Alahai, cair tengok wajah comel puteri sulung Adira Suhaimi bernama Anggrek ini! Mana tidaknya, Anggrek bukan hanya dikurniakan sepasang mata yang cantik dan kulit putih mulus. Malah saling tak tumpah mewarisi kecantikan ibunda tersayang.
Mengintai Instagram Adira atau nama penuhnya Siti Adira Suhaimi, selain berkongsi rutin dan aktiviti seni yang dilakukan setiap hari… Adira juga gemar memuatnaik foto momen bersama anak-anak tersayang. Dan pastinya Anggreklah yang paling banyak menghiasi laman media sosial pelantun lagu Pujaan Hati ini. Baik ketika menemani Adira bekerja mahupun sewaktu berada di rumah, mesti ‘terselit’ wajah comel Anggrek!
Lima tahun melayar bahtera perkahwinan bersama Datuk Seri Adnan Abu atau lebih dikenali dengan nama Datuk Red pada tanggal 3 Disember 2015, pasangan ini dikurniakan tiga orang cahaya mata comel. Anggrek misalnya merupakan zuriat sulung mereka yang lahir pada 10 Mac 2017 dan kini berusia tiga tahun.
Mengimbas detik kelahiran Anggrek, anak kecil berkenaan dilahirkan secara pembedahan dengan berat ketika itu 3.2 kilogram. Menariknya, nama Anggrek merupakan pilihan Adira sendiri.
Ujarnya, “Nama Anggrek dipilih kerana saya meminati bunga klasik itu dan sudah lama menyimpan Hasrat untuk menamakan anak sulung dengan panggilan ringkas tersebut.”
Kalau amati nama ketiga-tiga anak Adira memang kesemuanya ringkas, klasik dan bermula dengan pangkal huruf ‘A’. Selain Anggrek, anak kedua Adira yang juga anak lelaki yang lahir pada 9 September 2018 dinamakan Asan.
Manakala anak ketiga yang menyambut ulang tahun kelahiran pertama pada 8 Ogos lalu pula dinamakan Anggun. Jelas Adira, selain dirinya, suami tercinta juga menginginkan nama anak yang ringkas dan mudah disebut.
Walau sudah mempunyai tiga orang anak namun penyanyi berusia 29 tahun ini tetap aktif dengan kerjaya seni dan bisnes. Pada 20 Ogos lalu, Adira telah melancarkan single terbaharu berjudul ‘Maaf’. Di samping itu, dia juga ligat memasarkan produk jenamanya sendiri iaitu Adira Rose. Sehingga kini, Adira Rose memiliki rangkaian penjagaan wajah seperti hydrating sleeping mask dan wangian.
Kredit: Instagram Adira Suhaimi
This website uses cookies.