Dalam beberapa hari lagi Ramadan bakal hadir. Bulan yang dinantikan oleh seluruh umat Islam untuk melaksanakan puasa dan solat terawih. Pastinya tahun ini sambutannya agak berbeza, tiada pasar Ramadan juga terawih di masjid atau surau. Dalam tempoh PKP ini yang akan berlarutan sehingga ke bulan puasa, maka kita harus melakukan solat sunat terawih hanya di rumah.
Solat Terawih bererti solat dengan rasa senang, ringan dan dengan kelapangan hati selepas selesai fardhu Isya’ dalam bulan Ramadan. Inilah waktu yang tepat untuk kita penuhi bulan Ramadan dengan amal ibadah walau apa pun ujian hidup yang melanda kita.
Dikongsikan panduan mudah untuk kita melaksanakan solat terawih di rumah. Rumah ku syurga ku, inilah saatnya anda sebagai ketua keluarga menjadi imam buat isteri dan anak-anak. Jika sebelum ini mungkin sibuk dengan pelbagai kerja di luar rumah, gunalah kesempatan waktu yang ada.
SOLAT SUNAT TERAWIH
- Niatnya :
أ ُصـَــلـِّــى سـُــنـَّـَــة َ الــتـَّـَــرَاو ِيـْــح ِ رَكـْــعـَــتـَــيـْــن ِ لـِــلـَّـَـه تـَــعـَــالـَــى
Bagi imam: Usolli sunnata tarawih rok ‘ataini imaaman lillahi taala
“Sahaja aku solat sunat tarawih dua rakaat menjadi imam kerana Allah Ta’ala”
Bagi makmum: Usolli sunnata tarawih rok ‘ataini makmuman lillahi taala
“Sahaja aku solat sunat tarawih dua rakaat mengikut imam kerana Allah Ta’ala”
- Bilangan rakaat buatlah yang termampu. Paling ringkas buat 11 rakaat, 8 terawih dan 3 witir. Lakukan setiap 2 rakaat satu salam dan seterusnya. Witir pula, 2 rakaat 1 salam dan witir 1 rakaat 1 salam.
- Apa yang wajib adalah surah Al-Fatihah, surah-surah berikutnya adalah pilihan kita dan ia adalah sunat. Baca surah kulya dan kulhuallah untuk kesemua rakaat pertama dan kedua pun tak mengapa.
- Segala bacaan di luar solat, seperti selawat, doa dan periwayatan khalifah tidak termasuk amalan solat terawih, tetapi hanya selingan antara solat. Tidak ada larangan untuk berselawat atau berdoa, jika cara dan adab melakukannya baik. Dan ia tidak menjejaskan solat terawih jika ditinggalkan.
- Doa yang paling ringkas selepas empat rakaat dan selepas 8 rakaat boleh membaca doa ini:
Allahumma inna nas aluka ridho kawal jannah wana’u zubikamin sakho tika wannar
Allahumma innaka ‘afuwun karim tuhibbul ‘afwa fa’fu anna
Wa an walidina Walijamiil musliminawal muslimat walmukmininawal mukminat birohmatika ya arhamarrohimiin
SOLAT SUNAT WITIR
Solat witir adalah salah satu solat sunat yang sangat dituntut untuk dikerjakan.
Hukum solat witir adalah sunat muakkad. Jumlah maksima solat witir itu ialah 11 rakaat (6 salam), sebaik-baiknya 3 rakaat (2 salam) dan sekurang-kurangnya satu rakaat sahaja.
- Niat solat sunat witir dua rakaat
أصَلِّي سُنَّةَ الوِتْرِ رَكَعَتَيْنِ لِلهِ تَعالىَ
“Aku solat sunat witir dua rakaat kerana Allah Taala”
Jika imam niat imam, jika makmum niat makmum.
- Niat solat sunat witir satu rakaat
أصَلِّي سُنَّةَ الوِتْرِ رَكَعَةً لِلهِ تَعالىَ
“Aku solat sunat witir satu rakaat kerana Allah Taala”
- Zikir selepas solat witir
سُبْحَانَ اللَّهُ الْمَلِكِ الْقُدُّوسِ [3x]
- Doa solat witir baca dalam Bahasa Melayu sahaja, baca teks pun tak mengapa:
“Ya Allah, sesungguhnya aku berlindung dengan keredhaanMu daripada kemurkaanMu, dan aku berlindung dengan kemaafanMu daripada balasanMu, dan aku berlindung denganMu seperti pujiMu sendiri ke atas diriMu.
Maka segala pujian dan sanjungan sehingga Engkau redhai.
Sangatlah mudah untuk kita bersama-sama laksanakannya. Tiada alasan untuk tidak dapat buat solat terawih kerana tidak dapat ke masjid. Semoga Allah merahmati kita, mengampunkan dosa kita, melindungi keluarga kita dan menamatkan segera virus corona yang sedang melanda… Aamiin.
SEMOGA BERMANFAAT