Bukan calang-calang! Atlet sukan ski air remaja negara, Aaliyah Yoong Hanifah berjaya mengharumkan nama negara sekali lagi apabila muncul juara keseluruhan Kejohanan Moomba Masters 2022 di Melbourne, Australia pada 10 Mac lepas.
Baru berusa 18 tahun, Aaliyah Yoong merangkul pingat emas dalam acara ‘tricks’ dan ‘jump’ serta bawa pulang pingat gangsa dalam acaara ‘slalom’ sebelum dinobatkan sebagai juara keseluruhan kejohanan berkenaan yang berlangsung di Sungai Yaara itu.
Lebih manis, kejayaan Aaliyah didorong oleh ayah tersayang yang juga Ketua Jurulatih Persekutuan Ski Air dan Papan Luncur Malaysia (MWWF) iaitu Hanifah Yoong.
Mengimbas kembali pencapaian membanggakan Aaliyah, atlet muda berkenaan mencatat keseluruhan 6,780 mata dalam acara ‘tricks’ meninggalkan atlet tuan rumah, Erica Hayes di tempat kedua dan Dominga Gonzalez iaitu atlet Chile di tempat ketiga.
Aaliyah turut mempamer aksi cemerlang dengan melakukan lompatan penuh gaya bagi acara ‘jump’. Dengan lakaran sejarah peribadi itu, Aaliyah mencatat rekod kebangsaan baharu dan rekod terbaik 39.5 meter yang dicatatnya dalam pusingan pertama apabila berjaya melepasi jarak 40 meter dengan lompatan 41.4 meter untuk menang emas.
Bakat dan potensi Aaliyah sebagai atlet sukan ski air mula bersinar apabila dia muncul atlet paling muda memenangi pingat emas Sukan SEA ke-26 ketika baru berusia lapan tahun selepas menjuarai acara ‘tricks’ wanita di Palembang, Indonesia.
Aaliyah merupakan adik kepada bekas pelumba Formula Satu (F1), Alex Yoong dan kakak iaitu Philippa Yoong juga merupakan atlet sukan ski air.
Aaliyah ialah anak sulung daripada empat beradik hasil perkahwinan kedua bapanya, Hanafiah Yoong bersama ibu, Norzeela Sulaiman.
“Hebatnya Cara Rasulullah SAW Mendidik Anak” – Ustazah Asni Abu Mansor
Anak-anak adalah amanah Allah SWT sekaligus menjadi penyeri dalam rumahtangga. Sebagai ibu bapa menjadi tanggungjawab bersama untuk memberi didikan yang sempurna terutama dari sudut agama.
Tak dinafikan, mendidik anak-anak pada zaman sekarang lebih mencabar berbanding zaman ibu bapa kita dahulu. Zaman ini banyak dipengaruhi oleh persekitaran. Paling ketara ialah pengaruh teknologi maklumat termasuklah sosial media tanpa sempadan. Jika tak dikawal maka ianya boleh memudaratkan khususnya di kalangan anak-anak.
Perkongsian Ustazah Asni Abu Mansor ini sangat bagus untuk kita hadamkan. Tentang bagaimana cara mendidik dan menegur kesalahan anak-anak mengikut peringkat usia mereka.
“Saya rangkumkan semua elemen ini daripada satu hadith yang sangat hebat.
Abu Daud dan Al-Hakim meriwayatkan daripada Umar bin Syu’aib daripada ayahnya, daripada datuknya, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
“Suruh anak-anak kamu mengerjakan solat, sedang mereka pada usia tujuh tahun, dan pukul lah mereka kerana meninggalkan sembahyang apabila telah mencapai umur sepuluh tahun dan pisahkan tempat tidur mereka”.
