Bukan semua orang apabila sudah berada di puncak tapi tidak pernah melupakan mereka yang berada di bawah. Tidak sanggup melihat dugaan yang melanda mereka yang terkesan akibat pandemik COVID-19 ini, telah mencetus ilham buat pengasas Noir Health & Beauty ini untuk berkongsi rezeki.
“Memandangkan ramai dibuang kerja akibat pandemik yang melanda negara kita, kami telah mengambil inisiatif menghulurkan sumbangan kecil untuk membantu mereka yang terjejas dengan keadaan di negara kita sekarang.
Di samping itu, kami tak pernah lupa buat golongan warga emas dan orang kurang upaya,” tutur Eriyca Baiduri atau lebih dikenali sebagai Madammu di kalangan komuniti Noir Health & Beauty ini memulakan bicara.
Bercerita lanjut tentang program sumbangan yang telah dilakukan oleh wanita berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Komunikasi Massa ini, “Sumbangan yang kami salurkan ini berbentuk bantuan seperti barang dapur, barang keperluan asas harian buat mereka yang tinggal di Semenanjung Malaysia.
Manakala bagi mereka yang berada di Sabah pula kami akan menyumbangkan bantuan dalam bentuk wang tunai. Jumlah keseluruhan bantuan ini dianggarkan sebanyak RM100 ribu. Bantuan ini kami agihkan setiap hari Jumaat dan insyallah akan berterusan,” terang Eriyca tentang program sumbangannya kepada masyakarat ini.
Wanita berkulit putih dan murah dengan senyuman ini semakin manis sejak mengambil keputusan untuk berhijab. “Sebenarnya niat nak bertudung dah lama tapi saya selalu deny dengan perasaan sendiri. Sampailah ke tarikh 9 November lalu saya nekad untuk berhijrah.
Saya selalu fikir dengan rezeki sentiasa melimpah-ruah dan berjaya lahirkan beribu-ribu usahawan wanita. Daripada mereka susah tak punya apa-apa sehingga mampu jana pendapatan 5 ke 6 angka. Tapi saya sendiri tak mampu bantu diri sendiri dan ubah diri kepada yang lebih baik.
Daripada situ saya terfikir, Allah SWT dah mudahkan rezeki saya kenapa masih takut nak lakukan apa yang DIA suka. Dari situlah bermulanya penghijrahan saya untuk bertudung,” bicaranya lembut tersusun.
Melakar kejayaan dalam perniagaan sehingga terbinanya sebuah wisma telah membuatkan wanita yang berasal dari Terengganu ini sebak. “Alhamdulilah sekarang kami dah berpindah ke Wisma Noir. Asalnya dulu Noir bermula dari rumah dengan modal sebuah telefon bimbit sahaja.
Kemudian menumpang di pejabat milik suami dan selepas beberapa bulan dapat menyewa shop lot tingkat 1. Selepas 2 tahun, kini Noir mampu memiliki wisma sendiri bertempat di Semi-D warehouse 4 tingkat. Jika dulu staf Noir cuma seorang alhamdulilah kini dah 20 orang,” jelas ibu kepada tiga orang cahaya mata ini.
“Sekarang fokus saya hanya satu iaitu nak bantu lebih ramai mereka yang memerlukan. Saya juga buka peluang kepada wanita wanita di luar sana yang nak jana pendapatan dan dalam masa yang sama menjaga kesihatan serta kecantikan diri,” ujar Eryica yang mempunyai niat murni membantu golongan wanita agar mereka menjadi lebih maju dan berdaya saing.