Sesungguhnya Datuk Dr Ustazah Norhafizah Musa cukup beruntung kerana dikurniakan aura luar biasa menerusi ceramahnya hingga mampu membuatkan para pendengar tersentuh hati dan kembali ke jalan kebaikan. Dengan raut wajah sejuk mata memandang dan pertuturan penuh nasihat serta kelembutan, tidak hairanlah hasrat seorang suami yang mahu menceraikan isterinya… berubah sekelip mata tatkala dia mendengar ceramah Datuk Dr Ustazah Norhafizah sepanjang perjalanan bertemu suri hatinya itu.
Bertandang ke negeri Cik Siti Wan Kembang untuk memenuhi undangan ceramah bulan lalu, Datuk Dr Ustazah Norhafizah dikejutkan dengan panggilan telefon seorang pendengar setianya bergelar suami orang. Kongsi Ustazah Norhafizah, “Ada seorang suami hubungi ustazah, dengan air mata dia mengucapkan bebanyak terima kasih kepada ustazah kerana telah jadi jalan rumah tangganya diselamatkan (dengan izin Allah).
Dari Johor ke Kelantan dia memandu kereta mendengar ceramah-ceramah ustazah tentang rumah tangga dan tazkiyatunnafsi. Asalnya memang terasa bila jumpa isteri di Kelantan… nak akhiri hubungan suami isteri. Tapi jadi sebaliknya, sampai depan isteri… menangis minta maaf, dengan penuh kasih ajak isteri cuba sama-sama untuk baiki diri dan keluarga. Alhamdulillah.”
Allahu, besar ganjaran buat Ustazah Norhafizah kerana hanya dengan suara melalui ceramahnya saja dia dapat ‘menjernihkan’ semula keadaan yang sedia keruh. Pastinya tanpa keizinan Allah juga semua ini tidak mungkin akan terjadi. Mengakui terharu mendengar pengakuan suami tadi, Ustazah yang berasal dari Negeri Sembilan ini menzahirkan rasa syukur.
Tambahnya, “Mudah-mudahan 20 tahun lebih ustazah dalam persada dakwah ini akan jadi jariah dan pahala berlipat kali ganda untuk ustazah dan jadi jalan keampunan Allah kepada ustazah. Dosa ustazah bukan sedikit… banyak sangat. Bantulah ustazah dengan doa-doa baik kalian.”
Pada majlis ilmu tersebut, Ustazah Norhafizah turut menerima Anugerah Selebriti / Personaliti Dakwah Muslimah daripada Kerajaan Negeri Kelantan. Tidak meletakkan populariti sebagai tujuan utama, Ustazah Norhafizah dalam nada rendah diri menganggap dirinya belum cukup untuk diangkat sebagai ikon terbaik kerana masih banyak perkara yang perlu diperbaiki.
“Bukan mudah juga membawa diri sebagai pendakwah wanita ini. Tapi atas semangat amat kasih kepada wanita khususnya muslimah maka inilah jalan yang boleh ustazah hulurkan bantuan iaitu menghidupkan nasihat, tawasau bilhaqqi wa tawasaubissobri. Ustazah sayangkan para wanita dan ustazah ingin sekali kita hidup bahagia dan dapat melalui kehidupan dengan baik.”
Terima kasih Datuk Dr Norhafizah Musa kerana sangat mengasihi kaum wanita dan sanggup mengenepikan rasa lelah hanya untuk memastikan kehidupan wanita ‘ditiup’ dengan semangat positif dan dekat kepada Allah.
Kredit: Instagram Ustazah Norhafizah