Nama Yang Berhormat Young Syefura Othman, tidak asing lagi dalam dunia politik tanah air. Berusia 34 tahun dan berasal dari Setiawan, wanita jelita yang mesra disapa Rara ini sekali lagi menarik perhatian apabila fotonya usai tamat Sidang Parlimen yang pertama tahun ini menawan hati.
Tampil manis berkurung biru lengkap tudung bawal sedondon, kejelitaan bekas jururawat itu cukup terserlah. Rona yang lembut tak sedikit pun membayangi ketegasan Ahli Parlimen Bentong itu apabila banyak isu-isu masyarakat Bentong dibangkitkan ke peringkat atasan.
“Pada hari Selasa yang lalu telah tamat Sidang Parlimen yang pertama bagi tahun ini. Sidang yang berlangsung selama 9 minggu adalah sidang yang amat sibuk sekali kerana ia melibatkan perbahasan Titah Diraja dan Belanjawan 2023.
Saya telah mengambil bahagian di dalam perbahasan Titah Diraja. Di dalam perbahasan tersebut saya telah membangkitkan isu-isu berkaitan dengan masalah yang dihadapi di Bentong.
Antaranya isu kerosakan jalan lama Kuala Lumpur – Bentong akibat hujan lebat yang mengakibatkan kepala air pada 12 Februari 2023 di Bukit Tinggi, isu baik pulih rumah dan infrastruktur pasca banjir 2021 yang masih tidak selesai, isu pertanian di Bentong, isu pekerja-pekerja sektor kesihatan dan juga isu waktu menunggu di Hospital Bentong.
Saya juga telah dilantik untuk menganggotai Jawatankuasa Pilihan Khas Kesihatan, KRPPM Integriti, Governan dan Anti Rasuah dan Kaukus Palestin Parlimen Malaysia dan saya juga bersama ahli-ahli parlimen muda yang lain sedang dalam usaha menubuhkan Kaukus Ahli Parlimen Muda untuk ahli Parlimen yang berusia 40 tahun ke bawah.
Sepanjang berada di Parlimen, saya telah berjaya bertemu dengan berkaitan untuk isu-isu komunikasi, warganegara, masalah sektor kesihatan, pelancongan, pertanian serta isu tanah dan infrastruktur masyarakat Orang Asli.
Banyak pengalaman yang telah saya pelajari pada sidang kali ini. Ia agak berbeza sedikit dengan sidang DUN Pahang yang telah saya hadiri sewaktu menjadi ADUN Ketari yang lalu namun pengalaman menghadiri sidang DUN Pahang membantu saya.
Saya akan teruskan membawa isu-isu setempat di Bentong pada sidang akan datang. Banyak isu di Bentong ini yang masih memerlukan perhatian segera daripada pihak kerajaan Persekutuan.
Saya berharap akan ada perubahan yang akan berlaku demi kesejahteraan penduduk Bentong.” Young Syefura
Perkongsian beliau jelas menunjukkan komitmennya sebagai ahli politik yang komited membantu masyarakat. Selain itu, Young Syefura juga aktif dengan pelbagai program sepanjang bulan Ramadan ini seperti mengedarkan bubur lambuk, bakul makanan dan iftar bersama masyarakat di kawasannya.
*****************
Majalah Nona juga ada di Telegram tau. Mudah nak akses artikel menarik dan video-video terkini di sini. Jemput sertai sekarang (link)
*****************
This website uses cookies.