Saban hari, teknologi kecantikan berkembang bagai tiada kesudahan. Perkembangan ini boleh dilihat dari segi positif dan ada juga negatifnya.
Secara positif, pengguna dapat membuat pilihan terbaik untuk kulit mereka tetapi di sebaliknya, pengguna juga terdedah kepada risiko penggunaan bahan kimia secara berlebihan.
Biar bagaimanapun caranya, percayalah dengan air sahaja boleh menjadi medium kecantikan semula jadi untuk anda. Ingin tahu caranya?
(a) Pelembap terbaik
Hanya ada satu sahaja yang boleh dikatakan mengenai air. Kulit amat memerlukan air untuk memelihara kelembapan. Air juga memastikan kulit wajah lebih halus, anjal dan bersih.
Penjagaan kulit wajah amat penting terutamanya pada anda yang sering menaiki pesawat dan berada dalam persekitaran berhawa dingin. Namun, kekerapan mencuci wajah juga akan menyebabkan kulit kehilangan lembapan dan menjadi kering. Jadi pastikan anda membawa semburan pelembap seperti Evian dan semburkan pada wajah pada bila-bila masa yang diperlukan.
(b) Menghalang penuaan
Kadar elastik wajah dipertingkatkan dengan air kerana ia juga membantu menyingkirkan toksin dalam badan. Apabila sistem dalaman anda berfungsi dengan baik, ia akan terpancar pada wajah. Minum air putih secukupnya agar ia mampu ‘berbaik’ dengan sistem dalam badan.
Jauhkan diri daripada pengambilan kafein. Setiap cawan kafein akan menyebabkan anda perlu minum tambahan lapan gelas air sehari!
(c) Jerawat berkurangan
Jerawat mula timbul apabila liang pori pada wajah anda dilitupi dengan toksin yang tidak keluar daripada badan. Pengambilan air putih pada kadar tertentu seperti lapan gelas sehari boleh menyingkirkan toksin dan memastikan buah pinggang serta hati berfungsi lebih baik.
(d) Selamat tinggal bibir kering!
Kesibukan kerja boleh membuatkan anda terlupa untuk minum air putih secukupnya. Cuaca panas dan lembap di negara kita boleh membuatkan badan kekurangan air apalagi sekiranya anda bekerja di luar pejabat. Bibir yang lembap dan mungil boleh diperoleh dengan mudah, hanya banyakkan minum air putih!
(e) Berenang untuk kecantikan
Sukan renang boleh menguatkan otot manakala lap training pula menguatkan jantung anda. Berita baiknya, senaman melibatkan air seperti renang membolehkan kulit sentiasa lembap serta kelihatan cantik dan halus.
(f) Mengurangkan bau mulut
Mungkin anda merasakan bau mulut bukan penilaian kecantikan seseorang. Tetapi percayalah, jika mulut anda berbau, secantik mana sekalipun anda pastinya akan membantutkan kecantikan yang anda miliki. Pengambilan air putih yang secukupnya menggalakkan pengeluaran air liur dan pada masa sama membersihkan mulut anda.
(g) Nafas baru untuk kulit dan tubuh
Sementelah produk kecantikan kulit menjalankan kerja-kerjanya memperbaiki kulit wajah, air putih juga berfungsi membaiki sel kulit mati. Tubuh kita mengandungi 70 peratus air. Jika sel mula dehidrasi, ia akan mengganggu keseluruhan sistem dalam badan.
(h) Rawatan berasaskan air
Rawatan berasaskan air banyak digunakan di spa serata dunia, meninggalkan memori kepada kita bahawa air membantu mencantikkan kulit juga memberi ketenangan. Antara water spa yang sering ditawarkan adalah balneotheraphy dan mandian jacuzzi. Tapi berada di dalam air terlalu lama boleh menyebabkan kulit kering, atasinya dengan sapuan losen badan.
(i) Mengawal berat badan
Saat anda terasa lapar di tengah-tengah malam, minum segelas dua air suam ataupun jua buah-buahan agar terhindar daripada pengambilan makanan yang lebih berat. Apabila berat badan terkawal, wajah pula kelihatan lebih ceria dan cantik!
4 KESALAHAN HIDRASI
(1) Tidak semua air bagus untuk kulit
Sesetengah air mengandungi mineral yang tidak boleh diserap kulit. Ini akan menimbulkan iritasi pada kulit di kemudian hari.
(2) Jangan berlebihan
Kerana terlalu taasub menjaga kecantikan kulit, anda mungkin bertindak berlebihan. Membersihkan wajah terlalu kerap boleh meninggalkan kesan iritasi dan kulit menjadi terlalu kering.
(3) Bezakan hidrasi dan melembap
Hidrasi dan kelembapan adalah dua perkara berbeza. Kita menghidrasi bahagian luar kulit dengan air. Untuk memastikan kulit sentiasa lembap, krim pelembap digunakan. Krim pelembap berfungsi sebagai halangan daripada kekeringan.
(4) Minum cukup air
Ramai wanita berpendapat, krim pelembap sudah cukup untuk menjadi ‘makanan’ kulit. Kata orang, biarlah cantik luar dan dalam. Krim dioles pada bahagian luar dan air diminum agar dapat membantu sistem badan berjalan lebih lancar. KR
This website uses cookies.