Dalam hadith ini, Rasulullah SAW menetapkan hanya pada umur 10 tahun anak dibenarkan dihukum pukul kerana alasan tidak solat. Sebelum anak dijatuhkan hukum atau denda, tidak adil jika mereka tidak diberikan ilmu dan pemahaman. Dalam kes solat, Rasulullah SAW memberikan masa sehingga 9 tahun untuk mendidik anak tentang solat dan pemahaman mengenainya.
Dalam Islam, memukul tindakan paling akhir jika segala nasihat, tunjuk ajar dan ancaman tidak memberi apa-apa kesan terhadap anak. Sebelum dijatuhkan hukuman, perkara-perkara berikut perlu diambil kira. Ambil tindakan terhadap kesalahan anak dengan:
- Lemah lembut dan belas kasihan. Imam Al-Bukhari meriwayatkan dalam Al-Adab Al-Mufrad, sebuah hadith berbunyi:
“Hendaklah anda bersifat lemah lembut dan jangan sekali-kali bersikap keras dan jahat.”
- Mengikut sikat dan tabiat anak. Setiap anak mempunyai kelainan sikap dan cara berbeza untuk kita menegur kesalahan mereka. Ada yang kita hanya perlu besarkan mata, ada yang perlu nasihat dan sebagainya. Ada sesetengah ulama’ dalam pendidikan Islam seperti Ibnu Khaldun dan Ibnu Sina, tidak diharuskan menjatuhkan hukuman kecuali pada saat-saat memerlukan. Dan tidak boleh memukul kecuali setelah diingatkan dan diancam.
- Mengambil tindakan terhadap kesalahan anak secara berperingkat-peringkat. Mengenakan hukuman dan denda adalah jalan paling akhir. Jadi, sebelum peringkat denda dan menghukum, anak-anak mesti melalui proses pemahaman dahulu. Mereka perlu ada tauladan yang baik di rumah dan sentiasa mendapat tunjuk ajar daripada ibu bapa.
Jelaslah dalam Islam, ibu bapa dibenarkan mendenda atau memukul anak tetapi ada syarat-syarat seperti dinyatakan di atas.
MENDIDIK CARA RASULULLAH SAW
Usia Anak 0-6 Tahun
Pada usia ini Rasulullah SAW menyuruh kita untuk memanjakan, mengasihi dan menyayangi anak dengan kasih sayang yang tidak terbatas. Berikan mereka kasih sayang secara adil tanpa mengira anak sulung mahupun bongsu. Tidak boleh dirotan jika mereka melakukan kesalahan walaupun atas dasar mendidik.
Anak-anak lebih dekat dengan kita yang mereka anggap sebagai rakan dan rujukan terbaik. Anak-anak merasa aman dalam meniti usia kecil mereka kerana mereka tahu anda (ibu bapa) selalu ada di sisi mereka.
Usia Anak 7-14 tahun
Kita mula menanamkan nilai disiplin dan tanggungjawab kepada anak-anak. Menurut hadith Abu Daud, “Perintahlah anak-anak kamu supaya mendirikan sembahyang ketika berusia sepuluh tahun dan asingkanlah tempat tidur antara mereka (lelaki dan perempuan). Memukul bukan untuk menyeksa, sekadar untuk menggerunkan mereka.
Janganlah dipukul bahagian muka kerana muka adalah tempat penghormatan seseorang. Anak-anak akan lebih bertanggungjawab pada setiap suruhan terutama dalam mendirikan solat. Inilah masa terbaik bagi kita dalam memprogramkan sahsiah dan akhlak anak-anak mengikut acuan Islam.
Usia Anak 15-21 tahun
Inilah fasa remaja yang penuh sikap memberontak. Ibu bapa seeloknya mendekati anak-anak dengan menjadi ‘kawan’ mereka. Banyakkan berborak dan berbincang dengan mereka tentang perkara yang mereka hadapi. Hal ini penting agar anak-anak berasa tanggungjawab dalam hal-hal tertentu di rumah. Anak-anak juga berasa dirinya ada tanggungjawab terhadap hal-hal keluarga.
