Gaya Hidup

“Melihat Mereka Senyum & Gembira Ketika Makan, Itulah Pencetus Semangat Saya Untuk Terus Berusaha” CEF NAZRI JAMESON

Tidak dinafikan, zaman sekarang kaum lelaki juga handal memasak. Seiring dengan trend semasa, ramai kaum lelaki bergelar pencipta kandungan makanan (food content creator) yang sangat kreatif sehingga ada yang menjadikannya sebagai sumber pendapatan utama.

Kemahiran itulah yang dimiliki oleh penerima Nona Best Innovative F&B Business Award, Cef Nazri Jameson yang tidak hanya pakar dalam bidang masakan, bahkan turut menggalas tanggungjawab sebagai Pengasas serta Pemilik Bersama Beard Brothers’ BBQ di Malaysia.

Beard Brothers’ BBQ bermula di Kampung Datuk Keramat pada tahun 2013 sebelum berpindah ke Tropicana Avenue pada tahun 2017 sehingga kini.

PERMULAAN
“Beard Brothers’ bermula ketika saya sedang mencari jalan untuk berniaga. Waktu itu tahun 2013. Niat saya mahu menyara keluarga, termasuk dua orang anak ketika itu. Seboleh-bolehnya saya enggan bekerja di hotel kerana faktor terikat dengan masa bekerja. Jadi, kenalah cari apa yang nak diniagakan,” kongsi Cef Nazri memulakan bicara.

Atas nasihat abang iparnya, Cef Nazri disarankan mempelajari cara memasak barbeku ala Texas. Tertarik dengan saranan itu, beliau mengembangkan minat dan ideanya dengan menghasilkan barbeku paling sedap buat para penggemar di Malaysia. Cef Nazri mengambil masa hampir lima bulan untuk memahirkan dirinya dengan teknik dan resipi barbeku seterusnya mencapai visi yang ditetapkan.

“Pada awalnya memang gagal habis. Namun, saya nekad untuk memperbaiki kemahiran. Setiap hari saya akan berusaha untuk menyempurnakan sesuatu masakan dengan baik. Itulah kepuasan sebenar sebagai seorang cef,” jelas Cef Nazri yang sentiasa mendapat sokongan padu daripada keluarga, isteri, anak-anak, rakan rakan serta para pelanggan Beard Brothers’.

“Mereka semua adalah sumber kekuatan dan inspirasi terbesar saya. Melihat mereka senyum dan gembira ketika makan, walaupun nampak kecil itulah pencetus semangat saya untuk terus berusaha tanpa jemu,” luahnya.

Cef Nazri yang juga Ketua Pitmaster di Beard Brothers’ BBQ merupakan graduan seni kulinari. Sebelum berada pada tahap sekarang, lelaki segak ini pernah bekerja di beberapa buah restoran. Namun dengan pengalaman yang terhad, Cef Nazri berasa kurang yakin dengan kemampuan dirinya.

“Suatu ketika dulu, saya hanya seorang cef muda yang sentiasa ingin belajar, sentiasa mahu menjadi yang lebih baik berbanding semalam. Saya selalu mencari kelemahan dalam diri sendiri dan sentiasa perbaiki segala kelemahan itu. Saya juga berharap selepas ini, saya tidak akan berhenti untuk menjadi lebih baik lagi,” singkap Cef Nazri.

Biarpun bidang masakan mahupun kulinari sangat sinonim dengan wanita, Cef Nazri punya pandangan tersendiri.

“Saya sebenarnya kurang bersetuju. Bagi saya kemahiran itu perlu dikongsi, sama ada wanita mahupun lelaki. Tidak dinafikan ia memang sinonim dengan tugas seorang ibu yang kerjanya banyak di dapur. Namun, daripada segi kerjaya pula kemahiran itu harus dikongsi.”

BUDAYA
Bersama rakan niaganya, Afif Ter, Cef Nazri berkongsi visi untuk mempelbagaikan budaya makanan halal. Mereka berhasrat untuk mencipta alternatif halal yang boleh diakses untuk masakan dunia di samping membina komuniti sosial yang inklusif melalui makanan yang sihat.

Selaras dengan hasrat itu, Beard Brothers’ BBQ sedang dalam misi untuk mentakrifkan semula persepsi makanan segera sejajar dengan falsafah mereka iaitu ‘slow cooking for full-flavoured goodness.’

“Teras kepada apa yang mentakrifkan Beard Brothers, barbeku halal kami dimasak dengan penuh kasih sayang dan mengambil masa 20 jam untuk disediakan. Kami menggunakan daging yang diperolehi dari Australia serta menepati standard keselamatan makanan dan jaminan kualiti yang tinggi.

“Di sini kami didorong oleh matlamat untuk menyediakan hidangan barbeku halal yang asli, lazat dan sihat dalam suasana makan yang menyeronokkan serta mesra untuk semua,” kongsi Cef Nazri.

Menurut beliau lagi, seorang lelaki itu layak digelar sebagai superhero apabila seseorang itu sanggup mengorbankan diri untuk orang-orang tersayang di sekelilingnya. Sentiasa meletakkan dirinya di hadapan, pada masa yang sama melindungi dan ambil peduli terhadap orangorang yang disayangi.

“Kata-kata semangat untuk diri sendiri tu selalunya saya akan kongsi dengan anak anak setiap pagi. Saya akan pastikan kata-kata itu menjadi seperti ‘mantra’. Kata kata itu ialah, ‘Setiap hari adalah hari yang penuh berkat, dan setiap hari itu adalah peluang untuk menjadi lebih baik berbanding semalam.’

“Oleh itu, saya berharap saya dapat lakukan yang terbaik kerana saya rasa belum cukup bagus lagi. Semampu boleh saya cuba untuk seimbangkan tanggungjawab sebagai seorang suami, bapa dan usahawan. Lakukan yang terbaik sambil menempuh situasi yang dihadapi,” jelasnya tenang.

PERANCANGAN
“Saya sangat bersyukur kerana Allah SWT memberi peluang untuk saya kongsi rezeki (makanan) dengan semua orang. Kami juga merancang untuk membuka cawangan di seluruh Malaysia, insha-Allah. Jika ada peluang dan rezeki, kami ingin membuka cawangan di luar negara.

“Selain itu, impian kami mahu mengukuhkan platform media sosial. Alhamdulillah saya mempunyai pasukan kerja yang sangat bagus khusus untuk menjaga media sosial.

“Saya juga berharap dapat mengamalkan gaya hidup yang lebih baik serta berkongsi lebih banyak pengetahuan dan pengalaman dengan semua orang,” akhiri Cef Nazri.

PENULIS & PENYELARAS: Amy Mohd
PENATA GAYA: Kiffy Razak
KONSEP: Azniza Aziz
FOTO: Fadhil Kamaruddin (The Loft Studio Asia)
SOLEKAN: Che Wann

Share
Published by
Amy Mohd