Niat asal sekadar ingin membantu suami akhirnya membenihkan rasa cinta buat pemilik empayar perniagaan King Laksa Sarawak, Nur Alya Mona Jikim, 38, untuk terlibat secara serius membina masa depan dalam dunia makanan dan minuman (F&B).
Malah dengan minat dan kesungguhan yang ada, anak jati Sarawak ini enggan menoleh ke belakang dalam mengangkat jenama makanan berkenaan yang diusahakan sejak tahun 2017.
Sehingga kini, jenama makanan popular di bumi Kenyalang berdaftar di bawah Rizalya Sdn Bhd itu sudah mempunyai dua cawangan restoran di Kota Samarahan dan ICOM Square.
“Insya-Allah cawangan ketiga akan dibuka Januari tahun depan di Metro City, Matang, Kuching.
“Malah sebelum itu, kami bangkit di era pandemik COVID-19 dengan penuh optimis membuka cawangan kedua di ICOM Square. Permintaan dan peningkatan jualan juga mendadak naik ketika itu.
“Insya-Allah fokus lima hingga 10 tahun ke depan lagi, kami bercadang membuka beberapa lagi cawangan di bandar besar di sini. Setiap cawangan juga disasarkan mendapatkan keuntungan RM4 juta setahun,” kata isteri kepada Rizal Jamali ini.
Bertindak sebagai pengarah dan isteri pengasas jenama itu, Nur Alya Mona bercadang meneroka peluang dengan melebarkan francais atau perlesenan bagi penambahan cawangan di Sarawak.
“Lima tahun mendatang juga, kami bercita-cita membuka cawangan di Semenanjung Malaysia dan Sabah. Berkemungkinan awal tahun 2024, kami jangka akan buka cawangan di Bangsar. Insya-Allah dalam masa sama mengintai peluang untuk membuka cawangan di luar negara.
“Malah dalam masa sama, kami mahu terus memberikan perkhidmatan dan layanan terbaik kepada pelanggan tercinta menerusi motto Positive Customer Experience Journey. Ia termasuk menyediakan manual operasi perniagaan bagi pasukan kerja dan pengurusan menjalankan aktiviti harian membabitkan pelanggan termasuk maklum balas sebarang ketidak puasan hati pihak mereka.
“Tentunya, visi kami sendiri adalah memasak dan menghidangkan makanan berkualiti tanpa kompromi kepada pelanggan. Misi saya juga mahu mengangkat menu dan masakan kebanggaan Sarawak ini ke mata dunia,” kata ibu kepada dua cahaya mata ini.
Mengintai kembara perjalanannya sebelum menumpukan perhatian 100 peratus kepada perniagaan F&B, Nur Alya Mona pernah menimba pengalaman kerja dalam pelbagai bidang. Ia termasuklah koordinator projek Teknologi Maklumat, penasihat hutang peribadi, kerani dan pengurus perniagaan.
“Tapi akhirnya dunia perniagaan F&B yang menjadi pujaan hati. Saya menceburi perniagaan ini juga dengan 1001 ujian dan cabaran.
“Saya juga memulakan perniagaan ini dengan mendapat bimbingan mentor usahawan terkemuka. Demi ilmu dan keinginan untuk menyertai kelas dianjurkannya, saya nekad menggadaikan gelang emas pertama berharga RM5,000. Dengan bimbingan itu jugalah saya dapat menjalankan perniagaan dengan betul dan mempunyai hala tuju yang jelas tentang perniagaan saya.
Jenama ini kini juga melebarluaskan perkhidmatan termasuk katering, acara korporat dan ‘private’. Kepakaran kami tentunya menyediakan Laksa Sarawak dengan udang bersaiz besar, isi yang sangat manis, kuah pekat dan likat. Tak ketinggalan pes sambal King Laksa juga menjadi kegilaan ramai.
“Keuntungan jualan juga ketara bermula hanya dari RM373,351 pada 2017 hingga angka 7 juta pada tahun ini.
“Saya juga buka peluang pekerjaan bagi mereka yang memerlukan dengan bimbingan yang kuat daripada kumpulan kami”kata penerima Anugerah Top SME CEO dan Top 500 Trust Brand Award, Majlis Tindakan Pengguna Negara pada tahun ini.
Sebelum mengakhiri perbualan, ibu kepada dua cahayamata ini merancang untuk membuka cawangan di Semenanjung Malaysia dan Sabah. Berkemungkinan awal tahun 2024, impian tersebut bakal terlaksana dengan pembukaan cawangan pertamanya di Bangsar. Selain itu, King Laksa juga mengintai peluang untuk membuka cawangan di luar negara.