MashaAllah, besarnya saham akhirat satu keluarga mangsa nahas tragedi MH17 ini. Mengimbas kembali insiden tragis yang berlaku hampir lima tahun lalu saat umat Islam sedang menjalani hari ke-19 berpuasa, Tambi Jiee dan isteri serta empat anak mereka telah pergi menghadap ilahi selepas pesawat yang dinaiki mereka ditembak jatuh di sempadan Ukraine-Rusia pada 17 Julai 2014.
Seakan mengulangi ‘sejarah’ sama tahun ini… tanggal 13 Mei lepas bersamaan 8 Ramadan, nama kesemua mereka kembali menjadi bualan apabila sebuah masjid indah di Kuching, Sarawak dikhabarkan siap dibina hasil wang pampasan keenam-enam keluarga berkenaan. Allahu, sesungguhnya niat waris keluarga Tambi Jiee dan isterinya, Ariza Ghazalee untuk menggunakan wang yang diterima ke arah kebaikan dimakbulkan.
Diberi nama Masjid Al-Ghazali yang terletak berdekatan kawasan perumahan di Petra Jaya, kos pembinaan masjid yang dihias dengan reka bentuk serba moden berunsurkan rona kelabu ini bernilai RM3.5 juta yang sebahagian besarnya adalah wang pampasan keenam-enam mangsa yang maut dalam tragedi menggemparkan dunia itu.
Menurut pengerusi masjid yang juga adik bongsu Ariza, Sumardi Ghazalee yang ditemubual Bernama… idea untuk membina masjid tercetus ketika ibu mereka meluahkan hasrat untuk melihat wang yang diterima disalurkan kepada perkara yang memberi manfaat kepada semua arwah.
“Kami memang sedih semasa menerima berita kematian semua Allahyarham tapi dengan adanya wang pampasan itu… kami sebagai keluarga mangsa berharap usaha ini dapat membantu mereka di alam sana. Jadi kami adik-beradik sepakat mendirikan masjid ini dan berharap agar ia dapat dimanfaatkan oleh penduduk sekitar di samping memberi pahala yang berterusan untuk arwah.”
Katanya lagi, sebahagian besar kos pembinaan masjid adalah wang pampasan mangsa. Manakala sebahagian lagi daripada orang awam yang berinfak dan sumbangan pihak Kerajaan Negeri Sarawak. Masjid Al-Ghazali dianggarkan mampu memuatkan sehingga 1,000 jemaah yang dilengkapi dengan ruang solat utama, ruang solat jemaah wanita, blok tandas, tempat wuduk, bilik pejabat, runag parkir, bilik pengurusan jenazah dan kediaman imam yang bakal dilantik kelak.
Pembukaan Masjid Al-Ghazali telah dibuka kepada umum pada 13 Mei lepas yang dimulakan dengan majlis berbuka puasa, disusuli solat Maghrib dan Isyak serta solat Tarawih berjemaah.
Selain Tambi yang juga jurutera petroleum dan isterinya Ariza, insiden turut mengorbankan semua anak mereka iaitu Muhammad Afif, 19 tahun, Muhammad Afzal, 17 tahun, Marsha Azmeena, 15 tahun dan Muhammad Afruz, 13 tahun. Ketika kejadian, Tambi sekeluarga yang berasal dari bandar raya ini dalam penerbangan pulang dari Astana melalui Amsterdam untuk menyambut Aidilfitri di tanah air.
Seterusnya berpindah tugas ke Kuala Lumpur selepas menamatkan perkhidmatannya selama tiga tahun di Shell Kazakhstan. Tragedi turut mengorbankan 292 penumpang dan anak kapal lain.
Sumber: Bernama, Berita Harian & Kosmo