Buat mereka yang pertama kali bergelar ibu pasti pernah melalui situasi sama seperti Ameera Zaini. Bertarung dengan emosi tidak menentu, menanggung kesakitan selepas melahirkan dan belum terbiasa dengan perubahan fasa hidup menjadi antara faktor susahnya untuk mereka menyusukan bayi. Daripada kisah yang dikongsikan usahawan tudung ini, perkara utama yang harus kaum ibu miliki agar si comel memperoleh bekalan susu badan mencukupi adalah dengan nilai kesabaran dan pengorbanan yang cukup tinggi.
Tanggal 17 Julai 2017 menjadi detik terindah bagi Meera dan suaminya, Hasnor apabila impian untuk menimang cahaya mata akhirnya dimakbulkan Allah. Bayi comel yang diberi nama Mateen itu kini sudah pun berusia setahun lebih. Namun, kenangan kali pertama menyusukan Mateen masih segar di ingatan ibu cantik berusia 29 tahun ini.
“Masa tu pukul 4 in the morning. Nurse datang dan tanya, puan nak susukan baby? Doctor baru je keluarkan Mateen pukul 2.39am. Czer pulak tu dan mommy contraction 20 jam sebelum tu mana ada energy dah. Lembik. “Takpelah saya rasa saya tak larat, nak rehat” lepas tu siap muntah lagi. Bayangkan dengan perut baru lepas kena belah tu.
Tapi beberapa jam lepas tu, walaupun masih lemah mommy ambil Mateen. Allah susu tak keluar! Jadi Mateen menangis je tiap kali masuk bilik mommy. Sebab Mateen dah minum formula milk so Mateen tak puas minum susu badan. Mommy push jugak sambil menangis mintak bagi susu keluar. Sekali yang keluar darah, bukan susu!
Tapi mommy teruskan jugak sampailah setitis colostrum keluar dan mommy sapu kat lidah Mateen. Bahagianya tengok setitis tu.”
Hajat Meera untuk menyusukan Mateen sepenuhnya agak terganggu sebab tak punya bekalan susu mencukupi. Sudahnya, dia dan suami terpaksa gantikan dengan susu formula memandangkan Mateen menangis kerana tak puas menyusu.
“Mommy teruskan usaha, mommy bangun setiap jam susukan Mateen, pump susu walaupun setengah Oz pun tak sampai. Sampailah daddy terlepas cakap “Sikitnya cukup ke ni.” Daddy tak sengaja tapi mommy sensitif sangat so mommy nangis dari pukul 4 petang sampai tengah malam dan end up mommy macam bentan. Sejuk menggigil-gigil, badan bisa-bisa dan kaki tak boleh jejak tanah. Doctor kata mungkin terlalu stres dan masih dalam pantang.”
Kongsi Meera lagi, ketika anaknya memasuki usia tiga bulan.. dia sudah mula ambil tawaran sebagai pengacara. Disebabkan Mateen tolak susu botol, ibu muda ini tetap sabar membawa anak kecil tersebut ke mana saja demi untuk memastikan anaknya kenyang. Besar betul pengorbanan jadi seorang ibu!
“Sekarang Mateen dah 1 tahun setengah. Mateen masih menyusu badan. Setiap malam mommy bangun every hours to nurse you. Mommy sakit badan sampai macam nak patah pinggang. Mommy masuk hospital pun mommy tetap susukan Mateen walaupun Mateen nak cabut branula kat tangan mommy. Sambil tawaf tujuh pusingan mommy carry Mateen sambil menyusukan Mateen sebab Mateen penat dan lapar.”
Pesan Meera kepada para wanita yang bakal atau baru bergelar ibu, jangan mengalah menyusukan bayi anda. Seperti ibu-ibu lain, Meera juga pernah berendam air mata dan terpaksa melaluinya berhari-hari sebelum berjaya. Lakukan segala yang termampu dan makan apa saja asalkan tidak mengalah.
Moga pengalaman dan semangat yang dicetuskan Meera memberi kekuatan untuk mereka mengamalkan penyusuan secara eksklusif selama dua tahun kepada zuriat masing-masing.
Sumber: Instagram Ameera Zaini