Ramadan pertama sebagai suami isteri! Erina Sofia Gudono, isteri kepada Kaesang Pangarep nyata teruja dan gembira dengan kedatangan Ramadan tahun ini.
Mana tidaknya, tahun ini dia meraikan kedatangan Ramadan sebagai isteri kepada anak ketiga Presiden Indonesia, Joko Widodo iaitu Kaesang Pangarep.
Berkongsi aktiviti di awal Ramadan, Erina memaklumkan dia sempat mengikuti beberapa majlis ilmu di kediamannya yang turut dihadiri keluarga terdekat. Antara pengisian majlis ilmu tersebut termasuklah kajian mengenai Ramadan, tausiyah bersama pendakwah dan penulis Indonesia, Habib Ja’far dan sesi tadarus sebelum berbuka puasa.
Kajian ramadhan, tausiyah bersama Habib Ja’far @husein_hadar, dan tadarus sebelum buka puasa❤️
Selamat beribadah bulan Ramadhan ya guys! 💖 Akhir minggu kemarin, bersama Habib Ja’far, aku dan rekan rekan belajar bahwa agama islam itu agama yang penuh cinta dan kasih. Nabi Muhammad Shalallahu Alaihi Wassalam selalu mengajarkan cinta dan kasih pada siapapun, termasuk pada orang yang bahkan pernah membencinya..
Erina Gudono turut berkongsi beberapa foto memperlihatkan dirinya sedang tekun mengikuti majlis ilmu dalam suasana santai yang dihadiri keluarga dan rakan rapatnya. Namun begitu,suami tersayang, Kaesang Pangerap tidak kelihatan pada majlis tersebut lantaran keadaan kesihatan yang tidak mengizinkan.
Erina turut melahirkan rasa teruja dapat bertadarus dan mempelajari ilmu Al Quran dari Habib yang berkongsi ilmu bacaan dan amalan seharian yang boleh diamalkan. Meletakkan dirinya sebagai insan yang masih mempelajari bidang agama, aktiviti keagamaan ini menjadi medium terbaik menantu Presiden Jokowi mendalami agama Islam.
Erina dan Kaesang melangsungkan perkahwinan mereka pada 10 Disember lalu di Dewan Diraja Ambarukmo, Depok Sleman, Jogjakarta. Majlis perkahwinan pasangan ini mendapat liputan meluas Media Indonesia di mana pelbagai istiadat dijalankan termasuk acara bersiram dan khatam al-Quran dijalankan sebelum akad nikah dilangsungkan.
Erina dilahirkan di Philadelphia, Pennsylvania, Amerika Syarikat, pada 11 Disember 1996. Menurut profil Erina Gudono di laman web Puteri Indonesia, beliau merupakan graduan jurusan Pengurusan Kewangan dan kini sedang menyambung pengajian Pentadbiran Awam peringkat sarjana di Columbia University pada tahun 2021.
Menantu terakhir Jokowi ini berasal daripada keluarga yang disegani. Erina adalah anak kepada Allahyarham Profesor Dr Mohammad Gudono dan Dr Sofiatun Gudono. Jokowi dan isteri, Iriana memiliki tiga cahaya mata iaitu bernama Gibran Rakabuming Raka, Kahiyang Ayu dan Kaesang Pangarep.