Usahawan kosmetik berusia 35 tahun yang merupakan ibu kepada dua cahayamata, Norfazlina Mohd Faozi merangkul gelaran juara program realiti TV Pencarian Nona Superwoman musim pertama. Menggunakan nama komersil, Fazs Faozi, wanita kelahiran Tapah, Perak ini berjaya membawa pulang hadiah utama yang cukup lumayan.
Pengasas Fazsbeauty yang juga merupakan graduan Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Industri ini berjaya menarik perhatian juri pada malam finale dengan kebijaksanaannya melestarikan idea dan inovasi bisnes dalam pembentangan perniagaan syarikatnya bahkan prestasinya yang sentiasa konsisten pada setiap episod. Sekaligus, berjaya menewaskan empat finalis lain iaitu Ana Najia, Ayu Omar, Syu Ramli dan Linda Roos.
“Saya sendiri tak menyangka akan bergelar juara dalam Pencarian Nona Superwoman ini. Namun begitu saya bersyukur kerana inilah dinamakan rezeki. Bagi saya semua finalis hebat-hebat dan ada kelebihan masing-masing.
Banyak sebenarnya yang saya belajar dari pengalaman sepanjang dalam program ini. Target asal ialah untuk mengembangkan bisnes tetapi saya dapat lebih dari itu. ilmu yang tak ternilai dalam bidang bisnes yang selama ini banyak saya tak tahu.
Maklumlah, sebelum ini saya berniaga ‘koboi’ saja tapi bila masuk program realiti ini saya belajar dari penampilan diri, cara berdepan dengan kamera, berkongsi idea dengan raka-rakan bisnes dan sebagainya. Bagi saya pengalaman ini sangat mahal.
Setiap episod cabaran yang diberikan berbeza kerana ia diberi on the spot dan perlu diselesaikan dalam masa terhad. Sedikit sebanyak ia mencetuskan tekanan. Dan cabaran paling tak dapat saya lupa ialah ketika episod semi-final. Ia membuatkan saya menangis dan hampir-hampir nak tarik diri. Dengan tak cukup tidur dan rehatnya lagi. Terpaksa menyiapkan paperwork dan business proposal.
Memang sangat mencabar sampaikan saya rasa down sangat-sangat. Sebelum pembentangan, saya hubungi ibu dan luahkan sambil menangis sebab merasakan tak dapat buat yang terbaik. Saya hanya mampu sediakan tiga slides berbanding rakan-rakan lain. Sebab itulah saya rasa sangat down. Ibu tak putus-putus beri kata-kata semangat dan bila dah tenang saya kembali yakin untuk buat yang terbaik. Alhamdulilah akhirnya saya berjaya ke finale walaupun hasilnya tu tak sempurna,” kongsi Fazs.
Tulang bekakang utama Fazs semestinya suami, Nazyudi serta ibunya, Puan Norjalelayati. Kedua-duanya hadir pada malam pentas akhir untuk memberi sokongan buat Fazs.
Ana Najia dipilih sebagai pemenang Most Favourite sementara Syu Ramli sebagai pemenang Most Inspiring. Masing-masing membawa pulang wang tunai sebanyak RM10,000 berserta sebuah trofi, selempang dan sejambak bunga tajaan Aleeya Florist & Gifts.
Turut hadir ialah Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Yang Berhormat Datuk Seri Rina Mohd Harun. Turut mengiringi Datuk Seri Rina ialah isteri Menteri Besar Selangor, Datin Seri Masdiana Muhamad.
Program lapan episod yang bermula sejak 22 September lepas memberi peluang kepada usahawan B40 dan M40 yang terjejas pandemik untuk berkembang, menambah ilmu niaga dan merebut hadiah lumayan berjumlah RM70,000 keseluruhan.
Episod finale selama 1 jam, bermula 9.00 – 10.00 malam ini turut menyaksikan penampilan juri jemputan iaitu Dato’ Fazley Yaakob dan Datuk Rosyam Nor bersama juri-juri tetap iaitu Awal Ashaari dan Datin Adzliana Prof Dato’ Sri Dr Hasan. Ia turut dihoskan oleh Uyaina Arshad. Program realiti ini dianjurkan oleh Nu Ideaktiv Sdn Bhd dan Majalah Nona.
Platform Pencarian Nona Superwoman anjuran Majalah Nona diperkasakan oleh USANITA yang dipimpin oleh Datin Adzliana Prof Dato’ Sri Dr Hasan.
Pentas akhir Pencarian Nona Superwoman yang dipancarkan secara langsung di Astro Prima saluran 105 telah diadakan di Putrajaya International Convention Centre (PICC) dengan pematuhan SOP yang ketat. Bertemakan ‘Smart Elegant’ program realiti ini diserikan dengan persembahan penyanyi lelaki terkenal, Anuar Zain yang mendendangkan dua buah lagu hitnya.
Foto: Nor Yanti, Sharinizam Othman