Bila sebut saja nama Khir Khalid pasti terdetik di hati, anak kelahiran Johor ini ‘meninggi diri’ kerana sentuhan emasnya bukan sahaja menjadi buruan selebriti malah menjadi pilihan wanita VVIP termasuk kerabat diraja. Namun pemegang ijazah fesyen ini bukan begitu. Walau sudah berada dalam kelasnya yang tersendiri lelaki yang bangga dengan gelaran Jurusolek ini sentiasa merendah diri dan sentiasa ingat di mana permulaan langkah kariernya.
20 tahun berkecimpung dalam bidang solekan bukan jangka masa yang pendek. Khir juga begitu berani menongkah arus ketika mula melangkah dalam industri kecantikan dengan menukar trend solekan tebal kepada ‘No Makeup Makeup Look’. Perjuangan Khir menukar trend solekan ketika itu tidak diterima sepenuhnya sehingga pernah diusir!
“Memang saya pernah diusir keluar bilik di awal penglibatan saya dahulu. Ada seorang penyanyi pernah suruh saya balik sebab dia merasakan solekan saya tak cantik. Masa tu saya nak ubah solekan tebal kepada yang lebih kepada less is more.
Kini setelah lebih 20 tahun berkecimpung dalam bidang ini alhamdulillah hasil karya saya diterima. Di antara kenangan manis saya apabila saya diberi kepercayaan untuk menatarias Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Sultan Iskandar di Hari Pertabalan Yang di-Pertuan Agong XVI, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah baru-baru ini,” kongsi Khir Khalid yang tak malu dipanggil Jurusolek malah berbangga dengan gelaran tersebut.
Sentuhan magis Khir Khalid terlalu istimewa sehingga terdapat selebriti, golongan atasan atau pengantin sanggup menunggu tarikhnya semata-mata mahukan hasil sentuhan Khir Khalid di hari bahagia mereka. “Betapa pentingnya peranan jurusolek sehingga mereka sanggup berbuat begitu,” tutur Khir Khalid.
Keperibadian Khir Khalid yang pendiam ini juga sedikit sebanyak menjadi faktor yang melonjakkan kariernya. “Kalau menyolek saya hanya fokus kepada kerja dan kurang bercakap. Saya juga tak pernah memilih sama ada wanita ternama atau wanita biasa saya tetap akan membuat rujukan sebelum bekerja.
Sebagai contoh sebelum menatarias seseorang personaliti saya study terlebih dahulu wajah mereka. Saya akan melihat keperibadian personaliti tersebut agar solekan nanti berseri di wajahnya,” kata Khir Khalid yang setuju setiap jurusolek perlu mengikut perkembangan semasa. Menurutnya peredaran masa membuatkan konsep solekan dahulu agak berbeza dengan sekarang.
Bercakap tentang cabaran, “Mula-mula mencebur diri dalam bidang ini saya menemui pelbagai kerenah klien. Ditambah pula ketika mula-mula dulu saya mahu menukar trend solekan tebal kepada hasil solekan yang tak begitu tebal dalam masa yang sama mengekalkan kecantikan wajah yang sebenar. Saya tak suka nak ubah wajah seseorang dan sukar juga untuk mendidik masyarakat ketika itu. Tetapi akhirnya DNA Khir Khalid telah diterima. Perjuangan saya membuahkan hasil,” ujar Khir Khalid.
Bila diajukan persoalan tentang jurusolek sekarang lebih mudah naik disebabkan media sosial, komen Khir Khalid, “Saya gembira melihat perkembangan ini apabila ramai anak muda yang berminat untuk menjadi jurusolek.
Saya juga tidak cemburu apabila ‘langkah’ mereka mudah tidak seperti penglibatan awal saya dahulu sekitar tahun 2000 yang tidak ada kemudahan media sosial. Agak sukar untuk mencipta nama dan menembusi dalam industri ini. Namun begitu, pada pandangan saya kebanyakan jurusolek sekarang ada segelintir di antara mereka tidak boleh digelar jurusolek tetapi mereka adalah pengusaha kosmetik,” ucap Khir Khalid mengakhiri perbualan.
This website uses cookies.