Bercuti ke negara orang bukan sahaja merehatkan fikiran dan menambahkan pengalaman malah mengagumi kebesaran Sang Pencipta. Bukan semua orang mampu keluar bercuti ke luar negara, mungkin kerana faktor kewangan atau sukar mendapat cuti. Beruntung jika siapa yang berpeluang bercuti ke luar negara bersama keluarga. Tertarik dengan cara cikgu ini yang membawa anaknya secara sistem giliran bercuti ke luar negara.
“Percutian bagi guru yang mengajar kelas peperiksaan seperti saya tentunya hanya boleh dilakukan semasa cuti sekolah sahaja. Jadi, saya mengambil ruang cuti sekolah yang panjang pada hujung tahun untuk keluar berehat setelah penat bekerja, Biasanya saya akan bercuti lebih kurang dua kali setahun. Kalau bercuti biasanya saya membawa seorang anak sahaja. Begitu juga untuk ke destinasi seterusnya.
Antara tujuan saya membawa seorang anak sahaja untuk setiap destinasi adalah untuk mencipta momen privasi bersama mereka dan sudah tentu disebabkan bajet. Faktor lain saya mewujudkan sistem bergilir ini adalah untuk melatih anak sentiasa bersyukur dan reda dengan setiap rezeki masing-masing.
Sistem giliran ini juga dapat mendidik anak-anak saya menabung untuk travel. Secara tidak langsung saya dapat mendidik anak-anak saya membeli ikut prioriti. Sebagai contohnya jika mereka merengek nak telefon bimbit mahal saya akan memberi kata dua. Nak telefon bimbit mahal atau ikut saya pergi travel. Sudah pasti mereka akan memilih untuk travel bersama saya.
Cemburu? Soal cemburu tidak timbul kerana biasanya saya memberi mereka peluang untuk bercuti mengikut ke destinasi idaman masing-masing. Sebab lima orang anak lima macam minat kan!,” tutur Haitun Kamarazaman yang bertugas sebagai guru di Pahang ini.
Menurut graduan lepasan Ijazah Sarjana Muda Komunikasi di Universiti Sains Malaysia Pulau Pinang dan Kursus Perguruan Lepasan Ijazah di Maktab Perguruan Gaya, Kota Kinabalu, Sabah ini sistem giliran anak-anaknya yang terkini adalah Anasthassia Norrish (19 tahun), bercuti ke Indonesia, Aisyah Nabilla (17 tahun), bercuti ke Balkan, Mohd Aidil Mukhreez (13 tahun), bercuti ke India, Aleeya Nur Umaira, (11 tahun), bercuti ke Eropah dan Yusuf (7 tahun) bercuti ke Hong Kong.
“Saya didik anak-anak untuk mengemas dan mengendalikan sendiri keperluan mereka untuk bercuti. Biasanya tiga atau empat hari sebelum berangkat, kami akan mengemas pakaian dan keperluan bersama-sama. Saya galakkan anak-anak untuk bawa pakaian yang sesuai mengikut keadaan.
Pengalaman yang agak mendebarkan ketika bercuti bersama si kecil Yusuf yang berumur tujuh tahun ialah kami pernah ditahan semasa memasuki sempadan Hong Kong Shenzen menaiki kereta api. Suhu badan Yusuf agak tinggi kerana demam. Jenuh jugalah bersoal-jawab dengan pegawai kesihatan dan imigresen di sana. Kami juga terpaksa mengisi borang perisytiharan kesihatan. Setelah berpuas hati dengan keterangan, akhirnya kami dilepaskan masuk ke bandar Shenzen. Kalau tidak, terpaksalah berpatah balik ke Hong Kong dengan kereta api.
Ada yang juga bertanya kenapa saya tidak membawa suami ikut sama. Sebenarnya suami saya tidak berminat bercuti ke luar negara. Kalau bercuti dalam negara dia pasti akan ikut serta. Percutian paling indah sewaktu ke Padang, Bukit Tinggi, Krabi dan Singapura kerana kami sekeluarga bercuti bersama-sama di luar negara. Tidak ada yang lebih indah melainkan bersama suami dan anak-anak. Memang agak kecoh kerana membawa anak-anak kecil yang banyak ragam menuntut kesabaran, tetapi itulah kenangan yang akan diingati apabila kita sudah tua nanti. Kini anak-anak beransur remaja, sudah tinggal di kolej dan asrama. Rumah pun semakin sunyi,” luah cikgu Bahasa Melayu ini.
This website uses cookies.