Matanya Buta Tapi Hatinya ‘Celik’ Al-Quran, AISYA HUMAIRAH Cancer Survivor Yang Luar Biasa

Biarpun ada kekurangan tetapi gadis ini dikurniakan satu kelebihan yang cukup luar biasa. Matanya buta namun hatinya ‘celik’ Al-Quran. MasyaAllah!

Aisya Humairah Mohd Sharizal, anak kepada pasangan jurutera dan suri rumah ini baru berusia 13 tahun. Biarpun cacat penglihatan, dia seorang yang sangat cintakan Al-Quran.

Meskipun hidup dalam ‘dunia gelap’ ia bukan penghalang bagi Aisya Humairah untuk sentiasa mendalami kalamullah.

Malah, anak kedua daripada empat adik beradik yang berasal dari Kedah ini boleh membaca dengan baik menggunakan Al-Quran braille.

Memetik perkongsian Sinarplus, baru-baru ini Aisya Humairah menyertai Majlis Khatam Al-Quran 2.0 anjuran Sinar Islam Plus. Sejak di bangku sekolah rendah lagi Aisya Humairah aktif menyertai pertandingan tilawah Al-Quran.

Katanya, dia telah banyak kali terpilih untuk menyertai pertandingan tilawah Al-Quran dan berjaya ke peringkat kebangsaan.

“Antara pencapaian terbaik saya, memperoleh tempat kedua semasa Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Kebangsaan kategori masalah penglihatan tahun 2021,” ujarnya.

LAHIR SEBAGAI BAYI NORMAL
Aisha Humairah dilahirkan sebagai bayi normal pada 17 Disember 2010. Namun, Aisya Humairah disahkan menghidap kanser mata ketika usianya setahun dua bulan.

Dia terpaksa menjalani rawatan kimoterapi bagi mengelak tumor merebak ke otak. Pada usia tiga tahun, mata kirinya pula terpaksa dibuang.

Setahun kemudian, Aisha Humairah hilang mata sebelah kanan sekaligus menjadikannya orang kurang upaya kategori cacat penglihatan sepenuhnya.

CANCER SURVIVOR
Biarpun perjalanan hidupnya tak seindah kanak-kanak lain seusia, Aisya Humairah yang merupakan cancer survivor

tidak menjadikan kekurangan diri sebagai halangan untuk bergiat aktif dalam aktiviti kerohanian.

Seawal usianya lima tahun, Aisya Humairah dihantar oleh ibu bapanya untuk belajar Al-Quran dengan beberapa orang guru mengaji.

Dia mula mengenal huruf melalui buku Iqra braille sebelum mengaji secara berperingkat menggunakan Al-Quran braille yang dibeli ibunya secara second hand.

“Peringkat awal mengaji, saya berdepan kesukaran untuk menghafal,” imbaunya.

Aisya Humairah menjadikan guru taranumnya, Ustazah Norsyafirah Jusoh sebagai sumber inspirasai. Ustazah Norsyafirah ialah Johan Qariah dalam Pertandingan Tilawah dan Hafazan al-Quran 2023 peringkat negeri Perlis.

Aisya Humairah punya kenangan manis ketika menyertai Pertandingan Tilawah al Quran Persatuan Orang-Orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia pada 2020. Dia merupakan peserta termuda mengambil bahagian dalam pertandingan tersebut.

IMPIAN BERGELAR ATLET PARALIMPIK


Seperti insan lain, Aisya Humairah juga berimpian untuk menjadi seorang yang dapat memberi inspirasi. Dia bercita-cita ingin bergelar atlet renang paralimpik suatu hari nanti.

 

“Ketika hujung minggu saya akan pergi kelas berenang kerana saya mempunyai impian mahu menjadi atlet renang paralimpik, jadi saya perlu berlatih bermula dari sekarang.”

Pesan Aisya Humairah, jangan berputus asa ketika belajar mengaji walaupun orang lain sudah berada di peringkat yang lebih baik. Belajar mengaji memerlukan kerajian. Teruslah berusaha dan jangan putus asa.

Sumber & Foto: Sinarplus

Share
Published by
Ermi Shuzila Mohammad