Pada saat pengusaha lain ghairah mengeluarkan produk masing-masing dan tidak mahu ketinggalan memancing jualan kepada pengguna, Siti nekad dengan prinsip sendiri. Selesa dengan pendekatan ‘biar lambat asal selamat’, wanita berjiwa besar ini terlebih dahulu mendalami ramuan produk yang bakal dihasilkan sebelum memasarkannya kepada golongan sasaran. Jelas Siti, sebagai Pengarah Urusan Alvina Empire (M) Sdn Bhd dia perlu arif tentang perniagaan ini dari segenap aspek agar tidak mudah diperkotak-katikkan kelak.
“Saya mengambil masa yang lama untuk kick start dalam perniagaan ini kerana melakukan reserch and development (R&D) sendiri. Melalui proses R&D tersebut saya mempelajari kelas bahan-bahan ramuan daripada pengeluar ingredients, Senior Chemist dan saintis yang berkhidmat di kolej swasta bertauliah. Jujurnya, ia memang bukan proses yang mudah dan memerlukan kesabaran yang tinggi. Tapi saya tetap teruskan juga sebab mahu menjadi usahawan produk yang berilmu sebelum menceburkan diri dalam perniagaan yang saya pilih ini.
Selain kesukaran untuk memilih ramuan terbaik, antara cabaran lain yang terpaksa saya harungi adalah trend pemasaran dalam talian yang digunakan secara meluas hari ini. Disebabkan kewujudan produk kecantikan dan kesihatan yang banyak dijual di pasaran, saya perlu membuat banyak kajian termasuk tentang bagaimana syarikat tidak ketinggalan dengan cara pemasaran sekarang,” tegasnya.
“Sebelum menjinakkan diri dalam bidang kecantikan dan kesihatan, saya menjalankan sendiri R&D sejak Januari 2016 lagi. Banyak masa diperuntukkan untuk menilai keberkesanan produk Alvina dan setelah berpuas hati dengan hasil kajian tersebut barulah saya memberi fokus sepenuhnya terhadap perniagaan ini pada akhir tahun 2016. Alhamdulillah, soft launch Alvina Beauty dirasmikan pada Februari tahun lalu dan sekarang dikenali sebagai Alvina Empire (M) Sdn Bhd.”
Mengintai latar belakang personaliti bersusuk tubuh kecil ini, beliau sebenarnya bukan calang-calang wanita. Mewarisi bakat berniaga daripada arwah bapa yang merupakan ahli perniagaan dalam industri pembinaan dan perkhidmatan, Siti juga sudah memiliki sebuah syarikat minyak dan gas yang diusahakan bersama beberapa orang rakan kongsi sebelum terjun ke dunia kecantikan dan kesihatan. Terang Siti, prospek syarikat minyak dan gas tersebut sebagai pembekal bahan kimia turut berkait rapat dengan bisnes yang dijalankan sekarang.
Ditanya mengapa beliau melibatkan diri dalam bidang kecantikan dan kesihatan sedangkan sudah berjaya sebagai pelopor minyak dan gas, graduan Ijazah Sarjana Muda Perakaunan serta Sarjana Pengurusan Perniagaan ini punya jawapan tersendiri.
“Saya terdetik untuk mendalami perniagaan ini kerana mahu membuat kelainan terutamanya dalam memberi kesedaran kepada pengguna mengenai bahan-bahan yang terkandung dalam sesuatu produk kecantikan mahupun kesihatan mereka. Kesedaran juga harus datang daripada pengeluar produk supaya tidak sewenang-wenangnya menjual produk yang mereka sendiri tidak tahu isi kandungannya.
Bagi saya, masih tidak terlambat untuk pengguna dan pengeluar menyedari situasi berkenaan mulai sekarang. Jika bukan untuk kebaikan diri sendiri, sekurang-kurangnya ia berguna untuk generasi akan datang. Di samping memperkasakan usaha kesedaran itu, saya juga memasang niat untuk membantu mereka di luar sana menjana pendapatan tambahan dengan menjadi ejen Alvina Beauty supaya saya dapat menyalurkan ilmu kepada mereka berkaitan cara pembuatan asas produk ini. Sekali gus, memanfaatkan diri mereka dengan pelbagai pengetahuan.
Menyentuh perancangan saya dalam tempoh lima tahun akan datang, saya mahu Alvina dikenali di peringkat antarabangsa bukan saja sebagai pengeluar produk tetapi juga sebagai sebuah kilang pengeluar produk kecantikan dan kesihatan yang dapat melahirkan ramai pengasas produk dengan jenama mereka sendiri berlandaskan kualiti dan identiti. Paling penting, bakal pengasas ini mempunyai pengetahuan mengenai apa yang mereka inginkan.
Saya juga berharap agar dapat menjadikan Alvina sebagai Trade of centre for Halal Products. Inshaallah, dengan semangat dan usaha daripada kakitangan Alvina, segala yang dirancangkan akan menjadi kenyataan,” ungkap Siti yang kini sedang mengikuti pengajian Advanced Diploma in Organic Cosmetic Science.
This website uses cookies.