Memperingati Yasmin Ahmad, Selepas 15 Tahun Ummi Khazriena & Tan Hong Ming Dipertemukan Semula

Masih ingat dengan gelagat dua kanak-kanak comel berlainan bangsa di dalam sebuah iklan kemerdekaan popular suatu ketika dahulu? Telatah manja Tan Hong Ming mengusik Ummi Khazriena di perkarangan sebuah sekolah ternyata menyentuh hati satu Malaysia. Walau hanya berdurasi 33 saat, namun iklan yang bertajuk Tan Hong Min In Love itu nyata meninggalkan impak yang besar, hasil sentuhan magis Allahyarham Yasmin Ahmad.

Iklan yang disiarkan pada tahun 2007 itu menyaksikan Tan Hong Ming dengan penuh keikhlasan, naif dan selamba menceritakan kisah cinta pertamanya dengan rakan sekelas Ummi Khazriena Skhrudin, dilihat berjaya menyampaikan mesej keharmonian kaum kalangan rakyat Malaysia sehingga kini.

Selepas 15 tahun, kini mereka berdua disatu dan dipertemukan kembali menerusi iklan Merdeka yang diterbitkan oleh pengeluar jersi sukan dan gaya hidup terkemuka yang berpengkalan di Pulau Pinang, Lokalteez dan Teamwear.

Di dalam video tersebut, jelas kelihatan keterujaan Ummi Khazriena dan Tan Hong Ming yang dipertemukan semula selepas terputus hubungan. Walaupun timbul sedikit kejanggalan berikutan sudah lama tidak bertentang mata, namun kedua-duanya masih lagi erat dan akrab seperti dahulu.

Bila kali terakhir anda berdua berjumpa? “Beberapa tahun lepas, pada tahun 2016 untuk satu iklan tidak silap, dah lama dah.” Jelas Ummi. Selepas itu apa yang terjadi? Ujar Tan Hong Ming, “Kami berdua terus terputus hubungan, mungkin kedua-duanya sibuk dengan kehidupan masing-masing”.

Ummi yang kini bertugas sebagai seorang eksekutif dan Tan Hong Ming pula baru saja menamatkan pengajian dalam bidang psikologi dari Sunway University sempat mengimbas kenangan bekerja di bawah arahan pengarah tersohor, Yasmin Ahmad.

Apakah pendapat Tan Hong Ming tentang arwah Yasmin Ahmad? “Arwah Yasmin Ahmad berjaya menyerlahkan rasa muhibah dalam karyanya. Dan saya rasa itulah kualiti terbaik yang ada pada Yasmin Ahmad. “Dia seorang yang berbakat besar, malah Yasmin mampu keluarkan rasa dan jiwa dalam karyanya. Bagi Ummi, dia adalah seorang dalam sejuta”, ulas Ummi pula.

Kredit gambar: ©Lighthouse Pictures

Untuk makluman, pengarah tersohor itu pengsan ketika mengadakan pertemuan bersama Siti Nurhaliza dan suami, pada 23 Julai 2009 di Sri Pentas. Beliau dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi Hospital Pakar Damansara dan menjalani pembedahan di kepala berikuta darah beku di otak kerana saluran darahnya yang pecah.

Beliau kemudiannya dihantar ke Pusat Pakar Perubatan Damansara. Para doktor berjaya menstabilkan beliau sebelum membuat pembedahan kira-kira jam 6 petang untuk mengurangkan bengkak di otaknya. Setelah tidak sedarkan diri selepas menjalani pembedahan tersebut, Yasmin akhirnya kembali ke rahmatullah pada 25 Julai 2009 pada jam 11.25 malam.

Share
Published by
Wan Firdaus