Masuk 50-an, Pelukis Muslimah Amy Hashim Capai Impiannya Miliki Galeri Seni Sendiri

Perjalanan kerjaya seni pelukis cat minyak dan digital negara, Amy Hashim, sentiasa diatur kemas langkahnya. Meskipun sedikit lesu menjelang pandemik COVID-19, namun beliau tetap meneruskan niat membuka sebuah galeri seni di Bukit Damansara, baru-baru ini.

“Saya baru membuka Art Realm Gallery (ARG) yang terletak di Plaza Damansara, Jalan Medan Setia 1. Pembukaan ini selari dengan perkembangan dan kemajuan seni di galeri Amy Hashim Arts di Subang Jaya. Kebetulan suami pun dah bersara dan dia pun ingin menceburkan diri dengan lebih aktif.

ARG mempunyai tiga komponen utama iaitu ruang pameran dengan satu feature wall yang boleh berputar 360 darjah; art store yang menampilkan hasil-hasil karya seni yang diolah ke dalam bentuk skarf, alat tulis, pelitup muka, kalendar dan sebagainya; serta classroom untuk peserta kelas seni.

Alhamdulilah ARG berjaya dibina dalam masa kurang 40 hari, iaitu pada bulan Oktober dan November tahun lepas,” terang Amy Hashim panjang lebar. Selain ARG, ibu kepada tiga orang anak ini juga turut mengusahakan jenama AHA (Amy Hashim Arts) iaitu koleksi barangan seperti skarf daripada hasil karya seninya.

Amy Hashim atau pemilik nama penuh Amy Hashmida Hashim ini merupakan anak kelahiran Negeri Cik Siti Wan Kembang. Berusia 50-an, wanita hebat ini sering dijemput mengadakan pameran lukisannya di Amerika Syarikat.

Paling membanggakan, impian beliau untuk memiliki sebuah galeri seni seperti ARG pernah dikongsikan kepada Majalah Nona pada tahun 2017 (klik pautan) dan kini akhirnya tertunai pada tahun 2021.

Cabaran sewaktu PKP… “Kami akur dengan pelaksanaan PKP 2.0 bagi bersama-sama memutuskan rantaian COVID-19. Jadi kami ubah sikit cara buat pameran iaitu secara virtual art online. Hanya dengan menonton video di rumah, anda boleh ‘datang’ ke Art Realm Gallery dan melihat lukisan sebenar yang dipamerkan.”

“Sebagai pemilik galeri, saya harap dengan sokongan Kementerian dan agensi-agensi kerajaan seperti Balai Seni Lukis Negara dapat membantu karyawan tempatan menaik tarafkan Malaysia sebagai sebuah negara maju seni,” ujarnya.

Share
Published by
Norzalina