MAS IDAYU Kembali Bergelar Isteri, Mas Kahwin RM1,001 Jadi Simbolik Ikatan Cinta

Tanggal 16 September 2022 menjadi saksi termetrai ikatan penyatuan dua jiwa di antara penyanyi dangdut terkenal, Mas Idayu Mesnun, 50, bersama pasangan hidupnya Muhammad Sufian Che Isa, 51.


Lebih istimewa, Mas Idayu dinikah oleh Penolong Pendaftar Nikah Masjid Jamek Kampung Baru yang berwakil walikan oleh bapanya, Mesnun@Masnun Bin Hassan. Hanya sekali lafaz, Muhammad Sufian Isa sah menjadi suami sah buat Mas Idayu yang dilihat tenang tetap menitiskan air mata tanda kesyukuran.
Majlis akad nikah pasangan ini telah berlangsung di Magica Hall Quill City Mall Kuala Lumpur.


Muhammad Sufian menyerahkan RM1,001 sebagai mas kahwin buat isteri tersayang bersama 7 dulang iringan hantaran yang dibalas lima dulang yang dihias indah. Walau bagaimanapun, wang hantaran pasangan ini dirahsiakan atas permintaan keluarga.
Antara barangan hantaran yang diserahkan pihak pengantin lelaki berupa tas tangan, set alat solek dan wangian, jam tangan serta manisan berupa kek.


Persalinan rona merah jambu dari rekaan Anas Abdullah menjadi pilihan Mas Idayu di hari pernikahannya manakala wajahnya mendapat sentuhan Fazrin Wahid.
Majlis bertemakan fairytale dan Inggeris ini menyaksikan pertemuan bukan sahaja keluarga, malah sahabat handai dan rakan media yang gembira menyaksikan penyatuan dua hati ini.


Nilai keseluruhan majlis perkahwinan kedua-dua mempelai dianggarkan mencecah angka lebih RM7 juta daripada pelbagai pihak merangkumi lokasi, katering, busana dan aksesori.


Untuk rekod, Mas Idayu sebelum ini pernah mendirikan rumah tangga dengan pelakon Aman Graseka pada tahun 1997 namun pasangan itu bercerai pada tahun 2006. Hasil perkongsian hidup, mereka dikurniakan seorang anak perempuan iaitu Nur Dayini Asyiqa yang kini berusia 25 tahun.


Pernah melalui kehidupan ‘solo’ selama 16 tahun, Mas Idayu berharap semoga perkahwinan kedua ini memberi makna dan berharap agar penyatuan ini akan berkekalan sehingga ke akhir hayat.
Pasangan ini dikhabarkan akan ke Santorini, Greece untuk berbulan madu selama dua minggu.

Share
Published by
Rosmah Idayu