Perjalanan kerjaya seni pelukis cat minyak dan digital negara, Amy Hashim, sentiasa diatur kemas langkahnya. Meskipun sedikit lesu menjelang pandemik COVID-19, namun beliau tetap meneruskan niat membuka sebuah galeri seni di Bukit Damansara, baru-baru ini.
“Saya baru membuka Art Realm Gallery (ARG) yang terletak di Plaza Damansara, Jalan Medan Setia 1. Pembukaan ini selari dengan perkembangan dan kemajuan seni di galeri Amy Hashim Arts di Subang Jaya. Kebetulan suami pun dah bersara dan dia pun ingin menceburkan diri dengan lebih aktif.
ARG mempunyai tiga komponen utama iaitu ruang pameran dengan satu feature wall yang boleh berputar 360 darjah; art store yang menampilkan hasil-hasil karya seni yang diolah ke dalam bentuk skarf, alat tulis, pelitup muka, kalendar dan sebagainya; serta classroom untuk peserta kelas seni.
Alhamdulilah ARG berjaya dibina dalam masa kurang 40 hari, iaitu pada bulan Oktober dan November tahun lepas,” terang Amy Hashim panjang lebar. Selain ARG, ibu kepada tiga orang anak ini juga turut mengusahakan jenama AHA (Amy Hashim Arts) iaitu koleksi barangan seperti skarf daripada hasil karya seninya.
Amy Hashim atau pemilik nama penuh Amy Hashmida Hashim ini merupakan anak kelahiran Negeri Cik Siti Wan Kembang. Berusia 50-an, wanita hebat ini sering dijemput mengadakan pameran lukisannya di Amerika Syarikat.
Paling membanggakan, impian beliau untuk memiliki sebuah galeri seni seperti ARG pernah dikongsikan kepada Majalah Nona pada tahun 2017 (klik pautan) dan kini akhirnya tertunai pada tahun 2021.
Cabaran sewaktu PKP… “Kami akur dengan pelaksanaan PKP 2.0 bagi bersama-sama memutuskan rantaian COVID-19. Jadi kami ubah sikit cara buat pameran iaitu secara virtual art online. Hanya dengan menonton video di rumah, anda boleh ‘datang’ ke Art Realm Gallery dan melihat lukisan sebenar yang dipamerkan.”
“Sebagai pemilik galeri, saya harap dengan sokongan Kementerian dan agensi-agensi kerajaan seperti Balai Seni Lukis Negara dapat membantu karyawan tempatan menaik tarafkan Malaysia sebagai sebuah negara maju seni,” ujarnya.
SENTIASA BERSYUKUR Antara Ciri-Ciri Hebat Seorang Ibu Tunggal. Lakukan 5 Cara Ini Untuk Jadi SUPERWOMAN!
Bukan satu kesalahan besar atau menjadi aib keluarga jika seorang wanita itu ditakdirkan menjadi ibu tunggal sekaligus berstatus janda. Ia bukan mudah kerana selain perlu melakukan semua perkara sendiri ia juga terpaksa berhadapan dengan persepsi negatif segelintir masyarakat.
Saat berhadapan dengan situasi ini seseorang itu perlu bersabar. Tetap fokus kepada keluarga dan biarkan masyarakat sekeliling melihat kebaikan melalui perbuatan-perbuatan anda. Laksanakan peranan sebagai ibu dan ayah buat anak-anak kerana itu lebih penting berbanding daripada terus memikirkan kata-kata mereka.
Kesimpulannya, menjadi ibu tunggal memerlukan pengorbanan yang bukan sedikit. Lakukannya dengan baik dan amanah sehingga anak-anak mampu berdikari. Berikut cara terbaik agar anda mampu bertahan sebagai ibu tunggal.
KAWAL EMOSI
Tekanan hidup sebagai ibu tunggal adakala menguji kesabaran. Melayan karenah anak-anak serta bebanan kerja yang perlu diselesaikan tepat pada waktunya boleh menjadikan emosi tidak stabil. Ingat, kebahagiaan dan perkembangan emosi anak-anak dipengaruhi oleh tahap kebahagiaan anda menjalani kehidupan. Anak-anak melihat dan mampu merasai apa yang sedang anda alami.
RANCANG KEWANGAN
Ini kekangan utama yang sering dialami oleh ibu tunggal. Tanpa kewangan yang kukuh, keperluan keluarga tidak dapat dipenuhi sepenuhnya. Agar keperluan itu dapat dipenuhi anda perlu bekerja keras. Atur kewangan dengan bijak agar keperluan anak-anak sentiasa mencukupi.
