Alhamdulillah, Memey Suhaiza selamat melahirkan anak ketiga hari ini yang juga merupakan zuriat perempuan sulungnya bersama Norman Hakim. Kongsi Norman di Instagramnya dengan memuat naik video menjelang detik kelahiran cahaya mata tersebut, “Alhamdulillah isteri saya dah selamat lahirkan baby girl seberat 3.35kg jam 12.52pm tadi. Terima kasih di atas doa kalian yang tak putus-putus. Aamin Ya Rabb.”
Menerusi perkongsian video berdurasi seminit itu, jelas terpancar wajah tenang dan teruja pasangan romantis ini. Sebelum berangkat ke hospital, aktor kacak ini ada menyatakan isterinya sudah mengalami mild contraction sejak pagi dan berharap agar semuanya dipermudahkan.
Di IG Memey pula, ibu muda ini menjelaskan mereka sepatutnya dalam perancangan untuk menghadiri jemputan rumah terbuka yang dalam masa sama perlu menjalani pemeriksaan doktor terlebih dahulu. Pun begitu, semua undangan rumah terbuka terpaksa dibatalkan.
“Ok confirm nak bersalin hari ni. Sampai hospital, Dr Zarina Bibi check rupanya dah 5cm. Terkejut juga sebab tak rasa apa-apa sangat lagi. Sikit-sikit je. Now dah tunggu dekat labour room. Saya mintak maaf ye kalau ada salah silap samada sedar atau tidak. Doakan saya dan baby selamat. Terima kasih pada semua yang doakan yang baik-baik untuk saya dan keluarga. Semoga Allah membalasnya,” kongsi Memey beberapa jam sebelum bayi perempuan comel tersebut dilahirkan.
Mendirikan rumah tangga dengan Norman pada tahun 2011, pasangan ini dikurniakan dua cahaya mata lelaki iaitu Muhammad Darwisz Hakim, 5 dan Muhammad Dikhriz Hakim, 3. Hasil perkahwinan terdahulu, Norman turut mempunyai tiga orang anak, Mohamed Danish Hakim, 15, Marissa Dania Hakim, 13 dan Maria Danisha Hakim, 10.
Semoga dengan kelahiran bayi ini mengeratkan lagi kasih sayang sesama mereka dan membesar dengan sihat serta menjadi anak yang solehah kelak.
Sumber: Instagram Norman Hakim & Memey Suhaiza