejnya tertera pada setem, mata wang dan syiling.
9.Baginda memerintah selama 70 tahun 7 bulan. Sebagai raja berperlembagaan, Ratu Elizabeth II tidak mengambil berat tentang hal politik dan tidak mendedahkan pandangan politiknya. Bagaimanapun, Ratu Elizabeth II kerap berunding dengan perdana menterinya.
10. Sepanjang hidupnya, Ratu Elizabeth II sering dikelilingi dengan dengan anjing. Baginda juga seorang peminat kuda yang membiak baka tulen dan menghadiri acara perlumbaan selama bertahun-tahun.
Semua stesen televisyen dan radio di UK turut berkabung dengan kemangkatan Ratu Elizabeth dengan menyiarkan pelbagai program mengimbau kembali riwayat kehidupan baginda.
Lagu kebangsaan ‘God Save the Queen’ dimainkan berulang kali, bendera dikibarkan separuh tiang manakala loceng gereja terus berbunyi bagi memperingati wanita yang pernah dikenali sebagai ‘Monarki Global Terakhir’. Tempoh berkabung kebangsaan akan diteruskan sehingga upacara awam terakhir di Westminster Abbey di tengah London.
Manakala upacara Putera Charles dinobatkan sebagai Raja Charles Ke-3, suatu amalan yang bersejarah dan penuh adat istiadat, akan diadakan di bangunan sama yang pada tarikh yang belum lagi ditetapkan.
Sumber: Biography, Reuters & AFP
This website uses cookies.