Selama lebih tiga dekad berkhidmat di Bank Negara Malaysia, kerjaya Tan Sri Nor Shamsiah Mohd Yunus sebagai Gabenor Bank Negara ke-9 (2018 – 2023) menyaksikan penghormatan tertinggi terhadap keupayaan wanita. Beliau yang merupakan wanita kedua dilantik ke jawatan Gabenor menggalas peranan paling besar meneraju bank pusat negara, sekaligus mengetuai seluruh institusi kewangan di tanah air.
Sempat mengusik, bagaimana perasaannya tatkala melihat tanda tangan sendiri di atas wang kertas, Tan Sri Nor Shamsiah tertawa sambil berkata, “Biasanya suami dan anak lelaki saya yang paling excited. Rupanya lepas sign tu, banyak sangat tanggungjawab di atas bahu!” jujur jawapan akauntan bertauliah (CPA) ini yang turut merupakan ibu anak satu.
Di sebalik ketegasan seorang pemimpin, Tan Sri Nor Shamsiah sebenarnya seorang yang pemalu dan introvert. Namun beliau berani mengatasi sifat pemalu itu kerana sebagai Gabenor, salah satu kompentensi yang penting adalah berkomunikasi dengan semua lapisan masyarakat dan organisasi di dalam dan luar negara. Wanita berusia 60 tahun itu juga pernah berkhidmat di Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) selain beberapa jawatan lagi di syarikat pelaburan tanah air.
“Saya bernasib baik menerima biasiswa daripada kerajaan untuk menyambung pengajian ke University of South Australia. Saya menggenggam Ijazah Sarjana Muda Perakaunan di sana dan kemudian kembali ke tanah air untuk berkhidmat dengan Bank Negara Malaysia.
Pada permulaannya saya ditempatkan di Jabatan Pengawalan Bank, di mana saya mendapat banyak pendedahan daripada pelbagai aspek sistem kewangan dan perbankan kita. Saya juga belajar bagaimana sistem perbankan berfungsi lebih daripada sekadar menerima deposit dan menyalurkan pinjaman, bahkan mengukuhkan ekonomi sesebuah negara.
Selama lebih 30 tahun di Bank Negara, saya pernah berdepan dengan tiga krisis kewangan. Bermula dengan Krisis Kewangan Asia (1998) yang menyaksikan beberapa bank tempatan terpaksa ditutup dan Bank Negara sendiri melaksanakan banyak langkah dan polisi untuk menstabilkan ekonomi dan sistem kewangan, diikuti Krisis Kewangan Global sepuluh tahun kemudian (2008) dan akhir sekali sewaktu krisis pandemik COVID-19 (2020).
Namun saya bertuah kerana melalui pengalaman kerja di Bank Negara, saya dapat melihat sendiri corak perubahan ekonomi dari pelbagai sudut, di dalam mahupun di luar negara. It was a very enriching experience,” ujarnya sambil tersenyum.
Hampir setahun menikmati momen persaraan, kehidupan wanita yang banyak berjasa ini dilihat semakin membahagiakan. “Kini saya dapat meluangkan lebih banyak masa untuk keluarga terutamanya cucu-cucu saya. Saya ada dua orang cucu tapi mereka tinggal di luar negara. Peranan saya juga bertukar daripada menerajui Bank Negara Malaysia (BNM), sekarang menjadi mentor untuk membantu mereka membina barisan pelapis pemimpin. Saya juga berpeluang menyertai pelbagai persidangan dan seminar di luar negara, berkongsi pengalaman ketika di BNM, berbincang tentang hal-hal berkenaan ekonomi dan sektor kewangan.
Saya juga terlibat dengan sektor swasta. Saya merupakan ahli Lembaga Pengarah di salah satu institusi kewangan terkemuka di Hong Kong. Jadi selalulah saya ke sana untuk menghadiri mesyuarat Lembaga Pengarah. Dan ya, saya pastikan hidup sentiasa sibuk tapi tidaklah sesibuk sewaktu bergelar Gabenor dulu serta dapat luangkan lebih perhatian kepada aktiviti yang disukai,” kata Tan Sri Nor Shamsiah yang merupakan seorang yang aktif gym.
