Sesekali gantikan menu lauk-pauk berkuah dengan sajian cendawan, kecur liur jugakan. Kalau betul masakannya, boleh bertambah nasi walaupun tanpa lauk pedas dan berminyak. Hujung minggu ni, jom cuba masak cendawan sambil-sambil nikmati manfaatnya untuk jaga badan.
Tapi dalam banyak-banyak jenis cendawan, yang mana satu terbaik untuk kesihatan?
Cendawan sebenarnya merupakan sejenis hidupan semula jadi yang popular dalam sajian tempatan. Di antara jenis-jenis yang biasa terdapat di pasaran adalah seperti cendawan Tiram Kelabu, Jarum Emas, Shitake, Butang, Ling Zhi dan Telinga Kera/Jeli Hitam.
Ada yang dijual secara segar, dikeringkan malah dijadikan serbuk dan kapsul. Segalanya kerana pelbagai khasiat di dalamnya termasuklah diamalkan untuk menyembuhkan penyakit.
Pengambilan cendawan yang enak dan mengenyangkan merupakan satu bonus kepada anda yang ingin menguruskan badan. Ia berkalori rendah tetapi dapat membekalkan tenaga menyamai daging lembu.
Manfaat lain pada cendawan adalah vitamin B, asid pantothenic, riboflavin, niasin, selenium, beta glucan dan antioksidan. Bergantung pada jenis yang diambil, semak senarai di bawah untuk khasiat dan kuasa penyembuhannya.
CENDAWAN BUTANG
Berbentuk butang putih di bahagian atasnya, tumbuhan dengan nama saintifik Agaricus brasiliensis ini sering menjadi kegemaran ramai.
Terdapat dakwaan yang mengaitkan cendawan ini dengan fungsi mengawal tekanan darah. Ia juga baik untuk meredakan gastrik. Sangat sedap ditumis atau dijadikan sup.
CENDAWAN SHITAKE
Shitake atau Lentinus edodes banyak ditanam di kawasan tanah tinggi dan bersuhu sejuk. Ia mengandungi lentinan yang bersifat antikanser, membantu meningkatkan sistem imunisasi, menentang bakteria, virus serta toksin yang terkumpul dalam badan manusia.
CENDAWAN TIRAM KELABU
Ini merupakan jenis cendawan yang paling mudah ditanam dan didapati di pasar. Selain kelabu (Pleorotus sajor-caju), terdapat juga jenis yang berwarna kuning (Pleorotus citrinopileatus
Tiram Kelabu kaya dengan kandungan protein, serat, vitamin E, selenium, zat besi, kalsium dan magnesium. Ia baik diamalkan untuk mengawal pengaliran darah, menurunkan tekanan darah serta mengawal paras gula dan lipid dalam darah.
CENDAWAN KUKUR
Cendawan kukur atau Schizophyllum commune baik untuk meningkatkan sistem imun, bersifat antikanser, antiradang, antibakteria dan antiparasit. Ia juga dapat membantu mengawal dan melindungi organ hati manusia.
CENDAWAN JARUM EMAS
Berbentuk jarum dengan batang panjang berwarna keemasan, cendawan Jarum Emas atau Flammulina velutipes banyak dihasilkan di negara China, Jepun, Korea dan Eropah.
Ia didapati meningkatkan sistem imun badan, menghalang jangkitan kulat serta virus pada pemakannya. Ia juga bertindak sebagai antiradang, meningkatkan aktiviti perlindungan sel serta menghalang kerosakan DNA dalam sel darah.
CENDAWAN LING ZHI
Ling Zhi banyak ditanam di Malaysia dan sering dijadikan produk makanan kesihatan. Ia pernah diuji secara klinikal dan diamalkan secara tradisional untuk merangsang imun badan, bersifat antialergi, antiradang, antiviral dan antibakteria.
Masyarakat juga percaya bahawa ia membantu melegakan asma serta beberapa masalah pernafasan yang lain. Ling Zhi juga mampu menyembuhkan luka, tinggi antioksidan dan menurunkan tekanan darah.
***************
Majalah Nona juga ada di Telegram tau. Mudah nak akses artikel menarik dan video-video terkini di sini. Jemput sertai sekarang (link)
***************
Pemakanan cendawan merupakan pilihan bebas gluten yang baik, bebas lemak, bebas kolesterol, rendah kalori dan rendah natrium. Nutrien di dalamnya kerap ditemui dalam makanan bersumberkan daging.
Bagi wanita yang mementingkan kesihatan, pengambilan cendawan seharusnya dijadikan makanan tambahan yang lazat dan berkhasiat untuk anda yang mengambil berat perihal makanan sihat.
This website uses cookies.