Masalah Pendengaran Meningkat Semasa PKP. Mana Tidaknya, Semua Terdedah Kepada Audio Keterlaluan!

Melepasi satu bulan berada di rumah sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan, sudah tentu banyak masa dihabiskan di hadapan kaca televisyen dan gajet seperti telefon pintar atau skrin komputer. Sekaligus pancaindera seperti mata dan telinga amat terdedah terhadap masalah terutamanya apabila terdedah dengan cahaya skrin dari komputer dan kebanyakan individu lebih gemar menggunakan head phone  Ketika melakukan tugasan, baik semata menghadiri mesyuarat secara alam maya ataupun sekadar mendengar muzik semasa melakukan tugasan.

NONA mendapatkan pandangan Pakar Telinga, Hidung, Tekak dan Pembedahan Kepala & Leher, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan USIM & Klinik Pakar Perubatan USIM Dr Nor Eyzawiah Hassan mengenai perkara di atas.

Dr Nor Eyzawiah Hassan

NONA: Sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan, ramai ibu bapa dan anak-anak terdedah terhadap penggunaan gajet untuk kerja dan belajar secara online. Apakah kesan jangka pendek dan jangka panjang jika terlalu terdedah dengan bunyi dengan penggunaan alat pendengaran seperti  headphone atau earphone”?

DR NOR EYZAWIYAH: Bagi memastikan pengekangan wabak pandamik COVID-19, kerajaan telah mengarahkan arahan PKP yang telahpun  memasuki fasa ketiga. Situasi ini tidak dapat dipastikan bila akan berakhir. Kesan daripada pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) semua taska, sekolah kerajaan dan swasta termasuk sekolah harian, sekolah berasrama penuh, sekolah antarabangsa, pusat tahfiz dan lain-lain institusi pendidikan rendah, mahupun tinggi telah pun ditutup.

Sebagai ibubapa kita pasti tidak mahu anak-anak terdedah dengan aktiviti yang tidak sihat serta mendatangkan kesan sampingan kepada kesihatan bukan?Selain daripada melayari kelas secara online, salah satu daripada aktiviti anak-anak yang popular untuk mengisi kebosanan adalah bermain “game” dan dengan melayari video atas talian. Aktiviti ini lebih popular dengan penggunaan “headphone atau earphone” untuk mendapat lebih fokus atau keseronokan.

Mengikut kajian, pendedahan terhadap permainan atas talian adalah dianggarkan secara purata 5-7jam sehari. Sewaktu PKP, jangka masa ini dijangka meningkat lebih banyak jika tidak dikawal. Pendedahan penggunaan gajet dan penggunaan headphone harus dipantau supaya digunakan dengan cara selamat dan dapat mengelakkan kesan jangka pendek dan jangka penjang.


NONA: Boleh Dr kongsikan kesan jangka pendek dan jangka masa panjang penggunaan headphone atau earphone ini?

DR NOR EYZAWIYAH: Penggunaan headphone atau earphone dengan paras bunyi tidak selamat, dan terlalu kuat dalam jangka masa yang lama boleh menyebabkan masalah kurang pendengaran dan gangguan deringan halus (tinnitus) di dalam telinga. Jika pendedahan kepada bunyi kuat ini dijauhkan dan dielakkan, kesan ini bersifat semetara dan boleh kembali kepada normal.

Jika pendedahan kepada paras bunyi yang tinggi berlaku secara berterusan, ia boleh mendatangkan kepada masalah kurang pendengaran dan tinnitus di dalam telinga kesan jangka panjang. Jika berlaku kesan jangka panjang, ia tidak boleh disembuhkan kerana kerosakan sel-sel rerambut pendengaran telah berlaku secara kekal. Banyak kajian dijalankan mendapati semakin ramai remaja mengalami masalah pendengaran akibat penggunaan headphone atau earphone dengan paras bunyi yang tidak selamat.

