“Nanti anak saya nangis kalau tak bagi gajet,” cerita Pakar Oftalmologi, Dr. Azlindarita Aisyah Mohd Abdullah, tentang alasan mak ayah pesakit yang datang ke kliniknya. Dalam beberapa perkongsian beliau tentang kesan gajet terhadap mata kanak-kanak, isu juling antara yang paling merisaukan, seperti ceritanya ini.
Hari ni hari juling di klinik saya. Beberapa orang pesakit anak-anak datang sebab mata juling, sebab sehari main gajet sampai berjam-jam. Bila ditanya, Mak tuding jari ke Ayah, Ayah tuding jari ke Mak. Saya pun nasihatkan dengan baik.
1) Anak-anak bawah 7 tahun kalau main gajet LEBIH 2 JAM SEMINGGU boleh tingkat risiko rabun jauh.
2) Apabila mata kabur akibat rabun, ada potensi jadi mata malas, dan jadi juling. Nanti apabila juling, mungkin diejek di sekolah dan anak-anak boleh jadi rasa rendah diri.
3) Hadkan penggunaan gajet kepada 2 JAM SEMINGGU untuk anak-anak kurang 7 tahun.
4) Tiada gajet untuk anak-anak DI BAWAH 2 TAHUN.
5) Ajak mereka bermain di bawah cahaya matahari untuk galakkan penghasilan dopamin dalam bola mata dan elakkan masalah rabun jauh.
6) Kalau nak tengok TV, pastikan jarak menonton adalah 2 METER ATAU LEBIH.
Sekali, Ayah pesakit tanya saya, “Oh, kalau nak hisap rokok 3 meter, anak nak tengok TV, 2 meter.” Saya terus tepuk dahi dan sound, “Hisap rokok kena berhenti terus!”
Satu lagi kisah, ada seorang model kanak-kanak jumpa saya di klinik. Ya, seorang kanak-kanak yang bekerja sebagai model pakaian, pernah masuk majalah dan sebagainya.
Memang comel sungguhlah. Matanya bulat, rambutnya sedikit perang. Baru berusia 6 tahun sudah cantik. Mak dia risau matanya juling sedikit, adakala matanya juling keluar terutama apabila dia sedang mengantuk atau sedang berangan. Tetapi kebanyakan masa matanya lurus. Cuma apabila diambil gambar, tidak cantiklah apabila kadang-kadang juling!
Apabila saya tanya tentang gajet, ibunya kata, disebabkan dia ada pendapatan sendiri, dan dia sangat good girl, selalu bekerjasama dengan cameraman, production team, rajin baca buku dan sebagainya, ibunya reward model cilik ini dengan gajet dua jam SEHARI. Tapi apabila saya periksa refraksi atau ‘power’ mata, tiada rabun.
Ini adalah akibat terlalu banyak menggunakan mata untuk memandang pada jarak dekat, matanya letih dan otot mata tidak dapat lagi menyatukan dua mata. Dia mendapat convergence insufficiency. Saya nasihatkan kepada ibunya:
1) Kurangkan gajet kepada 2 JAM SEMINGGU.
2) Jika sukar nak berhenti terus, mulakan dengan pecahkan 2 jam itu kepada 4 kali setengah jam, 4 hari seminggu.
3) Beri CUE WORD. Contoh saya dan suami menggunakan perkataan “DAH CUKUP, TUTUP iPAD” dengan TEGAS dan intonasi authoritative. Kita sebagai KETUA dalam keluarga. Anak-anak kena tahu bahawa mereka tidak boleh memanipulasikan Mak Ayah. Dan Mak Ayah kena dalam SATU PASUKAN! Bukan Mak marah, Ayah senyap-senyap beri main phone.
4) TAHAN HATI kalau anak menangis. InsyaAllah saya belum pernah jumpa lagi kes budak nangis sampai pengsan sebab tak dapat main gajet.
5) Saya pesan lagi pada ibu model ini, beri ganjaran dalam bentuk lain seperti pujian, pelukan, masa untuk dia, main dengan dia dan mungkin keluar jalan-jalan dengan dia. Bukan dalam bentuk gajet.
Alhamdulillah selepas 6 bulan, mereka kembali ke klinik saya, anak kecil itu tiada lagi juling. Si ibu pun kata, anaknya lebih gemar melukis dan mewarna sekarang berbanding gajet. Sekarang si ibu hadkan penggunaan gajet untuk semua anak-anak beliau. Alhamdulillah.
Juling peringkat awal akibat terlalu banyak main gajet, boleh dirawat. Jangan putus asa. Saya pula naik juling mata dengar mak ayah yang kata, “Nanti anak saya nangis kalau tak bagi gajet!”
Sumber: Facebook Dr Azlindarita Aisyah Mohd Abdullah