YM Tengku Norshufilla Tengku Mohammad Shubli atau Tengku Fiella memiliki keperibadian yang cukup sempurna. Gadis kelahiran Cik Siti Wan Kembang berusia 25 tahun ini seorang yang merendah diri. Dikenali dalam bidang lakonan menerusi watak-watak antagonis tidak pernah membuatkan dirinya alpa dengan biasan glamor.
Tengku Fiella mewarisi darah seni ayahandanya iaitu YM Tengku Mohammad Shubli Tengku Ahmad. Sejak kecil juga Tengku Fiella telah didedahkan dengan seni tarian, nyanyian serta teater. Sebaik dilamar oleh pihak MIG bermulalah karier seni Tengku Fiella sebagai seorang pelakon.
“Sebelum bergelar pelakon saya pernah berkhidmat di awan biru sebagai pramugari. Di Firefly saya berkhidmat selama dua tahun, diikuti dengan Air Asia selama setahun sahaja. Saya seronok menjadi sebahagian daripada krew kabin walaupun tempoh perkhidmatan tidak panjang. Sambil bekerja dapatlah melihat keunikan tempat orang.
Jika tidak bertugas selalunya saya memilih untuk berehat saja di rumah atau rancang percutian santai. Destinasi percutian pilihan utama saya semestinya pulau kerana ia dapat memberikan ketenangan.
Momen paling manis ialah dua tiga tahun yang lalu saya pernah tinggal di Portugal dan ia menjadi tempat paling favourite buat saya setakat ini. Saya seorang yang menyukai elemen klasik dan vintaj. Tiga bulan saya di Portugal dan sempat menyambut Ramadan serta Syawal di sana. Nikmat berpuasa dan berhari raya di sana amat berbeza berbanding di Malaysia.
Cuaca di sana juga sejuk sekaligus memberikan kelebihan buat saya yang berpuasa kerana langsung tidak merasa letih mahupun dahaga. Begitu juga dengan sambutan hari raya yang sangat meriah walaupun tidak ramai golongan Muslim. Dari tempat tinggal saya, untuk ke kawasan Muslim perjalanan mengambil masa sedikit,” kongsi Tengku Fiella.
KELUARGA
Tengku Fiella dibesarkan di Kota Bharu, Kelantan bersama tiga beradik lelaki. Tengku Fiella merupakan anak sulung daripada empat adik-beradik. Tengku Fiella dijaga dan dibesarkan oleh nendanya sehingga mampu berdikari di kota raya Kuala Lumpur.
Berstatuskan golongan kerabat, Tengku Fiella perlu menjaga setiap tingkah lakunya demi maruah keluarga. Tengku Fiella sentiasa berpegang kepada pesanan ibu bapa agar menjaga diri dan tingkah laku.
“Nenda adalah insan paling rapat kerana kami boleh berkongsi masalah bersama. Sejak kecil saya tinggal bersamanya iaitu selepas bonda dan ayahanda saya bercerai. Mungkin disebabkan saya adalah cucu sulung hubungan kami sangat rapat. Nenda juga banyak memberikan saya nasihat,” ungkap Tengku Fiella yang merindui hidangan gulai ikan keli dan masak singgang air tangan nendanya.
IMPIAN
Selain bergelar artis, Tengku Fiella turut mempunyai impian untuk bergelar seorang usahawan muda yang berjaya suatu hari nanti. Tengku Fiella mahu mencabar kebolehannya dalam dunia perniagaan kerana itu juga salah satu daripada cabang minatnya.
“Satu kagum dengan Neelofa yang bukan saja terkenal dalam dunia pengacaraan malah tersohor sebagai usahawan muda berjaya di samping bergelar duta produk-produk ternama. Saya kagum dengan keyakinan Neelofa yang mampu membina empayar perniagaannya dalam usia muda. Beliau memiliki pakej lengkap iaitu cantik, bijak dan sukses,” akhiri Tengku Fiella.AMY MOHD
This website uses cookies.