Kongsi beliau lagi, semasa masih bekerja sebagai Gabenor, beliau sentiasa memastikan untuk bersenam di gym setiap pukul 7.00 pagi, sebelum bertolak ke pejabat. “I need the endorphins, ia membuatkan saya lebih bersedia untuk menghadapi hari yang mencabar,” ujarnya yang bersenam lima kali seminggu dan sering mengamalkan pemakanan sihat serta seimbang.
“Kehidupan saya sebenarnya dikelilingi oleh doktor. Suami seorang Pakar Urologi manakala anak lelaki dan menantu saya kedua-duanya doktor perubatan di luar negara. Hanya saya seorang dalam bidang kewangan.
Pun begitu, saya bersyukur sebab mereka sangat memahami kerjaya saya dulu walau kadang-kadang keutamaan lebih pada kerja. Pernah saya terlepas menyaksikan momen anak naik ke pentas menerima Anugerah Kecemerlangan sewaktu dia di Darjah 6, peristiwa ini sampai sekarang dia masih ingat!” imbau Tan Sri Nor Shamsiah yang terkenal dengan imej rambut pendek.
Sangat gementar. Itulah perasaan Tan Sri Nor Shamsiah ketika pertama kali diumumkan memikul jawatan Gabenor Bank Negara. “Peranan dan tanggungjawab seorang Gabenor amat besar. Di bawah undang-undang, Bank Negara berperanan menggalakkan kestabilan monetari dan kewangan. So I was definitely very nervous.
Tapi saya sangat bertuah kerana dibantu pasukan yang mantap, kami sama-sama mengharungi cabaran bagi memastikan ekonomi Malaysia masih berkembang, ada kestabilan monetari dan kewangan,” ulasnya.
Mengimbau krisis ekonomi fasa pandemik COVID-19, Tan Sri Nor Shamsiah tanpa berselindung berkongsi sukar melupakan cabaran ketika itu. Menyifatkan sebagai krisis yang tidak pernah dialami oleh mana-mana negara di dunia, situasi ekonomi yang menguncup dengan dahsyat cukup menguji kredibiliti semua pihak termasuk Bank Negara.
“We had to be innovative and break down the silos,” Itulah ayat yang terkeluar dari mulutnya ketika menyaksikan keadaan yang cukup membimbangkan. Tekad mahu berfikir di luar kotak dan bekerja dengan semua pihak membabitkan seluruh Kementerian, agensi dan sektor swasta untuk menangani krisis ini, usaha yang dilaksanakan oleh beliau dan seluruh pasukan Bank Negara berjaya memulihkan ekonomi yang kritikal.
“Jujurnya saya sendiri tak sangka memiliki kekuatan itu dalam diri saya untuk mengharungi cabaran krisis besar tersebut. Memang tak tidur. Tiada istilah hujung minggu. Kami juga bernasib baik kerana telah menukar beberapa tugas-tugas manual kepada digital sepenuhnya. Alhamdulillah waktu PKP, kami sudah ada infrastruktur untuk bekerja dari rumah serta buat mesyuarat dalam talian.
Berkat musyawarah, kami berjaya mengeluarkan polisi-polisi untuk memastikan impak ekonomi COVID-19 dapat diurus dan dalam masa yang sama, memastikan juga polisi jangka pendek yang digubal tidak membebankan dalam jangka panjang. Ibaratnya, nasib generasi sekarang terjaga dan generasi akan datang juga terbela melalui ekonomi yang mampan,” ulas Tan Sri Nor Shamsiah yang selalu berusaha melindungi kehidupan dan rezeki masyarakat melalui kewangan yang sihat.
Ditanya apakah tip yang diamalkan apabila perlu membuat keputusan-keputusan besar melibatkan kepentingan banyak pihak, pemimpin wanita hebat ini terus-terang menjawab… “Kita tak boleh buat keputusan seorang diri. All the decisions in Bank Negara are made collectively. But as Governor, I take full responsibility. Bagi saya, kita mesti ada team to discuss and argue. Saya akan dengar semua pendapat dan kemudian team akan bagi pandangan mana yang betul atau sebaliknya.
Pada akhirnya, saya sendiri perlu betul-betul faham situasi tersebut dan bila sudah yakin, saya akan ikut satu kompas saja iaitu ‘do what is right for the Bank and do what is right for the Country’. Yakin dan tawakal kepada Allah SWT, barulah buat keputusan yang terbaik.