JANGAN ATASI MASALAH SEORANG DIRI
Walaupun anda yakin mampu melakukan semua perkara termasuk mengatasi masalah, tiada salahnya meminta bantuan orang lain agar beban yang sedang ditanggung lebih ringan. Menjadi ibu tunggal yang pandai berdikari dan tegas sangat bagus namun kemampuan itu tetap terbatas. Dalam hidup perlu juga bantuan serta sokongan orang lain.
SOKONGAN
Bebanan hidup yang ditanggung oleh ibu tunggal kerap menjadikannya kesepian, sedih dan mudah putus asa. Perasaan ini jika dibiarkan berlarutan boleh menimbulkan tekanan yang boleh memburukkan kesihatan. Saling berkongsi keluh kesah, memberi semangat antara satu sama lain bersama komuniti adalah bagus untuk kehidupan anda.
SENTIASA BERSYUKUR
Sentiasalah berfikiran positif dan membentengi diri dengan rasa syukur dan ikhlas sebagai ibu tunggal. Sentiasa ingat kepada Pencipta dan kuatkan kerohanian. Cari perkara-perkara baru yang lebih bermanfaat agar kehidupan anda dan keluarga menjadi lebih baik.
Fazura Mahu Angkat Martabat Wanita Menerusi Produksi Sendiri, Jawab Spekulasi ‘Hilang’ Dari Dunia Seni
Nur Fazura antara bintang wanita yang cemerlang dalam bidang perniagaan mahupun lakonan. Berdiri sama tinggi dengan pelakon ternama yang lain, Fazura sentiasa menunduk ke bumi sejak di awal kemunculannya di layar skrin sehingga kini.
Namun, wajah aktres jelita ini kini dilihat sudah jarang kali menghiasi di kaca televisyen. Hingga menimbulkan beberapa spekulasi yang kurang enak didengari, adakah pemilik nama Nur Fazura Sharifuddin atau lebih mesra diapa Faz memendam rasa kecewa terhadap industri seni tanah air?
Ini respon yang diberikan Faz bagi menepis spekulasi-spekulasi yang timbul berhubung peglibatanya sebagai anak seni.
Bukan Tak Mahu Berlakon, Tapi Faz Terkilan..
“Tidak dinafikan banyak juga, sedihlah setiap kali dapat tawaran saya gembira sangat, nak berlakon. Tetapi bila dapat skrip, alamak sama sahaja berebut lelaki. Agak terkilan sedikitlah. Itulah sebabnya saya sudah tidak lama berlakon. Jadi saya buatlah produksi sendiri sekarang, bolehlah buat apa-apa yang saya nak.
“Pastinya Fazura Pictures Sdn Bhd ini kita memang rancang untuk berkembang lagi. Faz pun sudah lama tidak berlakon kerana mungkin watak-watak yang diberikan adalah sama sahaja. Kebanyakan naskhah sekarang pun dua wanita berebut lelaki, jadi saya tidak mahu lakukan itu.
“Selain ramai peminat yang merindukan lakonan saya, itulah bukan tidak mahu berlakon tetapi karakter yang saya dapat sememangnya apa yang saya cakap tadi iaitu saya tidak mahu buat. Takkanlah dua perempuan asik nak berebut lelaki sahaja. Jadi dengan produksi ini, saya nak buat apa yang saya nak,” katanya ketika ditemu bual.
Di samping itu, dengan memiliki produksi sendiri iaitu Fazura Pictures Sdn. Bhd, isteri kepada aktor terkenal, Fattah Amin ini bebas untuk berkarya selain ingin mengangkat berkaitan women empowerment menerusi karya seterusnya yang bakal diterbitkan bagi ‘memecahkan’ stigma sedia ada dalam naskhah yang sama disajikan pada masa ini.
“We like that in Malaysia. Seperti yang saya cakap, sedih sebenarnya melihat industri kita terlalu banyak mengeluarkan filem-filem atau naskhah yang berulang kali jalan ceritanya sama sahaja. Setiap hari kita tonton drama itu terlalu banyak di kaca televisyen. Tidak tahulah bila mahu berubah.
“Jika kita lakukan benda yang sama, bagaimana kita mahu kembangkan minda penonton-penonton kita. Jika lakukan yang sama, sebab itulah tercetusnya perkara yang tidak sepatutnya berlaku pada masa ini. Saya harap ramai lagi penerbit di luar sana yang berani keluar dari zon selesa itu bikin cerita yang berbeza untuk kita boleh mendidik penonton selain alihkan stigma yang sama kepada stigma yang baharu.
