Manohara Pernah Cetus Kontroversi Istana Kelantan Kini Bertanding Calon Pilihan Raya Indonesia

Masih ingat kah lagi dengan nama model jelita dari Indonesia, Manohara Odelia Pinot yang pernah mencetus kontroversi sekitar tahun 2009 lalu apabila melarikan diri daripada suaminya, Tengku Temenggong Kelantan ketika itu, Tengku Muhammad Fakhry Petra, adik kepada Sultan Kelantan sekarang, Sultan Muhammad V. Perkahwinan Manohara berlangsung pada tahun 2008 ketika dirinya masih muda sekitar usia 16 tahun sahaja.

Kini usia Manohara sudah mencecah 27 tahun dan telah menubuhkan syarikat penerbitannya sendiri, Tiga Meja Kreasi yang menumpukan kepada penerbitan majalah korporat. Selain itu Manohara juga kini bergiat aktif sebagai aktivis misi bantuan kemanusiaan di negaranya. Manohara banyak menghabiskan masanya dengan menyalurkan bantuan kepada pemuliharaan haiwan dan perlindungan hidupan liar.

Lebih membanggakan kini apabila Manohara menawarkan diri sebagai calon wakil rakyat pada pilihan raya Dewan Perwakilan Rakyat (DPR) Indonesia yang bakal berlangsung pada April ini. Menyingkap tentang penyertaannya dalam politik, pada tahun lalu, Manohara telah menyertai parti Nasional Demokrat  (Nasdem) dan berharap dapat membuat pembaharuan kepada negaranya – “concern for animals and the environment is very much lacking”.

Manohara bakal bertanding pilihan raya di kerusi Jawa Timur 1 meliputi kawasan Surabaya-Sidoarjo atas tiket Parti Nasdem, sebuah parti yang dipengerusikan oleh Surya Paloh, pemilik syarikat Media Group yang memiliki akhbar harian Media Indonesia dan saluran televisyen, Metro TV. Wanita cantik ini telah mengangkat mantan govener DKI Jakarta, Basuki Tjahaja Purnama atau lebih dikenali sebagai Ahok sebagai inspirasinya untuk menyertai dunia politik.

Walaupun kini Manohara telah mempunyai teman lelaki tetapi menafikan bakal menamatkan zaman solonya dalam masa yang terdekat. Manohara juga tidak pernah menjejakkan kaki ke Malaysia selepas insiden terdahulu dan tidak pernah merancang untuk datang semula ke Malaysia. Tambahnya bukan sebab memusuhi Malaysia tetapi mempunyai alasan yang tersendiri. Semoga Manohara Berjaya dalam pilihan raya itu nanti dan bakal melaksanakan manifesto yang diperjuangkan olehnya.

Sumber: www.straitstimes.com / Foto: Instagram @manodelia

Share
Published by
Hamizatul Maizan