Selain memberi kesan kepada pendengaran, pendedahan kepada bunyi yang bising dalam jangka masa yang lama juga boleh memberi kesan terhadap kesihatan. Ia boleh menyebabkan peningkatan denyutan nadi dan tekanan darah serta peningkatan kadar pernafasan. Pendedahan kepada bunyi yang bising juga boleh menyebabkan gangguan tidur. Ini secara langsung dan tidak langsung boleh menyebabkan masalah kurang fokus, mudah penat dan emosi terganggu.

NONA: Apakah saranan terbaik utk ibubapa mengehadkan waktu gajet anak-anak?

DR NOR EYZAWIYAH  Untuk memastikan anak-anak tidak terdedah dengan paras bunyi yang tidak selamat, ibu bapa dan masyarakat perlu mengetahui paras bunyi yang selamat. Mengikut saranan Industrial Noise Control Module (DOSH) 2018, bunyi yang melebihi 90dB selama lebih 8 jam sehari adalah tidak selamat.

 Jadual 1: Paras bunyi yang tidak selamat dan jangka masa pendedahan

Paras bunyi
(dB)
Jangkamasa pendedahan (minit-jam)
85 16 jam
90 8 jam
95 4 jam
100 2 jam
105 1 jam
110 30 minit
115 15 minit
140 letupan

 

Untuk mengetahui paras bunyi dan contoh bunyi yang ada disekeliling kita, boleh merujuk jadual 2.  Ibubapa disarankan untuk mendedahkan kepada anak-anak tentang paras bunyi dan bahaya pendedahan kepada bunyi yang tidak selamat. Adalah digalakkan untuk memantau paras bunyi yang digunakan dan jangka masa pendedahan agar anak-anak terhindar daripada kesan jangka masa pendek dan Panjang. Pendedahan dan didikan boleh didedahkan dengan pelbagai cara penyampaian supaya lebih kreatif dan menarik minat anak-anak serta memberi impak yang lebih besar.

NONA: Pada pandangan doktor, apakah aktivi yang boleh dilakukan untuk merangsang minda anak kecil dan mengelakkan mereka dari terlalu ‘lekat’ dengan gajet?

DR NOR EYZAWIYAH :Penggunaan gajet dan pendedahan terhadap penggunaan headphone dan earphone agak berleluasa pada masa sekarang. Tetapi, masih ada peluang untuk kita merubah keadaan dan merangsang perkembangan anak-anak terutama yang masih kecil. Ibubapa harus mengambil peluang sewaktu PKP ini untuk meluangkan masa dengan anak-anak sambil berbual dan bertukar idea. Masa bersama sangat penting kerana inilah saatnya ibubapa boleh mengajarnya pelbagai kemahiran asas terutama membabitkan soal agama, budi pekerti dan mengenal peribadinya. Inilah juga masanya untuk ibubapa memberikan teguran pada mana-mana kesalahannya dan memberitahu apa yang sepatutnya dia lakukan. Ini sebenarnya lebih bermanfaat untuk perkembangan otak si kecil dan hubungan diantara ibubapa dengan anak yang lebih besar terutama yang meningkat remaja. Kebosanan mereka tidak seharusnya dibiarkan dengan penggunaan gajet yang melampau.

NONA: Kaum lelaki juga suka melekat bermain permainan komputer game.bagaimana nak hadkan masa penggunaan dan cadangan terbaik untuk elak kesan pada pendengaran.

 DR NOR EYZAWIYAH: Tarikan teknologi ini memang hebat sehingga boleh membuatkan kaum bapa juga melekat pada skrin telefon dan komputer bersama earphone atau headphonenya. Kaum bapa juga seharusnya mematuhi paras bunyi yang selamat dan pematuhan jangka masa yang disarankan.  Sewaktu PKP inilah kaum bapa yang selalunya sibuk ditempat kerja boleh mengambil peluang bersama bermain bersama anak-anak terutama permainan yang boleh menguji minda dan membaca buku bersama-sama. Disamping itu, aktiviti solat berjemaah dan bertadarus juga amat digalakan. Apatah lagi sewaktu Ramadan bakal menjelma, ini adalah masa terbaik untuk menjadi Imam untuk keluarga dalam situasi PKP ni.

Jadual 2: Paras bunyi dan contoh sumbernya.:

 

 

Share
Published by
Rosmah Idayu