Kadang-kadang berbadan langsing pun belum tentu wajah tirus macam Erra Fazira! Itu belum lagi kalau dagu berlapis dan pipi tembam seperti kuih pau.
Masalah pipi tembam memang boleh memeningkan. Kalau kanak-kanak kecil mungkin nampak comel, tapi kalau sampai dewasa pun masih begitu… alamatnya macam-macam teknik shading kena buat!
Jangan khuatir, terdapat beberapa cara semula jadi untuk meniruskan pipi. Jika anda rajin melakukan kaedah efektif ini, tidak mustahil wajah nampak lebih kecil dan molek.
(1) Julurkan Lidah
Caranya, buka mulut lebar-lebar dan julurkan lidah sejauh yang anda mampu. Cuba sentuh dagu dengan lidah, kalau boleh, dan tahan selama 10 saat. Ulang teknik ini sebanyak 10 kali dan buat sekerap mungkin.
(2) Sedut Pipi
Berlatih menyedut pipi kiri dan kanan anda sekuat-kuat hati dan tahan selama 10 saat. Ulang teknik ini sebanyak 10 kali.
(3) Meniup Belon
Tiup belon sampai kembang, kempiskan semula dan tiup sekali lagi. Ulang tiup belon sebanyak 15 kali dan konsisten melakukan latihan ini setiap hari. Jangan terkejut, anda bakal melihat hasilnya dalam lima hari saja!
(4) Mengurut Wajah
Selain skrub, anda boleh menggunakan face oil untuk mengurut wajah. Urutan ini dapat melancarkan peredaran darah. Picit dari arah bawah (dagu) menuju ke atas (pipi) secara melingkar, ulang 5 kali. Kemudian urut pipi dari sudut bibir menggunakan hujung jari, lalu bergerak ke arah telinga. Urut sebanyak 10 kali.
(5) Kembungkan Mulut Seperti Ikan
Dengan latihan ini, anda akan melatih bahagian mulut, pipi dan rahang dengan mengucapkan huruf i dan o, persis seperti mulut ikan bergerak. Latihan ini dapat membantu melancarkan peredaran darah di bahagian wajah. Selamat mencuba! Norzalina Mohd Alias