Siapa yang tidak mengagumi vokal Marsha Milan tatkala membawakan lagu-lagu bernada tinggi. Suaranya yang gemersik menjadi sebutan ramai. Menantu kepada Allahyarham Datuk Seri Mohamed Ismail Mohamed Othman ini bukan sahaja bijak menjaga penampilan diri, malah amat mementingkan penjagaan kesihatan luaran dan dalaman.
Marsha yang berketurunan Kadazan-Dusun ini tidak lokek untuk berkongsi rutin penjagaan wajah yang diamalkan setiap hari. Ditanya mengenai rahsia kecantikan, pemilik nama Marsha Milan Londoh ini, mengakui jarang mengalami masalah kulit breakout.
“Saya jarang mengalami kulit break out. Sejak berusia 30-an, kulit saya menjadi kering. Mungkin sebab itu jerawat susah nak tumbuh.
“Tapi bila kulit wajah menjadi kering, saya perlukan produk-produk yang boleh membantu melembapkan kulit,” kata wanita yang lahir pada 6 Disember 1985 di Michigan, Amerika Syarikat.
Tidak sah gaya hidup seorang selebriti tanpa mementingkan penjagaan kecantikan dari segi luaran dan dalaman. Masrha juga amat mementingkan penjagaan wajah kerana baginya selain suara, wajah juga merupakan ‘sumber rezeki’ buat dirinya dalam industri hiburan.
“Menjadi rutin, saya akan melakukan rawatan wajah atau facial setiap bulan atau dua kali sebulan bagi memastikan kulit wajah sentiasa terpelihara.
Selain itu, saya juga amat mementingkan ilmu mengenai jenis kulit agar tidak salah memilih produk yang bersesuaian dengan wajah”, ujar Marsha yang prihatin soal penjagaan wajah.
Selain itu, jika berada di luar rumah, Marsha akan pastikan pemakaian pelindung tabir suria untuk melindungi kulit daripada pancaran sinar matahari selain memastikan pengambilan suplemen tambahan untuk kesihatan tubuh.
Tambah Marsha lagi, selain penjagaan kesihatan wajah, dia juga amat menitikberatkan soal pemakanan seharian. Antara rutin yang menjadi sebahagian dari gaya hidup Marsha adalah meminum 1 liter air putih setiap hari dan mengelakkan pengambilan air manis.
“Marsha sememangnya suka makan sayur. Jadi, Marsha akan pastikan menu sayur wajib ada dalam diet seharian. Selain itu, Marsha akan mengurangkan pengambilan makanan yang diproses.”
Pelantun vokal Kembali Terang ini berkata untuk kekal fit dan bertenaga, dia akan pastikan mendapat waktu tidur yang cukup dan berkualiti serta meluangkan masa melakukan senaman. Antara senaman yang menjadi pilihan Marsha termasuklah yoga.
“Saya memilih senaman yoga kerana tertarik dengan pergerakannya yang lembut tetapi penuhimpak. Selalunya, saya akan pastikan melakukan yoga dua kali seminggu di rumah selama satu jam”, ujar Marsha yang tidak menafikan turut mengalami masalah berat badan apatah lagi di rumah keluarga besarnya sering menyediakan pelbagai menu yang enak.
Tetapi Marsha bersyukur dia dapat mengawal selera dan masalah berat badan dan menganggap ia sebagai sebahagian fasa kehidupan yang dilalui dengan senang hati.
Wanita Kadazan -Dusun ini rupanya ada 10 formula kekal cantik dan cergas. Jom NONA kongsikan rahsia kejelitaannya:
1) Senaman Yoga – sekerap mungkin minimum 2 kali seminggu di rumah, dalam 1 jam sekali.
2) Setiap bulan facial sekali sebulan.
3) Kurang minum manis.
4) Lebihkan pengambilan sayur-sayuran.
5) Air putih minum 1 liter setiap hari.
6) Amalkan pengambilan suplemen tambahan.
7) Kenali kulit agar tahu guna produk penjagaan yang sesuai.
8) Wajib pakai pelindung tabir suria setiap kali keluar rumah.
9) Kurang makan makanan segera banyakkan makanan sihat.
10) Tidur cukup.