Menyebut sahaja nama figura ini sudah terngiang suara lunak mendendangkan lagu dengan bait-bait puitis. Aura penyanyi yang sudah lebih 27 tahun berkecimpung dalam dunia seni ini bukan calang-calang. Peluang menjejakkan kaki ke banglo dua tingkat milik Krisdayanti yang terletak di Jeruk Purut, Jakarta Selatan tidak dipersiakan.
Melangkah masuk ke kediaman miliknya mata terpaut dengan dekorasi moden klasik yang menjadi pilihan Diva terkenal ini. Paling istimewa apabila Krisdayanti menjemput untuk melihat koleksi kasut miliknya. Terkesima melihat susunan kasut berjenama mewah yang tersusun kemas itu.
Berkongsi rahsia kecantikan Krisdayanti pula mungkin kedengaran sedikit aneh, “Saya suka tidur. Maksudnya di sini, saya mendapatkan deep sleep atau tidur yang nyenyak. Jika saya pulang ke rumah awal dan tidak mempunyai sebarang aktiviti, jam 8.00 malam saya sudah masuk tidur. Saya seorang morning person, jadi sebaik bangun pagi, saya akan berasa amat segar.
Kini Krisdayanti telah melangkah ke suatu aras yang lebih tinggi dengan menyertai dunia politik. “Sejujurnya, saya tidak pernah menyangka untuk menjadi seorang ahli politik. Namun, bila difikirkan balik, hampir setengah abad saya membesar di negara ini.
Jadi, saya merasakan saat ini ialah saat paling tepat untuk saya membalas budi buat negara tercinta dengan memberikan sumbangan dalam bidang lain selain daripada bidang seni,” tutur Krisdayanti saat mengatur pertemuan di kediamannya tempohari.
Sebagai anak seni yang sudah berada dalam kelasnya yang tersendiri Krisdayanti tidak akan cepat melatah kala dikritik.
Ketika diajukan pertanyaan tentang penerimaan masyarakat tentang tanggungjawab barunya ini, tuturnya, “Daripada penerimaan orang ramai terhadap saya sama ada positif atau negatif, saya menganggapnya sebagai suatu cabaran. Saya sentiasa berfikiran positif dan tidak terlalu mengambil kira hal-hal negatif yang diajukan kepada saya,” katanya.
Semoga dengan tanggungjawab baru ini Krisdayanti dapat meningkatkan martabat kaum wanita ke peringkat tertinggi dan dapat melaksanakan tanggungjawab dengan penuh semangat tanpa mudah menyerah kalah.
Krisdayanti merupakan antara 14 artis popular Indonesia yang akan melangkah ke Dewan Perwakilan Rakyat (DPR) bagi penggal 2019 – 2024. Krisdayanti bersama-sama artis lain seperti Mulan Jameela, Desy Ratnasari dan Rano Karno bakal menyertai anggota DPR yang lain bagi memulakan tugas bermula 1 Oktober tahun lalu.
Kewibaawan Krisdayanti sebagai ahli politik terserlah apabila telah mula menjalankan sesi lawatan ke kampung-kampung sejak September tahun lalu. Dilaporkan sehingga bulan Mac tahun lalu Krisdayanti telah melawat lebih 300 buah kampung termasuk Malang, daerah kelahirannya.
This website uses cookies.