Gaya Hidup

Masjid Sri Sendayan Terima Kehadiran Tetamu DiRaja. Raja Permaisuri Agong Berkenan Melawat Masjid Terbesar Di Negeri Sembilan

Mendapat gelaran sebagai Taj Mahal, Masjid Nabawi dan Masjid Kerajaan Uthmaniyah,  Masjid Sri Sendayan yang terletak di Bandar Sri Sendayan, menjadi antara tarikan di Negeri Sembilan.

Masjid yang dibina pada tahun 2015 melalui konsep wakaf itu mampu memuatkan sehingga 5,000 jemaah pada satu-satu masa, sekali gus menjadi masjid terbesar di Negeri Sembilan.

Masjid yang terletak kira-kira 10 kilometer dari Seremban itu baru-baru ini menerima kunjungan istimewa dari KDYMM Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Almarhum AlMutawakkil Alallah Sultan Iskandar Al-Haj. Turut berangkat, YAM Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Afzan Aminah Hafidzatullah.

Untuk info, masjid tersebut diwakafkan oleh pengasas syarikat perbankan Kumpulan RHB, Tan Sri Abd Rashid Hussain dan isteri, Puan Sri Hani Yang Mohd. Yatim. Ini  merupakan masjid kedua diwakafkan oleh Abd Rashid selepas Masjid Hussain atau lebih dikenali sebagai Masjid Putih di Seremban 2 yang dibina dengan kos RM22.6 juta pada tahun 2012.

Tarikan utama Masjid Sri Sendayan yang dibina dengan kos lebih RM100 juta itu adalah hasil seni dan arkitek yang dibawa hampir sepenuhnya dari luar negara seperti Mesir, Turki, Dubai, Maghribi dan China.

Kebanyakan seni bina itu ditempah khas termasuk ukiran kayu pada dinding di dewan solat, penggunaan saduran berwarna emas, tulisan khat serta penggunaan bongkah jubin sebagai dinding berhampiran mimbar.

Masjid itu terletak di kawasan berkeluasan 4.5 hektar dan mempunyai tiga dewan solat iaitu dewan solat utama yang mampu memuatkan seramai 3,000 jemaah, dewan solat kedua (800 jemaah) dan dewan solat wanita (800 jemaah).

Selain itu , masjid itu turut dilengkapi dengan bilik kuliah, perpustakaan, dewan serba guna, bilik pengurusan jenazah, bangunan pentadbiran, dewan makan, enam unit rumah sebagai kediaman petugas masjid.

KDYMM Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong berkenan berangkat ke Masjid Sri Sendayan, Bandar Sri Sendayan, Negeri Sembilan, semalam. Keberangkatan tiba Seri Paduka Baginda pada jam 6.30 petang disambut oleh pengasas syarikat perbankan Kumpulan RHB, Tan Sri Abd. Rashid Hussain.

Seri Paduka Baginda turut berkenan meluangkan masa melihat keindahan seni bina masjid sebelum menunaikan solat maghrib, diimamkan oleh Imam Besar Masjid Sri Sendayan Ustaz Mohd. Nazri Abu Zarim.

Seri Paduka Baginda turut berkenan menunaikan solat isyak, diimamkan oleh Imam 3 Masjid Sri Sendayan Sheikh Mohamed Abdelnaby.

Share
Published by
Rosmah Idayu