“Bagi saya bila kita mengangkat martabat wanita? Jadi ya, Insya-Allah itu adalah matlamat saya untuk memartabatkan lagu kaum wanita, women empowerment ini memang tujuan saya. Jadi untuk produksi saya ini, saya mahu hasilkan lebih banya lagi cerita-cerita yang memang saya nak lakukan sendiri dengan menghasilkan cerita berbeza sebelum ini. Ya Insya-Allah dapat hasilkan lebih banyak lagi,” ujarnya.
Tak Merajuk, Cuma Faz Mahu Beri Peluang Kepada ‘Pendatang Baharu’
Sebagai pemilik sebuah produksi, ibu kepada seorang cahaya mata ini turut menetapkan syarat untuk mengutamakan khidmat pelakon berbakat selain pendatang-pendatang baharu yang benar-benar komited untuk menggilap kebolehan.
Katanya, bukan mahu bersikap selektif, tetapi dia percaya ramai pelakon berbakat wajar diberi peluang untuk menyinar asalkan mereka sedia berusaha ke arah itu.
“Sudah pastinya saya memang bercadang akan libatkan dengan pelakon lain. Projek seterusnya nanti saya nak melibatkan semua rakan wanita saya dalam industri ini. Saya buka juga kepada sesiapa saya, tentunya yang berbakatlah Insya-Allah.
“Tetapi pelakon-pelakon baharu pun saya terbuka dan beri peluang kepada mereka. Pada masa sama mungkin dapat bantu mereka untuk dari segi lakonan. Selain itu, mereka ada usaha untuk belajar, bukannya datang ke set.
“Tetapi nak jaga rupa tetapi lakonan whatever whatever sahaja. Itu yang paling penting, asalkan ada usaha kesungguhan dan niat yang baik,” katanya.
Sekadar info, artikel ini merupakan artikel yang diolah semula dari REMAJA
“Booking Client Terpaksa Dibatalkan Sampai Hujung Tahun & Deposit Dipulangkan” SOFIAH Yakin Dengan Rezeki
Pandemik COVID-19 yang melanda seluruh dunia hampir 2 tahun ini membawa perubahan besar dalam kehidupan kita. Bukan saja rutin harian bahkan ekonomi antaranya sektor perniagaan. Tidak semua jenis perniagaan dibenarkan beroperasi antaranya perkhidmatan perunding acara.
Pengasas SA EVENTS, Sofiah Abdullah, 40, turut berhadapan dengan situasi tersebut apabila terpaksa menangguhkan segala aktiviti perniagaannya yang melibatkan pengacaraan dan rundingan acara. Sofiah merupakan kakak kepada bekas peserta Akademi Fantasia musim ke-3, Akma Abdullah yang kini bergelar penyanyi, hos dan pelakon.
“Sememangnya pandemik COVID-19 memberi kesan terhadap perniagaan saya kerana banyak acara yang ditempah oleh klien hingga hujung tahun terpaksa dibatalkan. Ada sesetangah mereka yang dah bayar deposit booking juga saya terpaksa pulangkan duit mereka bila melihat situasi yang begitu kritikal ketika ini.
Kalau dulu perkhidmatan yang paling mendapat permintaan ialah untuk majlis pernikahan, perasmian syarikat korporat dan majlis-majlis sekolah. Setiap bulan sekurang-kurangnya ada 4 majlis yang menggunakan perkhidmatan daripada SA EVENTS, selalunya hujung minggu.
Saya menyediakan perkhidmatan seperti perunding acara di bawah syarikat sendiri iaitu
SA EVENTS yang mengendalikan perkhidmatan majlis seperti perkahwinan,
perasmian, sukan sekolah, harijadi dan yang melibatkan perkhidmatan Pengacaraan dan PA System (Sistem Siar Raya). Setelah 10 tahun berkecimpung dalam bidang ini secara sambilan saya membuat keputusan untuk lebih serius lagi. SA EVENTS kini memasuki tahun ke-2.
Sebelum melibatkan diri dalam bidang perniagaan, saya merupakan pekerja sektor awam bertugas sebagai juruhebah Radio Klasik Nasional (sekarang Radio Klasik) dari tahun 2005-2011 dan seterusnya berkhidmat sebagai Penerbit di Saluran TV2, RTM. Setelah berumahtangga pada 2008, dan mempunyai cahaya mata tahun 2011 saya mengambil keputusan untuk berhenti kerja pada tahun 2014.
