“Doa yang baik-baik, insyaAllah,” tutur Zara Zya tentang penghijrahannya kini. Ternyata penampilan pelakon yang mula dikenali menerusi drama Love You Mr Arrogant ini tambah manis apabila turut mengikut jejak langkah teman artis lain seperti Hannah Delisha, Cik Manggis, Kilafairy dan Dahlia Shazwan berhijab.
Pemilik nama sebenar Zainurul Razia Mohd Zainuddin ini mohon doa agar ‘penghijrahannya’ ini dipermudahkan. “Keputusan ini saya fikir bukan sesuatu yang perlu dilengahkan. Semoga niat ini dipermudahkan. Saya juga tak mahu berbolak-balik dalam hal tuntutan ini.
Saya sempat menjalani penggambaran drama untuk TV3 berjudul Beri Sedikit Waktu dan tamat Jumaat lalu. Malah kerana keputusan ini juga saya putuskan untuk menolak beberapa tawaran berlakon yang kurang sesuai,” kata Zara Zya yang mengakui semuanya berlaku atas gerakan hati sendiri.
Wanita yang terkenal dengan kebolehan memasak dan memiliki sebuah restoran, Zarazyacooks berlokasi di Setia Alam ini sedar dan mengakui sukar melakukan perkara yang baik. “Saya selalu dengar cerita soal istiqamah ini bukan mudah. Saya harap Tuhan akan tetapkan hati ini. InsyaAllah perlahan-perlahan saya akan terus belajar menjadi lebih baik daripada semalam.
Sejujurnya saat hati ini sudah rasa tak sabar nak pakai tudung, saya berdoa moga ini akan jadi satu permulaan lembaran yang baik. Bahkan saya juga tak ada rasa sayang langsung untuk melepaskan baju lama ketika tidak bertudung,” kata Zara Zya yang dilihat sudah mula menjual pakaiannya melalui di IG Story.
Sebelum ini Zara Zya telah melancarkan Projek Zara Prihatin #zaraprihatin untuk membalas balik jasa Frontliners. Pesan Zara Zya, “Jangan kita mementingkan diri. Fikir orang lain. Kalau tiada kepentingan untuk keluar rumah, maka janganlah berbuat demikian.
Sentiasa mencuci tangan dengan cecair pembasmi kuman, pakai topeng muka dan mengambil langkah berjaga-jaga. Pastikan jarak sosial anda sekurang kurangnya satu meter antara individu lain. Terus berdoa semoga semua ini akan pergi meninggalkan kita segera,” kata wanita kecil-molek ini.
Sumber: Berita Harian