Menang Emas Paralimpik Tokyo, LATIF ROMLY Terima Insentif RM150 Ribu Dari Kerajaan Negeri Perlis!

Sebagai menghargai kejayaan membanggakan Abdul Latif Romly yang membawa pingat emas di Paralimpik Tokyo 2020, pihak kerajaan negeri Perlis berbesar hati menyampaikan insentif kepada atlet para berkenaan hari ini. Bertempat di Pejabat Menteri Besar Perlis, Latif dilihat menerima Insentif Kemenangan Sukan Paralimpik Tokyo 2020 bernilai RM150 ribu bagi acara Lompat Jauh T20.

Hadir dengan menyarung kemeja Olimpik Tokyo, Latif turut ditemani kedua-dua ibu bapa tersayang. Bapanya, Romly Mat dilihat mengenakan kemeja corak batik berwarna maroon sementara ibu tersayang pula Salmah Yatim menyarung jubah biru lengkap bertudung polos rona senada.

Turut hadir menyampaikan sumbangan tersebut ialah Menteri Besar Perlis, Dato’ Seri Azlan Man dan beberapa pegawai dari Majlis Sukan Negeri Perlis.

Menerusi perkongsian di laman media sosial Latif, atlet para berusia 24 tahun itu menzahirkan rasa syukur atas penghargaan yang diberikan kerajaan negeri kelahirannya. “Syukur alhamdulilah terima kasih kerajaan negeri Perlis memberi imbuhan kepada saya sempena kejayaan saya di Tokyo baru-baru ni.

Kejayaan Latif pada 4 September lepas bukan hanya mengundang rasa sebak dalam kalangan rakyat Malaysia bahkan turut menarik perhatian Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah yang mengucapkan tahniah atas pencapaian membanggakan tersebut di pentas dunia.

Seri Paduka berdua bertitah kejayaan Latif menjadi sumber inspirasi kepada rakyat dan atlet Malaysia untuk berusaha mencapai kejayaan sama ada di dalam negara mahupun peringkat antarabangsa.

Saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada ibu bapa dan keluarga saya yang banyak mendoakan kejayaan saya. Tak lupa juga kepada coach Amri Suhaimi, Firdaus Salim yang banyak membantu persiapan saya sebelum ke Tokyo 2020.

Terima kasih juga kepada KBS, MSN, ISN, MPN serta sahabat-sahabat saya di atas bimbingan, usaha dan doa anda semua yang membantu saya untuk mendapatkan pingat emas dengan catatan 7.45m pada Kejohanan Paralimpik Tokyo kali ini.

Abdul Latif Romly mengungguli acara Lompat Jauh T20 (kecacatan pembelajaran) di Paralimpik Tokyo 2020 dengan mencatat lompatan terbaik sejauh 7.45 meter. Dalam temasya sukan berprestij itu, Malaysia berjaya meraih tiga pingat emas menerusi acara angkat berat dari atlet Bonnie Bunyau Gustin, badminton dari atlet Cheah Leik Hou dan lompat jauh, Abdul Latif Romly.

Latif sebelum ini telah memenangi pingat emas di Sukan Paralimpik Rio 2016 dan sekali lagi mengharumkan nama negara selepas berjaya mengulangi kejayaan sama di pentas Paralimpik Tokyo 2020.

Share
Published by
Suzi