“Memang Pedih Sikit Tapi Berbaloi,” Ummi Nazeera Buat Ujian COVID-19 Pulang Melancong Dari Turki

Sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan oleh kerajaan Malaysia, pelakon cantik ini sudah pun menjejakkan kaki ke negara Turki bagi tujuan melancong.

“Masa saya pergi ke Turki belum ada lagi kes COVID-19. Semasa berada di sana baru kes pandemik ini naik dengan mendadak,” jawab pelakon yang makin dikenali ramai menerusi lakonan mantapnya sebagai Sara dalam drama Nur Kasih arahan Kabir Bhatia ketika dihubungi.

Sebaik saja pulang dari melancong ke negara yang penuh dengan kisah sejarah Islam itu, Ummi Nazeera telah mematuhi arahan kerajaan dengan mengasingkan diri di kediamannya.Tidak cukup dengan mengasingkan diri atau kuarantin, Ummi Nazeera dengan rela hati telah menjalani ujian saringan COVID-19 untuk kepuasan dirinya sendiri. “Saya buat ujian saringan COVID-19 sebab mahukan kepastian.

Kalau ikutkan, saya tak perlu buat ujian saringan COVID-19 ini kerana telah melalui tempoh 14 hari kuarantin dan tidak menunjukkan sebarang simptom,” ujar isteri kepada Dr. Mohd. Izzar Anwari Dato’ Sri Abdul Khani ini.

Walau bagaimanapun, pelakon filem Hantu Kak Limah Balik Rumah ini bersyukur kerana keputusan ujian saringannya adalah negatif. “Syukur, alhamdulillah, keputusannya NEGATIF. Kepada yang pernah ke luar negara baru-baru ini, saya sarankan untuk buat ujian saringan COVID-19 ini.

Walaupun Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) suruh kuarantin saja dan buat ujian saringan jika menunjukkan simptom. Tapi, kalau ada duit nak melancong, apa salahnya keluar sikit duit lagi untuk buat pengesahan ujian ini. Tak susah pun, saya pergi yang pandu lalu (drive thru

). Memang pedih sikit tapi, berbaloi. Jangan takut, kejap je buat. Tak sampai 10 minit dah siap!

Nasihat saya kepada yang baru pulang dari melancong, marilah kita sama-sama menjadi rakyat yang bertanggungjawab dan menyayangi sesama sendiri. Jujur dengan pegawai perubatan kalau betul ada pergi melancong. Pergi buat saringan tu, sekejap saja manfaatnya berganda, insha-Allah,” kata ibu kepada Ayra Aneesah Mohd. Izzar Anwari ini.

Tambah Ummi Nazerra lagi, “Pada masa yang sama tolong KKM juga. Sebab keputusan ujian saringan ini akan dikemas kini ke KKM. Kepada yang baru pulang melancong yang tak nak buat ujian saringan ini saya mohon sangat sangat untuk kuarantin selama 14 hari dan stay safe everyone!!” ucapnya mengakhiri perbualan.

Namun, mulai hari ini, 3 April 2020, rakyat Malaysia yang baru pulang dari luar negara akan dikuarantin selama 14 hari di tempat yang telah dikhaskan oleh kerajaan bagi mencegah penularan pandemik Covid-19. Perkara ini telah diumumkan oleh Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bagi mencegah penularan wabak Covid-19.

 

Share
Published by
Hamizatul Maizan