Bapa Azrinaz Mazhar Hakim kembali ke rahmatullah pada 30 Mei lalu. Salam takziah buat keluarga Allahyarham atas pemergian ayahanda tersayang. Seorang anak perempuan yang cukup rapat dengan bapa, kehilangan Hakim Mazha Mohammad Johar pastinya memberi kesan mendalam kepada bekas personaliti televisyen tersebut.
Difahamkan Allahyarham bapa Azrinaz menghidap masalah buah pinggang dan mula menjalani dialisis tidak lama dulu.
Mengambil masa beberapa hari untuk berdamai dengan takdir, Azrinaz menerusi media sosial baru-baru ini meluahkan rasa yang terbuku di sanubari.
“Ya Allah. Sejujurnya ini adalah nukilan yang begitu berat untuk diungkapkan. Tiada kata yang boleh menggambarkan perasaanku kini.
30hb May, 0940 pagi papa pegi meninggalkan kami. Papa tunggu kami semua berada di sisi sebelum menghembuskan nafas terakhir. Aku tidak bersedia namun aku reda. Reda setelah melihat kesakitan yang ditanggung sejak sebulan lalu.
Pada mulanya aku masih optimis bapaku akan pulang dengan sihat. Keyakinanku bersandarkan petanda positif sepanjang dirawat di ward. Malah doktor memberi gambaran papa akan pulang hujung minggu.
Namun, ada sahaja halangan. Short of breath, b/p low, infection antara punca menghalang papa pulang ke rumah. Dari berat badan ideal susut hingga kelihatan seolah-olah hanya tulang. Macam-macam gaya tidur, dari posisi di katil hingga tidur di kerusi, melintang, kepala di meja demi mencari keselesaan.”
Azrinaz turut memuat naik video yang memaparkan memori indah bersama sosok bapa tersayang dan ketika Allahyarham berada di hospital.
“Hari Ahad pagi (2 hari sebelum pemergian) tiba-tiba pernafasan papa terhenti seketika akibat kekurangan air dalam badan yang tidak sampai ke jantung. Lalu papa ditidurkan dan dimasukkan ke ICU.
Pasrah kerana tiada siapa dibenarkan bermalam di ICU. Menangis setiap malam sejak 3 minggu lalu. Aku mahu bapaku pulang dengan sihat. Aku mahu atok bermain dengan cucu-cucunya. Aku mahu kami sekeluarga menjalankan rutin harian.
Melihat keadaannya di ICU, hatiku terpaksa akur sekiranya papa pergi. Kerana tidak sanggup melihat segala macam mesin mengelilingi tubuh, segala jenis wayar menjalar di badan. Betapa seksa papa harungi kesakitan. Namun aku masih mendoakan keajaiban. Kerana semua di tangan Tuhan.
Kini, tiada lagi reference dlm hidupku. Tiada lagi guidance. Aku hilang tempat meminta pandangan. Tiada lagi papa menemaniku makan malam. The moment your last breath, my world turn dark. I lost my bearing. I feel so empty.”
Ibu empat cahaya mata ini bagaimana pun bersyukur kerana segala urusan terakhir arwah bapa berjalan lancar. Malah dia turut berterima kasih kepada ahli keluarga dan kenalan yang datang ziarah serta mendoakan arwah bapanya.
Moga Azrinaz sekeluarga terus tabah menempuh dugaan hidup dan semoga roh Allahyarham ditempatkan dalam kalangan orang-orang beriman serta beramal soleh.
Artikel berkaitan https://www.nona.my/gaya-raya-mewah-ekslusif-azrinaz-telatah-comel-2-puteri-tersayang-cuit-perhatian-warga-maya/
This website uses cookies.