Berita kehamilan Dr. Amalina ternyata menjadi tumpuan ramai dan perkembangan kehamilannya sentiasa dinanti-nantikan oleh rakyat Malaysia. Dr. Amalina kini sedang sarat hamil (trimester) dan masih bertugas nyata tidak dapat menyembunyikan keterujaannya mendapatkan cahaya mata pertama.
Sering kali berkongsi perkembangan terkini kehamilannya di Instagram, baru-baru ini tular tentang status kerakyatan anaknya nanti. “Anak kami akan menjadi British”, itu jawapan Dr. Amalina apabila disoal warganet tentang status anaknya nanti di IG Story nya.
Namun, jawapan Dr.Amalina itu mengundang rasa tidak senang segelintir warganet yang menganggap Dr.Amalina tidak menghargai asal-usulnya. Menjawab dakwaan tersebut, Dr. Amalina dengan tenang menyangkal dakwaaan tersebut sekeras-kerasnya.
Dr. Amalina mengakui sudah semestinya beliau gembira jika anaknya berstatus kewarganegaraan Malaysia, namun ada beberapa halangan yang menghalangnya untuk bersalin di tanah air.
“Sudah tentu saya inginkan anak-anak kami menjadi rakyat Malaysia, tetapi suami saya adalah warga British dan kami bekerja dan menetap di United Kingdom (UK).
“Disebabkan komitmen saya di sini, saya tidak dapat pulang ke Malaysia untuk bersalin. Saya kini sedang sarat hamil (trimester) & masih bekerja. Mengambil penerbangan jarak jauh & cuti kerja bukanlah pilihan terbaik untuk kami & bayi. Ini adalah keputusan yang terbaik untuk kami sekeluarga dan ini pilihan kami,” jelasnya.
View this post on Instagram
Jelas Dr. Amalina lagi, dia dan suami sudah semestinya akan membesarkan anak-anak mereka dengan nilai-nilai murni di Malaysia, UK dan yang paling utama Agama Islam.
“Walaupun tinggal di UK dan kewarganegaraan British, anak-anak kami akan tetap berdarah kacukan Melayu. Percampuran dua budaya akan memberikan mereka kehidupan yang berwarna-warni.
“Saya akan membesarkan mereka untuk memahami nilai-nilai Malaysia & Islam, serta mempelajari Bahasa Melayu. Jadi tidak kira di mana mereka tinggal atau passport negara mana yang mereka miliki, yang penting mereka menjadi insan yang mempunyai nilai moral yang baik di mana boleh menyumbang kepada kemanusiaan,” tambahnya lagi.
NONA mendoakan semoga proses kelahiran Dr.Amalina lancar dan dipermudahkan.