Peminat dunia sukan tempatan pasti mengenali seraut wajah ayu Aina Suzaily Mohd Zailanny, 27, ini. Orangnya memiliki wajah persis penyanyi Camelia, petah berkata-kata dan handal berbicara tentang dunia sukan yang didominasi lelaki. Tak sangka minatnya sejak kecil terhadap bola sepak boleh menjadikan dirinya salah seorang insan dalam dunia sukan ini.
“Saya minat bola dari sekolah lagi sebenarnya. Tengok bola dulu sebab enjoy perlawanan dan tendangan gol. Tapi tidaklah sampai betul-betul study pasal pasukan atau sebagainya. Tapi bila sekarang bekerja dengan bola, jadi macam lebih details. Lebih tahu pasal team, pasal selok-belok dalam game, laws of the game dan lain-lain,” jelas Aina memulakan bicara.
Apabila ditanya tentang bagaimana cara membawa diri di tengah-tengah dunia yang dikuasai lelaki itu, terangnya, “Cara bawa diri tak ada apa beza sangat. Macam biasa. Sebab fokus dan tujuan saya ke padang misalnya memang untuk kerja.
Kendalikan tugas sbg pitch side host Menemu ramah sebelum perlawanan dan selepas perlawanan bola. Jadi banyak yang perlu difikirkan sebelum temu ramah itu. Soalan-soalan perlu disediakan sebelum perlawanan bermula. Kadang-kadang lupa juga dikelilingi kaum lelaki tempat saya bekerja.”
Sentiasa kelihatan kekal bergaya walau di tengah padang, Aina tidak menolak tepi tentang penjagaan kecantikan. “Saya banyak tengok pitch side host luar atau lebih dikenali sebagai sideline sports reporter. Mereka memang lawa di padang, contohnya Sara Carbonero.
Jadi bagi saya, buat apa kerja pun, kita sebagai wanita mesti kekalkan imej wanita. Dan kecantikan itu luas. Cara berpakaian, cara bawak diri, cara komunikasi. Dan semasa bertugas di padang, saya lebih pentingkan kekemasan. Nampak kemas, profesional dan elegan,” jelas Aina yang meminati Kelab Liverpool itu.
Menurut Aina, kenangan paling manis sepanjang terlibat dengan dunia bola sepak adalah menerima jersi sebagai hadiah. “Bagi setiap peminat bola sepak, jersi pemain adalah hadiah paling berharga untuk mereka.
Saya pula bertugas dikelilingi pemain-pemain bola. Selepas interview tu kadang-kadang jersi-jersi #matchworn (jersi yang dipakai oleh pemain semasa perlawanan) senang nak dapat. Banyak juga koleksi jersi peribadi saya,” ungkapnya sambil tersenyum.
Sebagai penggiat dunia sukan, Aina positif apabila minta diulas tentang pandangannya mengenai perkembangan dunia bola sepak Malaysia. “Bola sepak Malaysia pernah dihormati di benua Asia. Kita layak ke Sukan Olimpik sebanyak dua kali, tahun 1972 dan 1980. Malaysia pasukan ke-2 paling berjaya dalam Sukan SEA di belakang Thailand.
Liga Malaysia (termasuk kejohanan Piala Malaysia) sangat meriah dan ada tradisi tersendiri. Liga Super sekarang juga antara yang terbaik di Asia Tenggara. Namun pencapaian dan keputusan pasukan kebangsaan Malaysia agak merudum sejak lewat 1980-an. Itu yang sedang diperbaiki oleh FAM, TMJ dan Nelo Vingada dalam usaha kebangkitan.”
Trivia Aina Suzaily Mohd Zailanny
- Bermula sebagai penyampai berita di Media Prima.
- Dalam pada itu, banyak juga berkecimpung dalam program-program pengacaraan seperti rancangan Outbreak (sukan lasak) di HyppTV.
- Diberi peluang utk mengacara sukan pula.
- Bercita-cita untuk menjadi pengacara serba boleh.
- Berharap agar bidang sukan ini menjadi batu loncatan untuk ceburi lebih banyak dalam bidang pengacaraan. Hamizatul Maizan Mohamed