Selain itu sebagai seorang ketua juga, kita harus pastikan suasana kerja itu sendiri selamat contohnya apabila berlaku perselisihan pendapat, tiada pihak yang terkesan kerana menyuarakan pendapat tersebut,” katanya yang amat mementingkan dasar profesionalisme ketika bekerja.
Tenang dan sporting, saksikan temu bual eksklusif Nona bersama Tan Sri Nor Shamsiah baru-baru ini…
Menjadikan ibunya sendiri sebagai inspirasi, anak Kuala Lumpur itu sambil tertawa berkongsi sifat feminis yang dimiliki. “Mak saya suri rumah tapi dia nak semua anak perempuannya berdikari tak kira yang bujang atau berkahwin. Dia didik kami bahawa pelajaran adalah usaha sepanjang hayat, bukan lepas menamatkan sekolah dan universiti saja bererti habis belajar, no!
Itulah dua perkara yang saya pegang sampai sekarang. Percaya atau tidak, mak juga sangat menekankan kemahiran berbahasa Inggeris sejak saya di bangku sekolah rendah (1970-an). Dialah yang ajar saya grammar, garang sungguh bila mengajar anak-anak!
Daripada Tun Hasmah pula, saya jadikan beliau idola apabila tiba soal kerja. Selalu merendah diri dan ada empati. Manakala daripada Tan Sri Rafidah Aziz pula, saya ambil kekuatannya iaitu wanita harus punya nerves of steel apabila tiba soal kewangan dan ekonomi.
Tak ketinggalan Gabenor wanita pertama di Bank Negara iaitu Tan Sri Zeti Akhtar dan arwah Dato’ Mohd Razif bin Abd. Kadir, bekas Timbalan Gabenor, serta ramai lagi mentor-mentor yang banyak membentuk kompentensi dan karakter siapa saya hari ini,” cerita bekas pelajar Sekolah Convent Bukit Nanas itu.
Jika dilihat daripada aspek ekonomi yang luas, penglibatan kaum lelaki dalam sektor tenaga buruh adalah sekitar 80% manakala kaum wanita sekitar 50%. Dari segi bilangan, terdapat jurang 30% dalam sektor pekerjaan. Kata Tan Sri Nor Shamsiah, seandainyalah semua wanita diberi sokongan daripada sudut penjagaan anak dan fleksibiliti masa, beliau menjangkakan hampir 3 juta pekerja akan menyertai pasaran kerja sekaligus menjanjikan peluang peningkatan ekonomi yang lebih baik dalam negara.
Sayangnya dalam masyarakat kita, wanita terpaksa jaga keluarga, pikul tanggungjawab di rumah dan tempat kerja. “Sebab itulah majikan perlu ada inisiatif untuk bantu wanita. Apa yang saya lakukan ketika jadi Gabenor dulu adalah memperkenalkan pengurusan waktu kerja yang fleksibel. Datanglah bekerja selepas selesai hal keluarga namun pastikan cukup 8 jam masa perkhidmatanlah, itu saja. Sekurang-kurangnya wanita tak perlu terburu-buru uruskan anak dan rumah tangga.”
Mengakhiri perbualan, Tan Sri Nor Shamsiah menyuarakan rasa bangga apabila melihat staf atau anak-anak didiknya kini bergelar ketua di bank. Bagi beliau, ia menjadi kesinambungan legasi yang berterusan dalam melahirkan peneraju-peneraju muda yang berkebolehan dalam mengharungi cabaran ekonomi akan datang.
“Walaupun sudah bersara, saya ingin terus berkongsi pengalaman yang ditimba selama lebih 30 tahun di Bank Negara. Mungkin cabaran generasi masa kini berbeza dengan dulu, tapi saya yakin pelajaran dan pengalaman saya ini bermanfaat untuk banyak pihak terutama sekali dalam mengelakkan kesilapan berulang serta mencapai objektif dalam masa yang lebih cepat,” akhirinya sambil menekankan penting untuk wanita memiliki kebebasan wang, menabung dan memiliki wang simpanan sendiri untuk kegunaan masa depan, melindungi diri dengan insurans atau takaful dan selalu mendidik anak-anak agar berbelanja dengan berhemah.
Artikel berkaitan: https://www.nona.my/berkilauan-bak-berlian-tokoh-wanita-berjaya-diraikan-di-nona-superwoman-award-2024/
This website uses cookies.