5 Jun lalu genap 34 tahun usia Mawar Karim. Bertambah setahun lagi umur, pemilik nama Mawar Abdul Karim ini terus melangkah maju bergelar usahawan. Empat tahun menjadi ibu tunggal, status tersebut bagaimana pun bukan halangan buat Mawar untuk mengejar impian.
Menerusi posting terkini di Instagram, Mawar berkongsi momen sambut ulang tahun hari kelahirannya baru-baru ini di samping anak tersayang iaitu Wan Maryam. Tampil sedondon mengenakan busana biru, jelas terserlah wajah bahagia ibu dan anak ini.
“Ada yang sama date tak dengan cheq,” ujarnya.
Menjengah ruangan komen, rata-rata peminat Mawar tidak ketinggalan mengucapkan tahniah dan syukur. Selain memuji cara ibu muda ini menguruskan anak perempuan dengan baik dan sempurna.
Mawar yang sebelum ini cukup sinonim dengan jenama tudung eksklusif Fareeda, anak kelahiran Pulau Pinang berkenaan turut menceburi perusahaan emas yang dinamakan Mawar Jewelry.
Menerusi posting terdahulu, dia berkata idea berniaga emas tercetus ketika pandemik Covid-19 melanda negara.
Artikel berkaitan https://www.nona.my/dilantik-jadi-duta-rawatan-kecantikan-mawar-karim-selesa-bercerita-soal-bisnes-elak-soal-peribadi/
“Syukur, lahirnya Mawar Jewelry hari ini, tanpa Fareeda, tanpa sokongan kalian yang setia bersama tidak mungkin saya berada di sini. Jujurnya apabila dunia mengalami pandemik coronavirus.
Banyak sektor yang terkesan termasuk bidang fesyen seperti kami. Jadi ini adalah masa untuk saya kembangkan perniagaan yang ada.
Jika ditanya mengapa ‘gold’, saya perlu berfikir business jangka masa panjang. ‘Gold’ berfungsi 4 dalam 1 perhiasan, simpanan, pelaburan dan perniagaan. Saya akui nilainya gold ini ketika saya diuji dalam kesusahan,” dedah Mawar yang terpaksa menjual koleksi emas miliknya selepas dihimpit kesukaran hidup.
Demi memastikan dia ada pengetahuan luas dalam bidang emas, Mawar turut mengikuti pengajian Jewellery di University of the Arts London.
Mawar sebelum ini mendirikan rumah tangga dengan pelakon Fizo Omar namun perkahwinan mereka selama hampir enam tahun terputus di tengah jalan. Hasil perkongsian hidup, dia dikurniakan Wan Maryam yang berusia lima tahun.