Memiliki raut wajah yang lembut dan ayu memberi kelebihan buat penyanyi serta pelakon popular era 90an, Arni Nazira. Sedar tak sedar sudah 12 tahun Arni Nazira menyepikan diri dari bidang seni setelah mendirikan rumahtangga buat kali kedua pada tahun 2009.
Arni Nazira kini bahagia bersama suami tercinta, Wan Mohd Hazrie Wan Mokhtar yang merupakan seorang usahawan sukses. Mereka dikurniakan tiga cahayamata iaitu Wan Muhammad Mua’dz (11), Wan Ayesha Maserra (9) dan Wan Muhammad Mushrief (6).
Terdahulu, Arni Nazira pernah berkahwin dengan penyanyi rock dan pelakon terkenal, Awie pada tahun 1998 namun perkahwinan itu berakhir pada Oktober 2006. Mereka dikurniakan dua cahayamata iaitu Putri Aleeya Antasha yang kini berusia 21 tahun, dan Putri Aleefa Antasha berusia 19 tahun.
PERKEMBANGAN TERKINI
“Saya sekarang bergelar suri rumahtangga sepenuh masa menguruskan keluarga dan hal-hal rumahtangga. Semuanya saya lakukan sendiri dan tak pernah ada pembantu rumah. Sejujurnya tawaran berlakon masih ada tetapi saya menolaknya dengan cara baik.
Alhamdulillah saya sangat bahagia dan selesa dengan kehidupan sekarang, apatah lagi suami memang suka saya tumpukan perhatian sepenuhnya terhadap keluarga. Dulu ada juga perancangan untuk berbisnes namun tertangguh kerana tanggungjawab terhadap keluarga lebih utama.”
Beruntungnya Arni Nazira, dalam usia 42 tahun pun kecantikan dan keayuannya tidak pernah pudar. Bukan saja raut wajah bahkan lenggok suaranya juga lembut sahaja, sama seperti dulu. Saat ditanya apa rahsia ‘awet mudanya’ Arni Nazira tidak lokek untuk berkongsi amalannya selama ini.
“Atas nasihat ibu dan nenek saya amalkan jamu, minum air kosong secukupnya dan ulam-ulaman sejak usia muda. Alhamdulillah berkat konsisten dengan amalan itu ia telah menjadi salah satu asbab untuk kelihatan awet muda dalam usia sekarang. Paling penting kesihatan dalaman turut terjaga.
Satu lagi amalan ialah disiplin ketika berpantang. Dulu setiap kali bersalin ibu akan jaga saya sepanjang berpantang. Ibu seorang yang sangat menitikberatkan amalan berpantang. Kalau ikut cara berpantang dulu-dulu memang sangat ketat. Contohnya, cara berjalan dan makan ada pantangnya. Makanan sejuk-sejuk tak boleh ketika dalam pantang. Amalan bertungku dan ‘menyalai’ juga penting untuk kecutkan peranakan.
Kita wanita ni bila dah cecah usia 40 tahun dan ke atas kena beringat, jaga badan elok-elok luar dan dalam. Kerana pada usia ini badan akan mula mudah jatuh sakit. Tahap kesihatan kita dah tak sama seperti muda-muda dulu. Jadi amalkan gaya hidup sihat termasuk jaga pemakanan.
“12 tahun melayari bahtera rumahtangga pasti ada pasang surutnya. Sebagai isteri kena banyak bersabar, bertolak ansur dan sentiasa berbincang. Saya dan suami suka berkongsi apa jua perkara termasuk masalah. Tak sembunyi apa-apa kalau ada tak puas hati. Masing-masing kena jujur demi kebaikan bersama. Alhamdulillah rezeki saya dikurniakan seorang suami yang boleh give and take, memahami, bertanggungjawab dan sehati sejiwa.
Saya mendoakan agar mereka menjadi anak-anak yang soleh serta solehah, berakhlak mulia, kental jiwanya dan tidak mudah tersasar dari landasan kehidupan yang sebenar. Seterusnya menjadi insan yang berilmu. InshaAllah.”
Tip secantik Arni Nazira klik di sini.
Kredit Foto: Instagram @arninazira
This website uses cookies.