Bermula detik itu saya melangkah sendirian dengan menjadi pengacara majlis di majlis-majlis keraian dan menjadi konsultan kepada acara-acara korporat dan perseorangan. Pada Disember 2018 saya mengambil keputusan untuk set up business sendiri menubuhkan SA EVENTS dengan membeli peralatan PA System dan memberikan perkhidmatan pengurusan acara majlis kepada klien.
Antara sumbangan kecil saya sepanjang terlibat dalam bidang ini ialah berkolaborasi dengan Breast Cancer Foundation dan klinik swasta. Saya bertindak sebagai jurucakap dan pengacara ketika bulan kesedaran kanser payudara. Saya turut memberikan khidmat juruacara secara percuma sebagai sokongan kepada pesakit kanser (cancer survivor).
Saat paling down pernah saya lalui dalam perniagaan apabila mendapat rakan-rakan bisnes yang tidak jujur. Sebagai rakan kongsi saya ditipu dan dipermainkan dari segi kewangan. Wang habis begitu sahaja kerana terlalu percayakan mereka. Akhirnya saya mengambil keputusan berdiri sendiri tanpa rakan kongsi,” kongsi ibu anak 2 ini.
Bapa Sofiah seorang pesara kerajaan manakala ibunya seorang suri rumah. Semasa kecil, ibunya berniaga kuih di kawasan perumahan.
“Selalunya saya, kakak dan adik akan membantu ibu di dapur menyiapkan kuih-muih dan tempahan pelanggan. Kuih ibu yang paling popular ialah ketayap yang sering ditempah oleh pihak hotel kerana ia antara kuih kegemaran Tun Mahathir ketika itu,” ungkap anak kelahiran Kuala Kangsar, Perak ini yang merupakan lulusan Ijazah Sarjana Muda Komunikasi Massa (Penyiaran) dari Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam.
TETAP BERSYUKUR
Walau apa pun yang berlaku, saya tetap bersyukur kerana masih mempunyai pekerjaan sebagai juruhebah sambilan di Radio Salam FM 91.1 di bawah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM). Jika keadaan kembali pulih dan kerajaan membenarkan sektor sosial, saya akan mulakan operasi perniagaan ini semula.
Pendorong utama semestinya suami yang sentiasa membantu menguruskan perniagaan kecil-kecilan kami. Ibu bapa dan keluarga juga antara yang sentiasa memberikan semangat sewaktu susah dan senang saya.
Saya sentiasa berpegang kepada kata-kata, jangan meminta-minta kepada orang, sentiasa mengharapkan pertolongan dan bertawakal kepada Allah SWT adalah jalan keluar dari segala kesulitan.
BIJAK BAHAGI MASA
Saya seorang yang mengutamakan hubungan kekeluargaan. Dalam apa jua keadaan keluarga adalah keutamaan. Saya akan pastikan keperluan suami dan anak-anak serta ibu bapa sudah disiapkan kemudian barulah boleh bekerja atau melayani klien. Apapun kasih kayang keluarga mendahului segalanya kemudian barulah datangnya rezeki.
Jika ingin berjaya dalam perniagaan mahupun kerjaya, setiap wanita perlu tahu apa kehendak dan keinginan untuk terus berjaya. Lakukan perkara yang kita suka, bukan kerana terpaksa dan dipaksa. Memang zaman sekarang wanita juga perlu mencari rezeki tapi jangan memaksa diri akibatnya sakit di kemudian hari. Lakukan setiap pekerjaan itu dengan ikhlas dan minat barulah akan datang kesungguhan itu walaupun kerja yang dilakukan amat sukar. Suami juga memainkan peranan penting untuk mendorong emosi isteri.
Impian saya ingin membuat kelas pengacaraan dan pengurusan acara buat anak-anak muda yang sukakan bidang ini. Saya juga berhasrat ingin menjalankan acara khusus melibatkan kaum Muslimah sahaja bagi mereka yang ingin menjaga aurat untuk sebarang majlis melibatkan wanita. Saya juga akan kongsikan ilmu dan pengalaman yang ada jika satu masa nanti ada pihak yang sudi bekerjasama.
Bersesuaian dengan keadaan sekarang bisnes ini amat membantu saya menjana ekonomi kerana pengurusan acara adalah sesuatu yang mendapat sambutan setiap masa. Ada sahaja acara-acara yang diadakan di sekeliling kita, rugi jika kita tidak jadikan ia bidang komersial kepada kaum wanita kerana kebanyakannya dimonopoli oleh kaum lelaki. Saya yakin, wanita juga mampu melaksanakannya jika ada kesungguhan.”
Kredit Foto: Instagram @sofia8181