Usia 21 Tahun dan Ke Atas
Ibu bapa sudah boleh melepaskan anaknya untuk belajar menempuh kehidupan sebenar. Akan tetapi lihatlah perkembangan serta berikan nasihat dan peringatan apabila anak membuat kesilapan.
Kredit Foto: Instagram Ustazah Asni Mansor
Miss Universe Indonesia WHULANDARY HERMAN Bahagia Bergelar Isteri Usahawan Dari Malaysia
Berasal dari Sumatera Barat, Indonesia iaitu Whulandary Herman merupakan seorang model dan penyampai. Setelah mendirikan rumahtangga dengan usahawan Malaysia, Nik Ibrahim, ibu anak dua ini memilih untuk menetap di Malaysia.
Walaupun kini Whulandary jarang muncul di kaca TV namun dia masih aktif berkongsi perkembangan kehidupan dan kariernya di media sosial.
Selebriti berusia 35 tahun yang memiliki ketinggian 177 sentimeter ini seorang yang gemar mengembara serta menulis, menyelam dan melakukan aktiviti yoga.
ISTERI USAHAWAN MALAYSIA
Whulandary dan suaminya melangsungkan perkahwinan pada 10 Februari 2018 di Pelataran Heritage Borobudur, Magelang, Jawa Tengah. Di hari pernikahannya, Whulandary tampil jelita dengan kebaya rekaan Anne Avantie.
Perkahwinan mereka mendapat liputan meluas media kerana kedua-duanya bijak merahsiakan hubungan. Selepas bergelar isteri, Whulandary mengikut suami menetap di Malaysia.
Mereka dikurniakan dua anak iaitu Nik Zayn Nik Ibrahim yang kini berusia 3 tahun, dan anak kedua Nik Siti Amilie berusia satu tahun.
Sejak menetap di Malaysia, segala aktiviti seninya terhenti termasuklah penampilannya yang turut berubah. Penampilanya lebih ke arah imej seorang isteri dan ibu.
Selain itu, Whulandary kini ligat mengusahakan jualan rendang dan makanan khas Indonesia. Malah, dia juga sering berkongsi momen ketika di dapur. Meski bertukang bidang kepada usahawan makanan tetapi produknya sangat laris!
AWAL KARIER
Tamat zaman persekolahan, Whulandary berhijrah ke Jakarta dan memulakan kariernya sebagai seorang model. Ternyata, pilihannya itu berjaya menaikkan namanya dalam bidang modelling.
Ketika meraih gelaran Asian Top Model of the Year 2010 pada Fashion Asia Award di Hangzhou, China dia berjaya mengalahkan tiga calon dari Vietnam, China dan Mongolia. Sebelumnya, Whulandary meraih Runner up ke-3 dan The Best Catwalk di International Model of the Year 2009 di Korea.
PUTERI INDONESIA 2013
Pada 1 Februari 2013, Whulandary terpilih sebagai Puteri Indonesia 2013 menggantikan Maria Selena. Whulandary juga meraih dua gelaran sekaligus iaitu Puteri Indonesia 2013 dan Puteri Indonesia Favorit Kepulauan Sumatra.
Whulandary merupakan wanita kedua dari Sumatra Barat yang berjaya meraih mahkota Puteri Indonesia selepas Melanie Putria tahun 2022. Dia mewakili Indonesia dalam pertandingan Miss Universe 2013.
HOBI MENULIS
Selain hebat dalam modelling, Whulandary juga gemar menulis. Tulisannya sudah terbit di beberapa majalah terkenal di Indonesia. Pada tahun 2014 Whulandary menghasilkan buku biografi pertamanya.
Antara pencapaian terhebat pernah dikecapi oleh Whulandary ialah Best Model Top Indonesia 2002; Asian Top Fashion Model of the Year Februari 2010 di Hangzhou, China; Puteri Indonesia Sumatra Barat dan Runner up 3 Best National Costume Miss Universe 2013.
Kredit Foto: Instagram Whulandary Herman
Bahagia Dengan Perkahwinan Kali Ke-3, DATIN SRI NONISWARA Makin Cantik Di Usia 51
Bertuah sungguh Datin Sri Noniswara kerana masih kekal cantik dan lansing walaupun kini usianya mencecah 51 tahun. Macam tak percaya, kan? Makin berseri-seri pula. Bahkan, kalau bersama anak-anak pun tetap terserlah seri awet muda wanita kelahiran Pasir Mas, Kelantan ini.
Datin Sri Noniswara Baharudin kini bahagia dengan perkahwinan kali ketiganya bersama Dato’ Sri Dr Sheikh, seorang ahli perniagaan.
“Alhamdulillah, kini dah masuk 6 tahun usia perkahwinan saya dan suami. Dato’ Sri seorang yang gemar bergurau, berjenaka dan happy all the time. Kalau Dato’ Sri bercakap saya perlu memandang wajahnya serta mendengar dengan baik. Mungkin itulah yang membuatkan suami selesa dengan saya. He said I am a good listener. Dato’ Sri juga sebenarnya seorang yang manja.
Dari segi karier, suami sangat memahami malah menggalakkan lagi saya berlakon. Kalau tak bekerja, selalunya saya akan manfaatkan masa bersama keluarga seperti menonton, berbual, makan, mengemas, berkebun, solat berjemaah dan tazkirah bersama.
Oleh itu, saya bersyukur dengan segala nikmat yang Allah SWT kurniakan buat saya. Pengalaman lalu membuatkan saya menjadi lebih matang. Semua yang berlaku ada hikmah. Rasanya tiada apa lagi yang saya impikan. Berkat doa saya setiap hari, banyak yang telah Allah SWT tunaikan, alhamdulillah.”
Datin Sri Noniswara memiliki 3 orang anak hasil perkahwinan pertamanya iaitu Naveer Mihshon (27 tahun), Nurerysha Emyra (22 tahun) dan Nazeer Danish (14 tahun).
“Hubungan kami umpama kakak dan adik, kadang-kadang seperti sahabat. Saya banyak berbual dengan anak-anak antaranya tentang isu semasa, agama dan sentiasa mendengar luahan hati mereka. Saya juga bersikap terbuka. Mereka boleh berkongsi apa sahaja perkara dengan saya.”
RAHSIA AWET MUDA
“Saya amalkan rutin asas sahaja. Apa yang penting elakkan stres dan sentiasa menjaga kelembapan kulit wajah dengan menyapu pelembap setiap hari. Kulit yang kering akan mencepatkan proses penuaan. Selain itu, saya juga banyakkan beribadah termasuk beriadah, sentiasa merasa gembira dan bahagia,” kongsi Datin Sri Noniswara yang kini masih aktif dalam dunia lakonan.
“Saya juga berdoa agar Allah SWT sentiasa mengurniakan kesihatan dan rezeki yang berpanjangan hingga ke akhir hayat saya. Semoga Allah SWT memberkati apa jua yang saya dan keluarga lakukan. Harap-harap dapatlah saya melihat kehidupan dan kejayaan anak-anak kelak, InshaAllah.
Nasihat saya buat kaum wanita di luar sana pula, jadilah seorang wanita dan ibu yang baik. Banyak bersabar, sentiasa bersyukur, banyak mengalah, tegas dan rajin melaksanakan tugas sebagai seorang isteri dan ibu.
Usah mengeluh dan cepat melatah jika ada dugaan-dugaan yang datang. Usah mudah mengamuk dan ‘cengeng’. Jangan lupa berdoa dan mohon kepada Allah SWT. Usaha dan doa mampu merubah kehidupan kita menjadi lebih baik.
Kredit Foto: Instagram @noniswara